Friday, May 27, 2011

Abid (Ahli Ibadah) Yang Hebat!

Bismillahirrahmanirrahim..

Wasiat Rasulullah s.a.w. kepada Abu Hurairah r.a. :

"Waspadalah perkara yang haram pasti kamu akan menjadi orang yang paling hebat ibadahnya."


Kalau nak dibentangkan pekerjaan yang menjadi ibadah, rasanya tak cukup nak ruang dan masa untuk mencoretkan semuanya. Setiap pekerjaan yang halal dan bertujuankan keredhaan Allah akan menjadi ibadah, wah! Luas sungguh skop ibadah sehinggakan tidur juga boleh menjadi ibadah apabila tidur digunakan untuk merehatkan jasad seketika dan kemudian menggunakan tenaga untuk kerja-kerja Islam.

Makan juga akan menjadi ibadah apabila kita mengambil nutrisi yang berkhasiat untuk menyegarkan tubuh bagi memantapkan stamina meneruskan kerja-kerja dakwah.

Terlalu banyak dan luasnya skop ibadah. Namun, siapakah yang paling hebat ibadahnya? Pak Amin misai kontot? Pak Abu hartawan kuda? Pak Leman tokey lembu? Muhasabah di pagi Jumaat dengan beberapa potong ayat dari hadith Nabi s.a.w, mudah-mudahan akan menjadi santapan rohani bagi menyegarkan roh yang telah dilayukan oleh jasad dek hujan yang menyimbah bumi :)

Kata Rasulullah kepada Abu Hurairah r.a. bahawa orang yang paling hebat ibadahnya ialah orang yang berwaspada terhadap perkara-perkara haram. Di dalam dunia ini, Allah menghalalkan dan menghalalkan beberapa perkara (dan makanan) tetapi apa yang Allah haramkan jauh lebih sedikit berbanding apa yang Allah halalkan, justeru kita mempunyai banyak pilihan untuk memilih yang halal berbanding apa yang haram.

Di dalam al-Quran, satu-satunya binatang yang secara mutlak diharamkan oleh Allah hanyalah babi dan selain dari babi terdapat pelbagai khilaf pendapat dikalangan ulama'. Jadi, bila memilih makanan maka berhati-hatilah dengan makanan yang bersumberkan babi. Dewasa kini, terlalu banyak makanan yang dicampur adukkan dengan babi. Jadi, tidak mustahil jasad mereka yang bersikap tidak kisah akan menumbuhkan daging hasil dari daging babi. Na'uzubillah!

Minuman yang jelas diharamkan adalah minuman yang memabukkan (arak) namun, kita seringkali tertipu kerana masih mahu memilih apa yang Allah haramkan sedangkan banyak lagi minuman yang halal. Bahkan, ada yang memesongkan maksud "minuman memabukkan" maka selagi minum arak dan tidak mabuk maka tidak mengapa. Ada juga yang membuat sajian makanan (terutama di hotel dan restoran mewah) dengan mencampurkan wine putih bagi menambah kesedapan dan memanjangkan tempoh jangka hayat makanan tersebut.

Banyak kek yang dicampur dengan wine putih bagi memanjangkan tempoh jangka hayat kek tersebut, jadi waspadalah dengan apa yang zahirnya kelihatan indah dan lazat bimbang nafsu tidak mampu untuk dipandu dengan pandangan iman.

(p/s: selain menggunakan wine putih, boleh guna perahan asam limau bagi menggantikan 'watak' wine putih untuk memanjangkan tempoh hayat kek. Wallahua'lam.)

Mereka yang solat fardhu, tidak meninggalkan qiyamullail, konsisten dengan solat berjemaah di masjid (atau surau), bersedekah, melaksanakan haji dan umrah, dan pelbagai ibadah lain dipandang sebagai manusia yang hebat ibadahnya. Benarkah? Manusia hanya menilai luaran kerana segala perkara ghaib hanya diketahui oleh Allah Azza wa Jalla, lalu memang tidak salah apabila manusia menilai dari apa yang dilihat sahaja. Bukan hak manusia untuk mengetahui apa yang tersirat dan perkara ghaib yang menjadi rahsia Allah.


Justeru, bagaimana untuk menjadi insan yang hebat dalam ibadah?


Kembali kepada pesanan Rasulullah s.a.w,

"Waspadalah perkara yang haram pasti kamu akan menjadi orang yang paling hebat ibadahnya."

Allah menghalalkan jual beli tetapi Allah mengharamkan penipuan dan riba.

Allah menghalalkan perkahwinan tetapi Allah mengharamkan zina.

Allah menghalalkan makanan tetapi Allah mengharamkan yang dicuri.

Allah menghalalkan minuman tetapi Allah mengharamkan arak.

Allah menghalalkan silaturrahim tetapi Allah mengharamkan mengumpat, mengadu domba dll.



Ramai manusia yang dapat melaksanakan yang wajib (solat bahkan qiyamullail) namun tidak mampu untuk mengelak dari perbuatan yang diharamkan oleh Allah. 

Solat tetapi memfitnah.

Membayar zakat tetapi mengambil rasuah dan riba.

Bersedekah tetapi memutuskan silaturrahim.

Berzikir tetapi mengambil sesuatu yang bukan haknya.

Berpuasa tetapi menyakiti hati orang lain.

Apabila solat tidak mampu untuk mencegah kemungkaran, maka auditlah diri sendiri (muhasabah) bagaimana keadaan solat tersebut. Waspadalah perkara-perkara haram maka kita akan menjadi manusia yang paling hebat ibadahnya.


Jangan Jadi Seperti Yahudi


Bila Allah suruh mencari lembu, maka banyak soal lembu bagaimana itu ini begitu begini. Mencipta soalan supaya melewat-lewatkan dari melaksanakan perintah Allah. Bertanya sehingga akhirnya menyusahkan diri sendiri. Hakikatnya, Allah 'menyusahkan' syariat hanyalah kerana sikap manusia yang suka bertanya.

Sudah Allah kata haram, haramlah.

"Saya guna wine putih sikit je dalam kek ni nak bagi tahan lama bukan sampai mabuk pun, jadi boleh la. Allah hanya haramkan minuman yang memabukkan. Kalau wine putih campur sikit dalam makanan, tak mabuk pun." <-- Salah satu sikap orang Yahudi.

Konsep beriman kepada Allah. Meyakini apa yang Allah syariatkan dari sekecil-kecil perkara sehinggalah sebesar-besar perkara. Kualiti iman kita berbanding para sahabat, Abu Bakar as-Siddiq apabila mendengar Rasulullah berisra' sehingga ke Baitul Maqdis beliau tanpa banyak soal terus mengiyakan perkara tersebut kerana keimanan kepada Rasul.

Kita? Mengaku beriman tetapi selalu meragui apa yang disyariatkan 'berkat' tarbiyyah Yahudi ke atas orang Islam sehingga terikut perangai mereka...

La haulawa quwwata illa billah.

Wallahua'lam.


*** Sambil ditemani manik-manik air hujan yang semakin menitis laju dan lebat. Petang yang hening, cuaca yg agak2 redup, keletihan sehari semalam di hospital sudah cukup perisa untuk membuai mata menjadi layu.. alhamdulillah walaupn masih bertemankn demam, muntah2 dan bersin yg x sudah2.. ^_^

Sunday, May 22, 2011

Satu Analisis Pengurusan Tanzim



MUQADDIMAH

Mengurus tanzim yang bersifat haraki memerlukan keseriusan, ketepatan, kebijaksanaan dan memenuhi kehendak atau matlamat organisasi.

Islam yang sifatnya syumul memerlukan penganutnya supaya sentiasa berdakwah dan memanggil manusia kepada jalan Allah dengan cara yang bijaksana (hikmah).

Tanggungjawab tersebut memanggil para pendukung harakah ini untuk mengurus tanzimnya dengan penuh munazzamah dan bersifat semasa.

Isu ini bertujuan untuk membantu ‘amilin untuk meninjau beberapa aspek dari pengurusan untuk mengemaskini dan membaik pulih tanzim supaya sentiasa selari dengan matlamat wadah perjuangan itu sendiri.

PENGURUSAN TANZIM
Jamaah Islam diperingatkan akan kata-kata Saidina Ali Karamallahu Wajhah, bahawa gerkan Islam yang rapuh pengurusannya mudah dilakahkan oleh gerakan musuh (kuffar) yang kemas tanzimnya.

Malah Al-Quran awal-awal lagi telah menekankan bahawa Allah menyukai orang-orang yang berperang di jalanNya dalam barisan yang teratur seakan-akan seperti bangunan yang tersusun kukuh (Al-Saff : 4).

Dalil ini sebenarnya menuntut gerakan Islam supaya menyempurnakan, memperkemaskan dan menjitukan urusan organisasinya.

Kita sering terdengar daripada komen dan muhasabah daripada para pendukung gerakan Islam bahawa jamaah seolah-oleh tidak pandai menyusun atur tenaga pekerjanya, program yang tidak tepat, lembap bekerja, kurang program, tidak berkesan dan yang seumpamanya.

Kalau diamati masalah-masalah tersebut, kita akan bersetuju membuat kesimpulan bahawa ia ada kaitan dengan bagaimana kita mengurus jamaah.

Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang di dalam ucapannya semasa Konvensyen Tarbiyyah PAS pada 1 hb September yang lepas berpendapat, bahawa masalah yang perlu diatasi oleh kita termasuklah manhaj yang tidak sampai ke bawah, bekerja secara bersendirian, keberkesanan dan kelembapan.

Analisis masalah-masalah yang disebutkan oleh Tuan Guru tadi mencerminkan beberapa perkara yang berkait terus dengan pengurusan tanzim.

Mengenai manhaj yang tidak sampai ke bawah, ini mencerminkan bahawa komunikasi kita masih tidak efektif atau usaha untuk menjelaskan manhaj tersebut tidak meluas dalam jamaah.

Mengenai bekerja secara persendirian pula, ia menggambarkan pula bahawa ada lagi di kalangan ahli yang tidak jelas mengenai konsep perjuangan secara jama’i. Manakala mengenai keberkesanan dan kelembapan, ternyata kedua-dua perkara tersebut menjelaskan bahawa kemahiran managerial dan supervision masih ketara kewujudannya.

Tidak hairanlah untuk dinyatakan di sini bahawa banyak perkara mengenai pengurusan tanzim yang perlu kita pelajari dan perlulah jamaah serius melengkapkan anggota jamaah dengan kemahiran dan pengetahuan dalam bidang pengurusan.

ASAS PENGURUSAN YANG MUNAZZAMAH
Sistem pengurusan yang tersusun rapi perlu berasaskan kepada pemikiran kepimpinan yang berstrategik dan mampu memandu ahli kepada matlamat jamaah. Di antara asas-asas pengurusan organisasi berstrategik termasuklah:

1.Menentu dan menjelaskan misi jamaah kepada anggota dan bukan anggota

2.Sentiasa membuat analisis mengenai kekuatan dan kekurangan dalaman jamaah serta menilai peluang-peluang dan ancaman luaran jamaah

3.Menjelaskan objektif yang hendak dicapai

4.Membentuk strategi

5.Pelan tindakan

Sebelum asas-asas di atas dibahas, terdapat beberapa faktor yang perlu dijelaskan kerana ia boleh dianggap sebagai teras kepada pengurusan strategik. Di antaranya:

a) Kefahaman

b) Komunikasi

c) Komitmen

Ketiga-tiga faktor adalah initpati kepada pengurusan strategik. Terlebih dahulu ahli dan pimpinan jamaah mesti dijelaskan akan keperluan pengurusan berstrategik. Ini adalah penting untuk mengelakkan salah faham dan kurang minat bekerja atau lembap bekerja.

Selagi mereka tidak memahami kenapa kita perlu kepada urusan pentadbiran yang kemas dan mempunyai matlamat tersendiri, selagi itulah kita akan terdengar masalah-masalah yang berkaitan dengannya.

Justeru itu komunikasi adalah penting untuk menyebarkan dan menjelaskan kenapa pengurusan berstrategik diperlukan oleh jamaah. Komunikasi dua hala adalah paling sesuai sekali diamalkan.

Hasil daripada kefahaman kepada pengurusan tersebut, serta dibantu oleh system komunikasi yang berterusan, maka aspek komitmen ahli untuk melaksanakan kerja akan tinggi dan sentiasa terarah kepada matlamat jamaah.

Visi Jamaah

Ahli perlu memahami visi jemaah secara keseluruhannya. Barangkali perkara ini tidak banyak menimbulkan masalah kerana kesemua ahli memahami bahawa visi dan matlamat jemaah adalah untuk mensyariatkan hukum Allah.

Tetapi perlu diberi peringatan bahawa dalam merealisasikan visi ini banyak perkara yang perlu dilaksanakan. Inilah yang dikatakan sebagai asas-asas pengurusan yang tersusun.

Misi Jemaah

Dengan cara yang mudah, misi bermaksud ‘apakah urusan jamaah sebenarnya’.

Jamaah mesti menjelaskan beberapa elemen antaranya ialah siapakah sasaran, perkara yang disebarkan (produk atau perkhidmatan), di manakah sasaran boleh mendapatkan ‘perkara’ yang hendak disebarkan, imej jamaah kepada masyarakat, keprihatinan jamaah kepada anggota sendiri dan keprihatinan kepada pembangunan organisasi.

Kesemua elemen perlu diperjelaskan kepada para pendukung. Adalah wajar untuk memastikan anggota memahami misi jamaah, maka perlulah ia ditulis dan dihafalkan (jika perlu).

Cuba kita mengingatkan kembali tatkala Al-Syahid Hassan Al-Banna menanamkan semangat jihad di kalangan anggota Ikhwan di mana mereka menghafal slogan mereka, siang dan malam, dengan tujuan untuk sentiasa mengingatkan dan memperbaharui azam supaya matlamat perjuangan sentiasa dihayati.

“Allah Matlamat Kami, Rasul Pemimpin Kami, Al-Quran Perlembagaan Kami, Mati di jalan Allah Cita-cita Tertinggi Kami”. Inilah di antara misi Ikhwan.

Lajnah Tarbiyah mencadangkan agar perkara misi mestilah jelas di kalangan ahli dan pimpinan supaya kita sentiasa terdorong oleh agenda yang mesti kita dibereskan.

Analisis Kekuatan, Kekurangan, Peluang dan Ancaman (SWOT Analysis)

Selepas misi dibentuk dan dipersetujui oleh pimpinan, maka seterusnya perlulah dibuat satu analisa mengenai dua faktor penting, faktor dalaman dan faktor luaran.

Yang dimaksudkan dengan faktor dalaman ialah kekuatan dan kekurangan kita dalam jamaah. Di antara perkara yang dimaksudkan kekuatan ialah keupayaan sumber tenaga anggota, kewangan, sumber fizikal dan lebih saingan (competitive advantage). Manakala kekurangan juga perlu dikenalpasti di samping kekuatan dalaman jamaah.

Ini meliputi sumber kewangan, tenaga pekerja yang tidak mencukupi dan lain-lain lagi.Kedua-dua aspek ini sungguh kritikal bagi tanzim kerana daripada sini jamaah akan dapat menentukan sejauh manakah kemampuan dan kapasiti organisasi dan juga pada masa yang sama perkara-perkara yang perlu dibaiki dalam proses mencapai matlamat.

Faktor luaran termasuklah peluang-peluang luaran yang boleh dimanfaatkan dalam mencapai matlamat organisasi. Di samping itu, organisasi juga perlu mengenalpasti ancaman dan ugutan daripada persekitaran yang boleh membantutkan atau melembapkan proses pencapaian matlamat.

Contoh peluang ialah kesedaran masyarakat kepada Islam. Daripada kesedaran ini maka bolehlah organisasi cuba memanfaatkannya dengan mengemukakan kepada masyarakat program-program untuk mereka (strategi).

Objektif

Kesilapan selama ini dalam mengurus tanzim ialah:

1. Tiada objektif yang jelas

2. Objektif yang susah hendak dinilai akan keberkesanan pencapaiannya

3. Tiada jangka waktu dalam proses mencapai objektif

4. Objektif yang tidak terurus kepada organisasi keseluruhannya

5. Keliru di antara matlamat dengan objektif

Masalah yang ketara dalam jamaah ialah sikap ahli yang tidak mahu menyediakan objektif tanzim, sama ada untuk jangka masa pendek atau jangka masa panjang.

Hasilnya ialah perlaksanaan program yang bersifat ‘impromptu’, ad-hoc dan mengikut trend. Perlaksanaan program seumpama ini selalunya tidak menjurus kepada matlamat organisasi keseluruhannya. Perlaksanaan program hanyalah bersifat untuk memenuhi diari dan bukan dari perancangan menyeluruh.

Apabila ditanya oleh pimpinan bahawa adakah mereka sudah melaksanakan program, maka dirasakan boleh menjawab dengan ‘selamat’ bahawa mereka ada berbuat sesuatu. Sama ada program itu adalah sebahagian daripada strategi menyeluruh, ia masih lagi boleh dipertikaikan.

Pembentukan objektif yang jelas adalah perlu untuk:

1. Mengukur atau menilai prestasi kerja tanzim

2. Kesepaduan tindakan daripada pimpinan dan ahli

3. Tindakan yang terarah

4. Sentiasa memperingatkan akan matlamat akhir tanzim

Pembentukan objektif perlu dinyatakan jangka masanya, samada objektif tahunan atau onjektif jangka masa panjang. Dalam konteks organisasi kita adalah perlu dinyatakan objektif jangka masa panjang selama 4 atau 5 tahun kerana ia bersesuaian dengan keperluan.

Dengan pembentukan objektif seumpama ini baharulah dapat dinilai sejauhmana gerakerja organisasi. Adakah ia berjaya atau gagal.

Objektif ini dapat membantu mendorong ahli dan pimpinan untuk bekerja dengan bermatlamat dan terarah. Selalunya pembentukan strategi berdasarkan kepada analisis kekuatan, kekurangan, peluang dan ancaman yang telah dikenalpasti oleh qiadah (pimpinan).

Ada beberapa cara untuk membentuk strategi organisasi antaranya ialah dengan memanfaatkan kekuatan dalaman digandingkan dengan peluang yang ada dipersekitaran.

Strategi yang baik adalah strategi yang menjurus kepada objektif yang telah ditentukan oleh qiadah.

Terdapat beberapa faktor yang boleh menilai strategi:

a) ‘Consistent’; ia memberi makna bahawa strategi yang hendak dilaksanakan perlu menjurus kepada matlamat organisasi. Ini juga bermakna jika perlaksanaan strategi mendatangkan kebaikan satu pihak tetapi merugikan satu pihak yang lain, maka ini dianggap tidak konsisten.

b) ‘Feasible’; ia memberi makna bahawa strategi tersebut perlulah berdasarkan keupayaan dengan sumber-sumber tanzim, seperti tenaga kerja, kewangan dan fizikal. Ianya juga perlulah tidak memberatkan kapasiti yang ada dalam jamaah.

c) ‘Advantage’; ia bermakna bahawa tanzim perlulah memanfaatkan lebih saingan yang ada dalam organisasi. Ini termasuklah kemahiran, sumber-sumber dan kedudukan. Ia bertujuan supaya strategi yang hendak dilaksanakan adalah berdasarkan ketrampilan organisasi dalam masyarakat.

Pelan tindakan

Ini merupakan tahap yang paling sukar kerana ia mempengaruhi banyak perkara. Secara mudahnya ia bermakna bahawa bagi sesuatu tindakan yang hendak dilaksanakan perlu ada:

• Aktiviti (perkara)

• Ketua

• Tarikh bermula

• Tarikh dijangka tamat

Sepintas lalu, ia agak mudah tetapi realitinya tahap ini adalah rumit. Banyak perkara terlibat dalam tahap ini antaranya ialah budaya kerja tanzim yang sedia ada (membantu atau membantut), struktur organisasi, motivasi, iltizam, penyelarasan, kepimpinan dan pengawasan.

Faktor-faktor ini boleh melicinkan pelan tindakan dengan andaian perkara-perkara tersebut tidak banyak mendatangkan banyak masalah kepada tanzim. Di sinilah perlunya peringatan daripada pimpinan dan dorongan daripada ayat-ayat Allah akan tuntutan berjihad dan berjamaah.

::bekerja utk islam::

~Taujihad Srikandi~

Wahai Srikandi :-

" takhallikan dirimu dari terjerumus ke lembah noda serta sikap bermain-main dengan perjuangan.. tahallikan dirimu dengan sifat sebenar seorang wanita yang hidup dengan perjuangan, pengorbanan serta jihad dan kefahaman juga dambaan syahid "