Friday, April 30, 2010

Kembalilah pada Tuhanmu Yang Satu



Bismillahirrahmanirrahim...

Assalamualaikum wbt..

Alhamdulillah... :) final exam ana baru saja berakhir pagi tadi..paper terakhir ana nervous & endocrine system.  Segala-galanya terasa lega sedikit, walaupun debaran menanti result itu cukup mendebarkan.  Lulus ka aku? gagal ka aku? kuserahkan segalanya pada Dia Yang Maha Berkuasa atas segala-galanya.  Tawakal ku hanya padaNya kerana Dialah sebaik-baik sandaran.  Sekarang fokus ku perlu kepada posting aku ke hospital serian yg bermula pada ahad ini.  Semoga banyak benda penting dan baru yang boleh ku pelajari di sana nanti, insyaAllah.

Semalam aku menerima pesanan ringkas dari seorang sahabat ku semasa di matrikulasi dulu, siti hajar, yang manis orangnya dan terasa tenang bila memandangnya.  Mesejnya bertanyakan sesuatu kepada ku tapi belum sempat ku balas kerana masih dalam kesibukan exam.

" Salam asrar..ni hajar. asrar, ana nak tanya.  Kalau seseorang yang melakukan sesuatu kesalahan, then bertaubat, tapi lepas tu lakukan kesalahan semula, macamana? dan dalam masa yang sama dalam diri dia ada perasaan serba salah. "

Soalan yang berkisar tentang taubat.  Aku kira berapa ramai antara kita hari ini yang sentiasa beringat untuk bertaubat.  Tak ramai jumlahnya.  Maka beruntunglah bagi mereka yang ada keinginan untuk bertaubat dari kesalahan yang mereka lakukan.  Sesungguhnya pintu taubat Allah itu sentiasa terbuka untuk hambaNya yang mendambakan keampunan.

Alhamdulillah sekiranya kita sudah bertaubat dari kesilapan dan kekhilafan kita yang lalu.  Tapi tahu kah kita erti sebenar2 taubat itu apa? mengapa ada orang yang sudah bertaubat tapi masih melakukan kesalahan yang sama?

Jom fahami dulu makna taubat yang sebenar-benarnya.  Menurut pendapat ulama secara ringkasnya taubat Nasuha adalah mencabut daripada melakukan dosa pada masa itu. Menyesali perbuatan dosa lalu dan berazam tidak akan melakukan dosa pada masa akan datang. Kemudian, jika dosa itu berkait dengan manusia, hendaklah dikembalikan haknya kepadanya.

Key pointnya di sini ialah taubat adalah menyesali dosa yang telah lalu dan berazam tidak mengulanginya lagi.  Untuk itu wahai saudaraku bilamana kita mahu bertaubat perlulah dengan kesungguhan dan azam yang tinggi bukannya sekadar ala kadar. "ala hari ni aku taubat, esok2 aku buat lagi lepas tu taubat lagi, pintu taubat Allah tu kan sentiasa terbuka" memanglah pintu taubat Allah tu sentiasa terbuka, tapi kalau esok2 tu mata kita tak celik2dah nak taubat macamana lagi?

Ada jugak yang cakap macamni " aku dah taubat sungguh2 tapi biasalah manusia tak pernah lari dari buat silap sebab tu bila dah taubat adakalanya kesilapan itu berulang lagi, bukannya aku sengaja2 nak buat." Tidak dapat disangkalkan bahawa manusia itu pasti ada membuat kesilapan dan kesalahan. Oleh yang demikian, jika kita menyedari akan kesilapan yang telah dilakukan, maka bersegeralah kita bertaubat kepada Allah dengan sebenar2 taubat.  Orang yg benar2 bertaubat pasti akan sensitif jiwanya untuk terjebak lagi dengan maksiat yang dilakukan.

Berkisar tentang taubat seringkali juga hati bertanya, minda ligat berfikir, mengasak soalan bertalu-talu pada diri, mengapa manusia susah nak buat baik?

Mengapa segelintir manusia lebih suka memilih untuk buat jahat?

Kadang- kadang ingin saja ku temuramah mereka "terlibat dengan urusan sebegitu", ..

Kenapa jadi jahat? Tak takut Tuhan ke? Tak nak masuk syurga ke? Dah tak sayang keluarga?kenapa, mengapa, dan untuk apa...

Namun, hati ini masih sedar, mereka juga manusia, juga punya naluri, punya akal dan perasaan, juga punya nafsu, sama sepertiku..adalah tidak wajar untuk menghukum mereka seratus peratus.

Kadang-kadang soalan- soalanku dijawab secara tidak langsung oleh "mereka", terpapar di dada-dada akhbar, juga di majalah-majalah..

Jawab mereka,

"bukan kami tak nak jadi baik, kami nak..kami nak masuk syurga..tapi kami jahat..
alang-alang dah buat jahat, biar sampai masuk neraka"


"keluarga pun dah tak nak terima kami.masyarakat mula menyisihkan kami. kami hina di mata mereka.kami tak layak untuk berdiri satu barisan bersama pak imam, tak layak nak bersalaman dengan pak lebai"


"ayah dan mak dah tak nak tengok muka saya lagi. mereka malu atas perbuatan saya. kekasih saya lari meninggalkan saya dan anak yang saya kandungkan. mak tak nak mengaku saya ni anak dia. saya dah tak suci, saya dah tak ada apa-apa.."

Itu antara jawapan-jwapan daripada "mereka"..

Sebenarnya banyak lagi kisah-kisah sebegini yang dipaparkan untuk tatapan kita, untuk dijadikan teladan, bukannya ikutan..tapi, yang menghairankan aku, semakin banyak kisah sebegini didedahkan kepada masyarakat, maka masyarakat seharusnya sedar dan menjadikannya sebagai iktibar, memulakan langkah untuk mendidik anak-anak kecil yang masih bersih fitrahnya, memantapkan pendidikan bagi anak-anak yang sudah mulai dewasa, dengan pelbagai pengisian agama, agar tidak mengikut jejak langkah "mereka" itu.

Namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Bermula dari kes yang kita anggap remeh-temeh sehinggalah kes yang membawa ke tali gantung, semuanya seakan dipandang ringan oleh masyarakat.

Malah mereka seakan berlumba-lumba, untuk mencari publisiti murahan, memenuhi dada-dada akhbar, gembira melihat wajahnya ditayangkan di kaca televisyen, tersenyum megah kerana dia dikenali ramai, namanya menjadi bualan di sana- sini, kerana terbait dengan kes RASUAH, BUNUH, ROGOL, dan tak kurang juga yang sibuk memenuhi lebuh raya, merempit sana sini tak tentu hala, kononnya hendak mati di JALAN YANG LURUS.

Belum termasuk lagi kes-kes HARUAN MAKAN ANAK, pelajar SEKOLAH AGAMA buang anak, tambah lagi dengan masalah politiknya, dan bermacam- macam jenis 'penyakit' lagi, yang kini sedang menular di kalangan masyarakat kita, yang kelajuan penularannya mengalahkan penularan virus H1N1.

Aduhai manusia, aduhai bangsaku..

Mengapa kalian memilih jalan sesempit ini. maka akan dijawab mereka,


"kerana ini sudah ditakdirkan Allah"

Aduhai, mengapa kalian sanggup menghukum diri sendiri, sedang Allah telah berfirman bahawa tidak akan berubah nasib sesuatu kaum itu kecuali dengan tangan mereka sendiri.

Mengapa masih memilih untuk menjadi jahat sedang jalan untuk menjadi baik itu adalah lebih senang daripada menjadi jahat!.

Mengapa berputus asa dari rahmat Allah, sedangkan ketika 1 pintu rahmat Allah telah tertutup untuk kita, maka akan dibukakan untuk kita 99 pintu yang lain.

Subhanallah, begitu sekali sayang Allah pada kita. Begitu sekali baiknya Allah pada kita, tapi mengapa kita jadikan Allah murka atas segala perbuatan kita? dan kita berkata,


"aku dah jadi jahat, mana mungkin Allah akan menerima aku sebagai hambaNya".

Masya Allah, pernahkah kalian mendengarkan kisah tentang seseorang yang kehilangan untanya di padang pasir? seseorang yang berkenderaan di tengah-tengah padang pasir, kemudian haiwan yang ditungganginya itu lari meninggalkannya, sedangkan di atas haiwan itu terdapat bekalan makanan dan minumannnya.

Dia berputus asa untuk menemui haiwan dan bekalannya. Lalu dia duduk berteduh di bawah sebatang pohon dan berbaring, kerana dia benar-benar berputus asa untuk menemui haiwan tunggangannya itu. Kemudian dia tertidur.Sejurus dia bangun dari tidurnya, dia mencari lagi untanya itu dengan berjalan kaki namun dia tidak menjumpainya. dia berjalan lagi, namun gagal menjumpainya. Dia mencarinya untuk kali ketiga, namun usahanya itu masih gagal.

Apabila dia kembali ke tempat tidurnya sebelum itu, tatkala dia duduk termenung, tanpa diduganya, tiba-tiba unta tunggangannya yang hilang itu muncul kembali, lengkap dengan bekalan yang dibawanya. Kemudian, dia segera memegang tali tambatannya. Bayangkan kalau kita berada di tengah padang pasir yang luas dan panas yang terik, hampir berputus asa untuk mencari unta yang hilang, tetapi tiba-tiba unta itu muncul kembali di hadapan kita. Mana mungkin kita tidak gembira, gembira yang bukan kepalang..namun sahabatku, sesungguhnya, Allah s.w.t itu lebih jauh lagi gembiranya dengan taubat seorang hamba berbanding dengan musafir yang menemui untanya di padang pasir itu tadi.

Wahai sahabatku sekalian, ayuh, bersangka baiklah dengan Allah. Sebagaimana kita gembira bertemu dengan kekasih hati, malah Allah lebih gembira daripada itu.

Sebagaimana kita menyayangi kekasih hati sepenuh jiwa, namun sayangnya Allah lebih daripada itu, betapa luasnya nikmat pemberian Allah, tapi sayang hanya kita sahaja yang tidak tahu untuk menghargai pemberiannnya.

Banggalah menjadi hamba Allah, tanamkanlah rasa cinta pada Allah dalam diri kita, kerana cinta Allah pada hambaNya sangat tidak ternilai. 

Demi cinta Allah pada hambaNya, Allah telah berfirman,


" dan Dialah Tuhan yang menerima taubat daripada hamba-hambaNya yang bertaubat, serta memaafkan kejahatan-kejahatan yang telah mereka lakukan dan Dia mengetahui apa yang kamu kerjakan", surah an-nisa (4:16).

Sungguh, Allah telah membukakan pintu rahmatNya di siang hari untuk menerima taubat hamba-hambaNya di waktu siang, dan membukakan pintu rahmat pada malam hari hari, untuk menerima taubat hamba-hambaNya pada malam hari.

Tapi, melihat keadaan kita pada hari ini, yang masih lagi dengan ego dan sombong yang menebal pada diri..cita-cita tinggi dijulang, mengimpi syurga Allah, namun tanpa sedar, amalan- amalan yang kita lakukan itu semakin membuatkan kita jauh dari syurgaNya, jauh dari rahmatNya..

Amatlah rugi bagi mereka yang telah diberi peringatan, tapi masih bermegah-megah dengan diri sendri, tanpa sedar apa yang kita miliki ini semuanya adalah milik Allah.

Alangkah sedihnya hati ini, seakan tiada siapa lagi yang memerlukanNya, seakan tiada siapa yang mahukan taubatnya diterima, seakan tiada siapa yang mahu dosanya diampunkan, dan..seakan tiada siapa yang berlumba-lumba untuk meraih cintaNya Yang Maha Pengasih, lagi Pemurah itu..

Wallahualam...

Saturday, April 24, 2010

Ku balas surat cintamu ukhti..


Bismillahirrahmanirrahim....

Aku mencintai sahabatku dengan segenap jiwaku,sahabat yang baik adalah yang seiring denganku dan menjaga nama baikku ketika aku hidup dan selepas mati.Ku hulurkan tangan kepada sahabatku untuk berkenalan kerana aku akan berasa senang.Semakin ramai sahabat,aku semakin percaya diri.Aku selalu berharap mendapat sejati yang tidak akan luntur dalam suka dan duka.Jika aku dapat,aku akan setia padanya“
(Imam as-Syafie)

Assalamualaikum w.b.t...

Saat jari jemari lancar berlari di atas papan kekunci laptop ana ini, mutiara jernih juga turut laju menuruni lurah pipi ini lantaran sebak dan terharu atas kata-kata dari seorang sahabat ana yang teramat, amat, amat ana cintai.  Dia si manis Asiah Yusra atau yang ku ukir namanya dalam setiap coretan hatiku sebagai Layyinul Nadrah yang banyak berkongsi suka duka bersama ku dan yang banyak membantuku sepanjang hampir setahun aku di bumi kenyalang ini.  Ukhti terima kasih atas segala-galanya, terima kasih juga atas kata-kata yang cukup bermakna buat ana ini..


"Dan yang terakhir sekali, si dia yang paling istimewa. "Asrar Qalbi". Namanya seindah orangnya. Si kecik molek. Biarpun jarak usia yang amat berbeza namun kami bedua punya banyak persamaan. Malah si kecil molek ini telah mengajar ku banyak perkara tentang perjuangan. Ku terinspirasi melihat perjuangannya sejak kecil kerana ISLAM. Ku terinspirasi bagaimana dia menggunakan kalamnya untuk berjuang dan kerana itu terlahirlah "salju sakinah'. Bertuahnya diriku, di saat saat akhir berada di alam kampus, ALLAH pertemukan dengan si kecil molek ini yang boleh kukatakan sebagai penyelamat. Terima kasih ya dik"

SubhanAllah...ana terharu sangat.. ='(

Ukhti, ketahuilah betapa ana sayangkan ukhti,teramat, amat sayang.  Saat diri ini terlantar sakit, dirimu lah yang rajin menziarah dan memasak untukku.. ku ingat lagi setiap pesanan ringkas yang ku terima darimu pagi, petang dan malam "Salam..dah makan baby?".  Terasa diri ini dimanjai dan dihargai sangat2.

Ukhti, ana bukanlah penyair yang hebat untuk mempersembahkan rasa cinta dan sayang ku padamu, tapi hanya ini yang mampu ku balas untukmu sebagai tanda betapa ku menghargai kehadiranmu di sisiku..

Pertemuan antara kita,
Tidak pernah dirancang,
Tetapi telah diatur kemas oleh Rabbul Jalil,
Yang mengetahui suara hati antara kita,
Yang mengimpikan kehadiran seorang insan,
Bergelar sahabat...

Walaupun bukan aku yang diharapkan,
Tetapi akulah yang hadir dalam hidupmu,
Mungkin kehadiranku tidak pernah dinanti,
Namun, Tiada walau secalit kekecewaan,
Apatah lagi kekesalan di hati ini,
Malah, Aku amat menghargai pertemuan ini,
Kerana dengannya,
Terjalinlah sebuah ukhuwah fillah...

Dan Bilamana dirimu meraih tangan,
Insan bergelar sahabat,
Tanpa dirimu sedari pipi dibasahi,
Butiran mutiara yang sangat indah..

Bilamana tercipta satu pertemuan,
Dan Terungkai segala isi hati,
Terungkap sebuah jalinan persahabatan,
Andai suatu hari nanti kita terpisah,
biar maut penyebabnya. 
Bukan sengketa,bukan jarak atau masa. 
Kerana ukhwah kita tiada gantinya.
Biar kekal hingga hujung nyawa..

Bertemu dan berpisah kerana Allah,
Bisa melahirkan rantai-rantai perjuangan,
Pergimu menyebarkan wangian jannah,
Moga dunia ini akan berbau haruman syurga.

Tetapi sedarlah sahabat,
Saat dirimu menghadap Rabbul Izzah,
Mutiara indah yang hadir menemani dirimu tika itu,
Itulah air mata yang paling bernilai,
Ia bisa menjadi perisai untukmu.

Sahabat andai dirimu dahagakan kasih dan cinta,
Dambalah cinta dan kasih Yang Satu.

Dan kepada Allah Yang Satu ku tadahkan tangan memohon darimu..

Ya Allah,
Sahabatku buah hatiku
Mesra kami penawar duka
Rindu kami menambah cinta
Rajuk kami membuah ceria

Ya Allah,
Silaturrahim kami ukhwah fillah
Bermusuh kami nauzubillah
Berpisah mati insyaAllah
Pengubat hati doa rabitah

Ya Allah,
Rahmati kami meniti usia
Terpisah kami di alam nyata
Temukan semula di Taman Syurga
Amin Ya Rabb…

Ukhti ku sayang fillah..

Ketahuilah dirimu terhias sebagai sebaik2 ciptaan, maka jadikanlah dirimu Nisa’ yg boleh menjadi mujahidah , jihad di jalan Allah..jadikanlah dirimu antara fatayat yang dijulang..cantik dipandang tetapi susah utk dipegang..jadikanlah dirimu gadis manis yg tidak pernah kalah dgn redup panahan mata adam..Biar nafsumu hidup dlm tarbyyah di jln da’wah bertintakan darah & air mata perjuangan, dititp atas warkah penuh kemuliaan & dikirimkan utk mujahadah menuju Tuhan ..

Ukhti,

Ukhuwah ini adlh anugerah yg membuat kita tertawa menangis, menerima, memberi dan yg paling penting membuat kita menghargai erti hidup..jadilah seperti embun yg tunduk menitiskn kasih sayang .. Setia menyirami kalbu kegersangan dgn mutiara kesabaran & kaca kebenaran..smoga ukhuwah yg terbina dgn lafaz bismillah hanya akan diakhiri dgn lafaz Innalilah…

Ku mengasihimu kerana ALLAH dan ku pinta kasihiku kerana ALLAH juga..

salam sayang fillah.. wallahualam..

Thursday, April 22, 2010

Jahat sangat ke aku ni... ='(



Assalamualaikum wbt..

Sedih nak tulis kat blog ni..xtau nak tulis cmne..jahat sangat ke aku ni?? ='(

Aku cuba tuk x sakitkan hati orang sekeliling aku..x kira lah siapapun..kalau boleh hati setiap mereka aku belai dan jaga dengan baik, xnak mereka terasa walau sedikit pun..aku nak orang2 sekeliling aku bahagia, ceria walaupun aku sendiri yang terluka...

Aku x ambik apa2 pun dari korang, x rampas apa2 pun macam yang korang fikir..aku xnak pun buat macam tu,  xnak ambik hak orang sebab aku nak kawan2 aku bahagia, jangan salah faham kat aku..aku sedih.. *emo

Aku nak kawan2 aku bahagia macam jugak aku yang nak bahagia..tolonglah jangan sangka buruk kat aku, sedih sangat..macamana aku nak explain kat korang, aku xde wat pape pun..

Cara korang pandang aku, seolah-olah aku ada wat silap besar sedangkan aku sendiri xtau apa silap aku..kalau betul aku ada buat salah terus teranglah kat aku..jangan buat muka kat aku..sedih hati aku bila korang buat macam tu..terasa sangat2..sedangkan xtau pun aku ada buat salah..

Rasa macam xnak menulis dah kat sini..dah hilang semangat.. ='( nak tutup Titisan Embun ni wat sementara waktu..

....................................................................................................................................................................

Monday, April 19, 2010

Penat ker jadi baik???

"Asrar, awak tak penat ker jadi baik?"
ahah...soalan bonus betul, asal lah tanya saya soalan macam ni..hurmm.. *sigh



Assalamualaikum wbt..

Untuk memuaskan hati orang yang bertanya soalan di atas tu terpaksa lah jugak saya mengupdate kanvas cinta ini walaupun dalam kesibukan exam...haih..=_=".  Dalam banyak2 soalan yg boleh di tanya kat saya, soalan tu plak yang kluar..mmm..oklah kalau macam tu sebelum go through to the answer, saya nak tanya sket... boleh tak??? boleeeeehblah!! haha..tak kira saya nak tanya jugak! ish, brutal betul lah muslimah ni (maaflah yer entri kali ni 'nakal' sket..tak macam selalu skema jer haha)..alamak..kena lah sopan sikit, lemah lembut tu kan sifat wanita walaupun pada hakikatnya saya adalah orang yang terkecuali hehe.. hah,nak tanya nih,apa mende yang korang buat tak penat??? tido, makan, duduk, berdiri, berjalan, mengumpat, ketawa, berborak n etc??huh,semua pun penat!betul x? betuuulll............(semua jawab dlm hati, macam budak sekolah rendah, haha).  So, jadi baik pun penat lah?mmm...senang jer nak jawab, as easy as ABC.."penat lah"!! >.<"

Wahai insan mulia yang mengutarakan soalan cap emas (bukan cepu emas) itu kepada saya, sesungguhnya menjadi baik itu penat.  Apa awak ingat jadi baik tu tak penat ker?? Ianya tersangat lah penat, bahkan menuntut seinfinity kesabaran dalam hati ni.  Kadang-kadang tu ada juga terasa.Saya juga manusia yang lemah. Saya pernah di hina dikatakan perempuan tak bermaruah kerana harga sebuah kebenaran yang saya sampaikan kepada mereka huh.. Allah sahaja yang tahu betapa pedih dan terhirisnya difitnah sebegitu, saya di cerca sesuka hati oleh orang yang saya percayai dan kenali hati budinya! Menjadi seorang yang terlalu baik sebenarnya mendedahkan saya kepada situasi akhirnya saya di tindas dan di aniaya.  Ya, mereka akhirnya menghancurkan hati saya. Bukan balasan baik yang saya perolehi-sebaliknya mereka menuduh saya hipokrit!!! *emo

Astaghfirullahalazim..Bukan senang nak jadi baik..Memaafkan pun jadi salah. so apa lagi? Takkanlah orang berbuat jahat kita juga harus berbuat jahat? No, it is not me..I dont care if u wanna hurt me but to revenge is not me. Terserah apa orang nak fikir tentang kita yang pasti kita tahu apa yang kita buat adalah betul dan yang penting, keredhaan Allah itu yang paling utama.  Saya tak cari keredhaan manusia!

"Jika kamu memperoleh kebaikan, niscaya mereka bersedih hati, tetapi jika kamu mendapat bencana, mereka bergembira karenanya. Jika kamu bersabar dan bertakwa, niscaya tipu daya mereka sedikit pun tidak mendatangkan kemudaratan kepadamu. Sesungguhnya Allah mengetahui segala apa yang mereka kerjakan."
[Al-Imran:120]


Tapi diakhirnya saya beroleh kemenangan, hoyeah!!.  Biasalah kebenaran itu akan sentiasa berada di atas walau apa  sekalipun.  Mereka meminta maaf kepada saya, huh senangnyer...its ok saya juga seorang yang pemaaf dan tak menyimpan dendam tp bukan pelupa, ok diulangi bukan pelupa! (its easy to forgive but its hard to forget) I forgived but i never forget!

Dah jelas kan jadi baik tu penat..penat menahan diri, penat membina kesabaran yang boleh meletup bila2 masa jer...jadi,kalau dah tau penat kenapa nak jadi baik?baik jadi jahat jer... Amboi,ingat jadi jahat  tu tak penat ke???macam yang saya nyatakan kat atas tadi (sila rujuk kembali jika terlupa, harap maklum), semua benda yang kita buat kat bumi Allah ni penat.  Jadi, buat jahat pun penatlah jugak, bukan buat baik jer..faham tak? kalau tak faham jugak jom buat matematik sekejap (dah lama tinggal math sejak berada dlm bidang medical ni,huhu..)

premis 1: menjadi jahat adalah pekerjaan
premis 2: pekerjaan adalah memenatkan
conclusion: menjadi jahat adalah memenatkan
(entah betul entah tidak saya buat ni..lantak lah haha)

Kesimpulannya buat jahat pun penat.  Macamana pulak boleh penat? seronok jer buli orang, kenakan orang, hina orang, maki orang kan3???  Memanglah seronok, tapi seronoknya sekejap jer, lepas tu tenang ke buat orang macam tu?  Sure tak tenang punya,saya berani kerat jari korang (perhatian bukan jari saya ahah).  Orang-orang yang buat jahat ni, hidup dia tak tenang.. sentiasa dalam keresahan,gelisah kerana hati tak bersih kan penat tu.. Hmm. berkisah tentang jahat saya ada sedikit kisah untuk di kongsi bersama..maaflah yer lari topik sebentar hehe..takpe untuk pengajaran bersama..  Saya ada seorang sahabat ni, baru sahaja putus cinta kerana perselisihan faham dengan ex-buayafren dia tu tapi, dia kadang2 masih tak mampu nak maafkan buayafren dia tu.  Saya petik sikit kata2 dia kat saya beberapa hari lepas.

"Saya tidak boleh maafkan dia.Saya tipu apabila saya cakap saya sudah maafkan bekas boyfren saya, hakikatnya, saya masih merindui dia dan dalam masa yang sama bencikan dia.  Asrar, awak ingat saya nak ke jadi macam ni? Saya tak nak tahu tak.Awak ingat perempuan-perempuan jahat tu nak ke jadi jahat? entah saya tidak tahu, tapi saya tak nak.Saya nak jadi solehah Asrar.  Tapi syaitan asyik mengganggu saya."

Tiada siapa yang inginkan sesuatu yang tak elok terjadi terhadap dirinya. Manusia yang waras tentunya menginginkan yang baik-baik sahaja.Namun kadang-kadang situasi yang memaksa kita menjadi seorang yang di luar kawalan.Adunan perasaan yang seribu satu serta di dorong angan yang tidak berkesampaian mengubah kita menjadi insan yang sukar di ramal.  Hinggakan kadang-kadang kita sendiri benci melihat bayang-bayang sendiri, kerana kita juga tahu membezakan mana yang baik dan mana yang buruk.Ingin melangkah tapi terasa bagaikan kaki di rantai. Ingin menjadi lebih baik tetapi ada sahaja alasan yang menghalang. Harus bagaimanakah?

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui."
[Al-Baqarah:216 ] 



Maka, pesan saya, maafkanlah.Sesungguhnya maaf adalah penawar yang terindah, dan sebelum kita memaafkan seseorang, kita kena maafkan diri sendiri dulu. Lapangkan dada, tenangkan hati. cuba untuk berpijak di bumi yang nyata. jika kita tidak nampak apa-apa jaminan positif di masa hadapan, maka lepaskan dia pergi. past is past, gone is gone.kita hidup hari ini kerana sejarah semalam. dan untuk hidup esok hari, bergantung kepada apa yang kita lakukan pada hari ini. Optimislah.

Sesuatu masalah umpama simpulan tali yang kusut. Untuk menyelesaikan sesuatu masalah, kita kena menghadapinya dengan bijak, elakkan daripada melarikan diri dari masalah. Jangan menarik simpulan tali terlalu kuat, kelak simpulan itu akan semakin ketat dan sukar untuk di leraikan. Jangan mengenggam rama-rama terlalu kemas, kelak rama-rama itu terkoyak sayapnya lalu binasa. Belajar untuk memaafkan dan melupakan. Saya tahu ianya sukar, tapi demi kehidupan kita yang lebih baik di masa hadapan, kita tiada pilihan!Time will heal, insyaAllah jika kita mengizinkannya.

Luka yang paling dalam adalah luka kerana hirisan pertama.
Sakit yang paling sakit adalah sakit yang di ciptakan orang yang paling kita cintai!

Itulah kenyataan, lumrah alam. Tapi, mematahkan seluruh tangan kerana hirisan kecil di jari adalah suatu tindakan yang tidak bijak. Maksud saya, mensia-siakan seumur hidup kita kerana menangisi dan mengenang luka yang silam adalah tidak berbaloi! Luka di jari akan sembuh dengan sendirinya, cuma terserah kepada kita bagaimana untuk mengizinkannya sembuh. Kalau nak cepat baik, letak lah ubat, dan sebaliknya..begitulah juga kehidupan ini..  Nak sembuhkan luka dihati banyakkanlah mengingatiNya, dekatkan diri kepadaNya..Dia lah cinta teragung yang takkan kau temui rasa kecewa didalamnya tapi kau hanya akan bertemu dengan kebahagiaan dan ketenangan bersamaNya.. indah hidup bersama Ilahi.

Cewaah...dah macam kaunselor lah pulak saya ni..banyak merepek ker??ish3..Asrar2, mentang2 lah dalam suasana demam exam,awak pun mereng sekali haha..(seorang sahabat saya selalu cakap saya mereng haih..sape lah orang tu..hmmm...nak tau??? jeng3...semestinya tutor tak bertauliah saya haha) tapi, takpe saya tak marah orang kata saya mereng sebabnya Asrar baik kan hehe... bukan riak yer..^_^

Ok dah3..jom kembali ke pangkal jalan..kita ke topik sebenar tadi.  Hurmm..jadi baik pun penat, jadi jahat pun penat.  Dua2 pun penat, so nak yang mana??? saya bagi dua pilihan..hehe

pilihan pertama: Jadi baik, bersedia untuk di hina, dicerca, dimaki, ditertawakan, dipinggirkan dan semua tu memang PENAT untuk dihadapi tapi ingat Allah janjikan syurga disebalik semua tu.  Waaahh..terasa hilang semua kepenatan itu bila terfikirkan keindahan syurga yang Allah janjikan buat hambaNya yang bertaqwa dan beriman kepadaNya.

Rasulullah SAW pernah menjelaskan keindahan syurga diantaranya adalah : 'Batu batanya dari emas dan perak, perekat (batu-batu) nya berupa misik harum, kerikilnya berupa permata dan yakut dan tanahnya dari za'faran. Barangsiapa memasukinya akan mendapatkan kenikmatan dan tidak pernah celaka, kekal tidak mati, pakaiannya tidak akan usang dan selalu awet muda.' (Hadits shahih riwayat Ahmad, dan Tirmidzi).

Indah bukan...^_^

pilihan kedua: jadi jahat, bersedia untuk menghina, mencaci, memfitnah, mengherdik, mentertawakan dan yang penting semua tu memang penat di tambah dengan keresahan dan kegelisahan..tak tenang hati cik kak n cik abg oii..dan ingat neraka lah balasan bagi mereka yang berbuat kerosakan di bumi Allah ini.

"Dan sesiapa yang datang membawa amal jahat (yang telah dikerjakannya) maka sudah tentu mereka akan ditumuskan mukanya ke dalam api Neraka, (sambil dikatakan kepada mereka): Kamu tidak diberi melainkan balasan apa yang kamu telah lakukan." An-Naml [90]

Jadi, sudahkah anda membuat pilihan?hehe..terpulanglah kepada para pembaca yang saya sayangi kerana Allah..tepuk dada tapi ingat watch out! jangan tanya selera kerana selera sering bersama dengan nafsu, nafsu pula di pandu oleh syaitan, elakkan ikut kata nafsu nanti binasa, jadi tanyalah iman apa kita mahukan dalam hidup ini.

Setiap apa yang Tuhan ciptakan biarpun sebesar zarah, pasti ada sebabnya, ada hikmah yang tersembunyi. dan Dia Maha Mengetahui. Dalam setiap kejadian tiada yang sia-sia. Yakinlah dengan kekuasaan Allah, yakinlah bahawa Dia Maha Adil.  Jangan sesekali berasa penat berbuat kebaikan jika kita mengharapkan balasan daripadaNya semata-mata. 

Tapi kalau nak buat jahat juga..silalah..cuma ingat pesan Allah "buatlah sesuka hati kamu,apa yang kamu suka dibumi Aku ini, tapi kelak kamu akan mendapat balasan setimpal dengan apa yang kamu lakukan".  Dan kepada sahabat2 ku sekalian saya sudah memperingatkan kepada anda semua, di akhirat nanti jangan kata saya tidak menyampaikan kepada anda ^_^

"Buat apa penat2 nak ingatkan orang?" "tak payahlah nak jaga tepi kain orang, busy body betul!" ni yang tak best nie, awak ingat saya suka sangat ker nak ingatkan orang  ni hah, nak jaga tepi kain orang??(ceh..hehe).. bukankah Allah ada berfirman dalam surah al-asr orang2 yang beruntung itu adalah orang2 yang sentiasa berpesan-pesan kepada kebenaran dan berpesan-pesan kepada kesabaran. (yang budak sekolah agama tu hari2 baca surah ni tapi tak reti nak aplikasi apa nak jadi haih...).  Cuma apa yang saya nak tegaskan kat sini saya tak nak di akhirat kelak ada yang tuntut dengan saya "Asrar kenapa awak tak ingatkan kepada kami sedangkan kau mengetahuinya?" hah, sape nak jawab tu??? teeeeettttt..... lu pikir lah sendiri..

Huh..cukuplah setakat ni..esok saya ada paper lagi, doakan saya yer kawan2 pembaca sekalian :)

wallahualam...

p/s maaf andai ada yang terkasar @ tersinggung..terutama kepada my tutor, balik2 termention pasal awak hehe... ;)

Saturday, April 17, 2010

Pesanku Sahabat: Jangan Gadai Syurga Itu!



Bissmillahirrahmanirrahim....



ادْخُلُوا الْجَنَّةَ أَنْتُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ تُحْبَرُون {70} يُطَافُ عَلَيْهِمْ بِصِحَافٍ مِنْ ذَهَبٍ وَأَكْوَابٍ ۖ وَفِيهَا مَا تَشْتَهِيهِ الْأَنْفُسُ وَتَلَذُّ الْأَعْيُنُ ۖ وَأَنْتُمْ فِيهَا

{73} خَالِدُون {71} وَتِلْكَ الْجَنَّةُ الَّتِي أُورِثْتُمُوهَا بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ {72} لَكُمْ فِيهَا فَاكِهَةٌ كَثِيرَةٌ مِنْهَا تَأْكُلُ 

"Masuklah kamu ke dalam surga, kamu dan isteri-isteri kamu digembirakan (70). Diedarkan kepada mereka piring-piring dari emas, dan piala-piala dan di dalam surga itu terdapat segala apa yang diingini oleh hati dan sedap (dipandang) mata dan kamu kekal di dalamnya (71). Dan itulah surga yang diwariskan kepada kamu disebabkan amal-amal yang dahulu kamu kerjakan. (72). Di dalam syurga itu ada buah-buahan yang banyak untukmu yang sebahagiannya kamu makan. (73)
(Surah Az-zukhruf: 70-73)

Assalamualaikum wbt...

Alhamdulillah walaupun masih dalam suasana kesibukan final exam Allah masih memberi ruang dan peluang kepada ana untuk melakar tinta di kanvas cinta ana ini.  Masa yang dikurniakan olehNya ini sangatlah berharga dan amat rugi andai disia2kan walau sesaat cuma kerana sesungguhnya taklifan kita, tanggungjawab kita sebagai khalifah di muka bumi Allah ini teramatlah banyak sehingga melebihi masa yang ada sepertimana yang Sayid Hassan Al-Banna katakan “orang mukmin mempunyai tanggungjawab melebihi dari masa yang ada.”  Buat para dai'e yang berjuang dijalannya tanpa mengira waktu usahlah bimbang dan gelisah kerana usaha kalian itu akan di nilai oleh Allah dan bakal menjadi saksi didepanNya kelak ketika Mahkamah Mahsyar membuka sidang pengadilannya bahawa sesungguhnya kalian punya usaha untuk mendaulatkan agamaNya.

Entri kali ini ana nukilkan khas buat sahabat2 ana yang nun jauh di mata dan yang juga sentiasa berada disisi ana susah dan senang.  Sesungguhnya ana sayangkan kalian dan rindukan kalian setiap saat dan waktu kerana Dia..betapa indahnya ukhuwah fillah..
Sahabatku dengarilah ini, moga menjadi titipan buat perjalanan hidupmu juga buat hidpuku.

Sahabatku,

Kata orang bercinta, biar jauh di mata tetapi tetap di hati. Andai rindu menggigit sukma, pandanglah pada sang rembulan di malam hari kerana bulan itu hanya satu dan di mana juga kita berada, kita tetap memandang bulan yang satu.

Kata orang berkasih, biar jauh di mata tetapi hadir dalam doa. Andai dilanda rindu dendam, segera memandang langit yang luas agar terasa keluasan rahmat Tuhan, mudah-mudah Allah yang Maha Pemurah itu segera mengaturkan pertemuan.

Kata orang saling menyayang, biar jauh di mata tetapi tetap diingati walau ke alam mimpi. Andai terasa sayangnya meluap-luap, pandanglah ke tanah agar segera mengingati mati, mudah-mudahan ingatan pada kematian akan melenyapkan keripuhan hati yang melanda.

Saat kau menyepikan diri dariku aku hanya mampu memujuk hati.

Jauhmu dariku adalah kerana Allah.
Sepimu dariku adalah kerana kesibukan seharianmu sebagai penuntut ilmu.
Senyapmu adalah kerana jadualmu padat sebagai pejuang agama Allah.
Diammu adalah kerana dirimu dikelilingi sahabat-sahabat yang soleh solehah.

Tetapi, pesan aku padamu wahai sahabat yang teramat, amat, amat aku sayangi. Jagalah dirimu sebaik-baiknya. Peliharalah dirimu dari kelalaian duniawi. Letakkanlah dunia di tanganmu dan akhirat itu di hatimu. Janganlah sesekali kerana hartamu, keluargamu, cintamu pada makhluk membuatkanmu lupa, lupa pada tujuan asalmu diciptakan. Bukanlah aku melarang dirimu mencari kesenangan duniawi. Kejarlah kebahagiaan duniawi itu sahabatku tapi jangan sesekali kau gadai syurga yang Allah janjikan buatmu semata-mata kerana itu! Sesungguhnya syurga itu seribu kali lebih membahagiakan berbanding kesenangan palsu di alam fana ini.  Tepislah godaan duniawi dengan mewujudkan rasa kasyatillah yakni takut kepadaNya.

Taatilah ibu bapamu sesungguhnya redha Allah itu terletak pada redha mereka dan murka Allah itu terletak pada murka kedua insan mulia ini.  Renungkanlah wahai sahabatku.  Dalam hati ibumu berkata: Pergilah anakku.  Tuntutlah ilmu dengan kesungguhan.  Jangan kamu lemas dalam kebebasan yang ibu berikan.  Ibu tidak hantar kamu ke sana melainkan ibu percaya kepada kamu, kerana kamu anak ibu.  Dalam jiwa ayahmu pula berbisik: "Anakku ayah lepaskan kamu dengan sejuta doa moga kamu tak pernah lupa nama yang kamu bawa di hujung namamu itu.  Hati ini penuh berharap agar kamu pulang bersama piala kemenangan dan menjadi anak yang soleh dan solehah yang bakal menjadi syafaat kami di akhirat kelak."

Sesungguhnya sahabat orang tuamu itu juga merupakan kunci ke syurgamu.  Hargailah mereka, sayangilah mereka, penuhilah impian mereka.  Jangan sesekali dirimu mengkhianati dan menyakiti mereka kerana jika itu kau lakukan bererti kau mengisytiharkan perang dengan Tuhanmu!

Ingatlah sahabat jalan ke syurga itu bukannya mudah. Ia memerlukan mujahadah yang besar dan ketaatan yang tinggi kepadaNya. Sesungguhnya perjalanan ke syurga itu dikelilingi dengan onak dan duri yang begitu payah dan pahit untuk diharungi kerana syurga itu manis. Taatilah perintah Tuhanmu moga dirimu dikasihi Tuhan.

Dan aku hanya terdaya meminta dan terus meminta dari Allah agar sentiasa memelihara sahabat yang aku cintai ini dengan sebaik-baik penjagaan. Kerana, hatiku selalu yakin bahawa tiada penjaga yang lebih hebat jagaannya selain dari Allah yang Esa. Hatiku terpujuk, jiwaku menunduk, perasaanku terduduk...

Sekeping hati ini aku berikan pada Allah, lantunan doa buat sahabat yang sentiasa hadir setiap sujud terakhir dalam solatku.

wallahualam...

Wednesday, April 14, 2010

Emoticon dan Dakwah? :)



Bismillahirrahmanirrahim...
ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنْ ضَلَّ عَنْ سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ
بِالْمُهْتَدِينَ
" Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayat petunjuk."
(surah an-nahl:125)


Assalamualaikum wbt.. :) *senyum dulu kerana entri ni ada kaitannya dengan emoticon hehe..

Bercakap pasal emoticon ana pasti semua orang kenal apa itu emoticon.  Ala-ala simbol gitu lah untuk tunjukkan expression kita terutama semasa berborak dalam ruangan chat.  Semalam seorang sahabat ana menjadi tutor tak bertauliah mengajar ana cara2 nak buat facebook emoticon.  Rasa seronok dan kelakar belajar walaupun tak masuk exam hehe..(alamak, jumaat ni dah start final exam..doakn ana :p ).  Di bawah ni adalah antara emoticon yang ana belajar:

<(")
(^^^)
:|]
:*
<3
8)
8-|
Ada banyak lagi tapi kalau nak tulis satu2 kat sini karang penuh pulak entri ana ni dengan emoticon yang ana kira agak cute ni hehe...  Setiap emoticon ni mempunyai expression yang tersendiri, ada senyum, marah, mencebik, merajuk, sedih, gembira, heart(love), penguin, cool, yang teruknya ada pulak emoticon kiss (aish,sapelah ajar ana mende2 alah tu)..hmmm..ok, habis cerita tentang belajar dan di ajar ni lets go to the main point..


Apa kaitannya dengan dakwah?

Allah swt dan baginda Rasulullah menganjurkan kepada kita untuk berdakwah secara hikmah dan lembut kepada mad'u kita.  Kebanyakan mad'u susah nak menerima apa yang seorang dai'e sampaikan kerana pendekatan yang digunakan.  Ada dai'e yang menggunakan kekerasan untuk menyampaikan sesuatu kepada mad'u.

Ana ambil contoh yang paling popular pada masa sekarang ni iaitu nak tegur pasangan2 yang bercouple, yang dating duduk berdua2an.  Semasa ana di matrikulasi dulu seorang sahabat ana pernah menegur satu pasangan couple yang sedang memadu asmara di kafe berhampiran kolej kediaman kitorang.  Pasangan perempuan itu merupakan anak usrah kepada sahabat ana itu sendiri.  Tanpa bertanya pendapat ana sahabat ana itu terus sahaja meluru kearah pasangan itu dan blablabla...  Ana terkedu tak sempat berbuat apa2.  Semua pelajar yang berada di kafe tersebut melihat dengan penuh menarik incident itu.  Ana lihat ekspresi wajah pasangan tersebut berubah mendadak.  Yang lelakinya kelihatan berang dan yang perempuan ana lihat merah padam mukanya mungkin malu kerana disembur di khalayak ramai.  Tidak mahu perkara yang lebih buruk berlaku ana menarik tangan sahabat ana tapi sempat melemparkan senyuman kepada pasangan tersebut sebelum berlalu.

Natijahnya perempuan tadi yang merupakan ahli usrah kepada sahabat ana tidak menghadiri usrah selepas kejadian di kafe tersebut.  Malah sekiranya sahabat ana ziarah ke biliknya dia hanya mendiamkan diri tanpa menghiraukan sahabat ana tersebut.  Itulah akibatnya sekiranya kita berdakwah tanpa menggunakan pendekatan yang betul.  Mad'u yang mahu didekati dan ditawan hatinya akan mengelak dan melarikan diri dari kita.  Bukan itu yang kita mahu.

Bilamana kita bergelar sebagai dai'e seharusnya kita tahu cara nak mengambil hati mad'u kita.  Hati seseorang tidak mudah menerima sesuatu dengan kekerasan.  Hati yang mahu dijinakkan itu seharusnya ditawan dengan pendekatan yang lembut.  Umpama air sungai yang mengalir lembut tetapi mampu mengubah rupa bentuk batu keras yang dialirinya.

Tersenyumlah kepada setiap insan yang ingin kita tawan hatinya mendekati dan mencintai Allah.  Belailah hati itu dengan kata2 yang indah lagi menyejukkan.  Ingatlah pendekatan yang digunakan oleh baginda Rasulullah saw untuk menawan hati ummatnya.  Masih tersenyum walau dihina, dicaci, dimaki, difitnah hatta dilempar dengan batu dan najis tetapi baginda tidak marah malah mendoakan yang terbaik untuk mereka.  Berbalik kepada situasi sahabat ana diatas, ana bertanya kepadanya apa yang mendorong dia untuk terus memarahi pasangan tersebut.  Jawapan sahabat ana sungguh mengecewakan ana kerana dia dikuasai perasaan marah dengan perbuatan ahli usrahnya itu.  Lupakah kita perasaan marah yang tidak terkawal itu datangnya daripada syaitan.
Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: "Apabila seseorang daripada kamu marah, maka hendaklah ia mengambil wuduk. Maka sesungguhnya marah itu daripada secebis api." (HR Abu Daud).
Kalau pasangan yang memadu asmara itu tadi kita katakan mereka mengikut telunjuk syaitan apa bezanya dengan kita yang juga mengikut telunjuk syaitan kerana tidak mampu mengawal marah.

Begitu juga dengan dakwah kepada sahabat2 melalui alam maya.  Kadang-kadang semasa bersembang di ruangan chat bersama sahabat2 dan adanya perkara berbangkit yang dibahaskan ynag memerlukan kita bertegas kita tidak sedar kata-kata kita kedengaran keras walaupun pada hakikatnya kita sedang tersenyum menaip hujah2 kita.  Ada yang terasa hati dengan hujah kita yang di anggap keras kerana tidak melihat ekspresi muka kita saat itu yang terhijab disebalik dunia internet.  Untuk mengelakkan perselisihan dan salah faham berlaku apa salahnya kita meletakkan emoticon yang ana sebutkan tadi di setiap akhir hujah atau kata2 kita.  Bilamana sahabat kita yang berada disebalik alam maya itu melihat senyuman emoticon itu dia mungkin akan berlembut hati menerima kata2 kita walaupun setiap patah kata kita itu terkena batang hidung sahabat tersebut. :)

Untuk itu wahai dai'e dan dai'eyah di luar sana jangan memandang remeh soal2 sebegini.  Ana lihat inilah kelemahan para dai'e kita pada hari ini.  Terlalu bersemangat untuk berdakwah tetapi method yang digunakan  salah, itu yang merunsingkan.  Sentiasalah bermuhasabah diri, perbaiki apa yang lemah.  Moga kita menjadi mata rantai perjuangan yang mampu menawan hati2 di sekeliling kita untuk sama2 melayari perjalanan panjang menuju Tuhan.

Ingatlah bahawa setiap manusia dilahirkan bermula sebagai seorang bayi kecil dan kemudian masyarakat, kehidupan dan tindakan atau keputusan kita yang membentuk diri kita. Individu yang berdiri di depan kita ketika ini boleh berubah. Mohonlah kepada Allah agar menjadikan diri kita sebagai contoh dalam kehidupan seseorang (be a milestone in someone’s life); yakni bermaksud menjadi titik pusingan ke arah jalan kebaikan. wallahualam..



p/s: jom jadi pendakwah yang berhikmah dalam setiap tindakan :)

Sunday, April 11, 2010

Selamanya Milik-Mu #1


Asrar Insyirah: Aku bukanlah seorang wanita yang memiliki harta bertimbun, bukan juga seorang yang mempunyai paras wajah yang anggun jelita bak bidadari, jauh sekali bersusur galurkan keturunan yang dihormati dan disegani. Apa yang ada pada diriku hanyalah agama yang menjadi pegangan dan panduan hidup untuk aku terus gah berdiri di muka bumi Allah ini. Maka milikilah hatiku dengan izin Allah, milikilah cintaku keranaNya, milikilah diriku kerana agamaNya dan milikilah jiwaku keranaNya.

Lagu Sami Yusuf-Asma Allah menemani Asrar Insyirah malam itu yang tekun menelaah nota kuliah pagi tadi. Roommate di sebelah yang sudah pun terlena dijeling sekilas. Dia tersenyum sendiri mengenangkan gelaran yang diberi oleh sahabat-sahabat padanya “burung hantu” kerana suka berjaga sehingga lewat malam. Asrar Insyirah mengerling jam di depannya,jarum jam menunjukkan pukul 1.30 pagi. Sudah menjadi kebiasaan bagi gadis itu yang lebih suka tidur lewat dan bangun awal. Baginya tidur hanyalah sebuah kerehatan, dan sebaik-baik tidur adalah tidur yang berkualiti niat hanya kerana mahukan tenaga untuk menyambung semula tugas sebagai hambaNya walaupun hanya sejam cuma.


Tit...tit..tit...


Handset di sebelahnya berbunyi menandakan mesej baru masuk. Asrar Insyirah berfikir sebentar sebelum mengambil handset tersebut.

‘siapa pulak yang mesej aku malam-malam buta macam ni?’ detik hatinya.

Asrar Insyirah mencapai handset tersebut. Tertera nama Amir Furqan. Dia menarik nafas dalam-dalam sebelum menghembus perlahan. Mesej rayuan Furqan menagih cintanya tidak pernah putus. Walau berkali-kali ditegaskan tidak ada cinta baginya selain buat seorang suami yang halal untuk dirinya tapi semakin pula dia diburu. Iman wanitanya memberontak. Ke mana hilangnya sensitiviti Furqan terhadap agama menghantar mesej kepada seorang wanita yang haram baginya lewat malam sebegini. Sedangkan setahu dia Furqan merupakan seorang pimpinan dalam sebuah persatuan gerak kerja islamik di kampusnya sendiri. Cepat-cepat Asrar Insyirah menekan punat delete. Istighfar memenuhi ruang hatinya cuba mengawal rasa antara marah dan sedih. Marah kerana seorang aktivis dakwah sepertinya kurang peka pada hal-hal sebegini. Sedih kerana seorang mujahid agama tewas hanya kerana cinta terhadap makhlukNya yang lemah lagi hina ini.

Malas memikirkannya Asrar Insyirah berlalu ke bilik air. Mahu mengambil wudhu sebelum tidur. Diusir jauh-jauh bayangan isi mesej sebentar tadi. Setelah itu dia membaca perlahan selembar muka surat ayat-ayat cinta dariNya sebelum merebahkan diri. Sangat menenangkan. Tidurnya lena bertemankan keindahan alunan ayat-ayatNya.

*******************************************************************************************

Usai sahaja menyempurnakan Dhuha pagi itu, Asrar Insyirah bergegas ke kuliah bimbang terlewat. Hari itu merupakan hari jumaat, penghulu segala hari. Teringat janjinya untuk bertemu dengan akhowat yang sangat rapat dengannya, Layyinul Nadrah yang lebih mesra di panggil Kak Lynn. Orangnya semanis namanya. Walaupun berusia lebih tua tiga tahun darinya, tapi keserasian antara mereka menutup jurang tersebut. Apatah lagi mereka berasal dari negeri yang sama, Negeri Di Bawah Bayu. Perkenalan antara dua insan itu bermula di awal kemasukan Asrar Insyirah ke kampus itu. Kemudian bertemu lagi di usrah yang diadakan pada setiap hari jumaat di surau kolej perubatan ketika pelajar lelaki menunaikan solat jumaat. Takdir menentukan mereka berdua berada di halaqah yang sama. Sejak itu ukhuwah yang terbina bertambah erat. Ziarah ke bilik sekadar mengeratkan ukhuwah menjadi tradisi mereka berdua.

Alhamdulillah kuliah berakhir awal hari itu. Asrar Insyirah menjeling jam di tangan lagi lima minit sebelum pukul 11 pagi, desisnya sendiri. Dia melangkah ke luar kelas. Kelihatan Kak Lynn sedang menunggunya di lobi luar kelas dengan laptop pink kesayangannya di tangan. Hari itu merupakan giliran halaqah mereka menyampaikan tazkirah. Dia yang bertanggungjawab untuk menyampaikannya. Mereka memilih tajuk “Seindah Mawar Berduri” sebagai simbolik kepada seorang muslimah sejati. Asrar Insyirah tersenyum memberi salam pada sahabatnya itu sambil menghulur tangan tanda sayang dan hormatnya pada Kak Lynn.

“akak takde kelas ke?” soal Asrar Insyirah memulakan perbualan.

“tadi takde,tapi lepas ni ada. Slide ni pun tak siap lagi. Kalau Asrar siapkan boleh tak?” Kak Lynn memandang wajah mulus Asrar menanti jawapan.

Dia mengangguk setuju. Kemudian diperiksanya slide itu satu persatu. Cukup cantik dan memikat hati. Hasil kerja mereka berdua selama seminggu itu betul-betul memuaskan.

“akak pegilah kelas. Asrar boleh siapkan,lagipun ada sikit je lagi ni. Nanti jumpa kat surau k.. Asrar tunggu kat surau.” Laptop bertukar tangan. Asrar Insyirah kemudian berlalu menuju ke surau kolej.


“Bismillahirrahmanirrahim.. Dinikahi seorang wanita itu kerana empat perkara hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah hal keagamaannya, maka beruntunglah kedua-dua tanganmu.. (Riwayat Muslim). Kumulakan halaqah cinta ini dengan bait indah yang ditinggalkan Rasulullah saw kepada seisi alam. Wanita solehah. Idaman semua muslimin di alam maya ini. Alhamdulillah, itulah anjuran Islam yang kita cintai, jadilah wanita yang mampu menyejukkan pandangan dan sayap kiri yang hebat kepada seorang mujahid tika tibanya saat itu, insyaAllah.”

Asrar Insyirah memandang seketika wajah satu persatu pelajar wanita di depannya. Seorang seniornya, Fatin Iman, sedang tersenyum manis memandangnya. Wanita yang cukup dia kagumi kesolehahannya yang juga merupakan sahabat yang rapat dengannya selain Kak Lynn. Dia membalas senyuman itu sebelum meneruskan tazkirah.

“Seindah Mawar Berduri.. Tajuk ini sengaja di pilih sebagai simbolik kepada seorang muslimah sejati. Cantik di pandang tapi bisa melukakan bila didekati kerana duri yang ada padanya.

Wanita ibarat bunga, cantik indahnya pada pandangan mata hanya sementara. Yang kekal hanyalah akhlak semata yang terus menjadi sanjungan kerana akhlak itu adalah bunga diri seorang muslimah sejati.

Seorang muslimah sejati adalah yang memelihara auratnya walau dimana dia berada. Tidak dibiarkan keindahan dirinya menjadi tatapan lelaki yang bukan mahramnya. Dia juga seorang yang memelihara solatnya, menundukkan pandangan matanya dihadapan lelaki yang bukan miliknya.

Malu itu menjadi perhiasan dirinya sesuai dengan sabda baginda Rasulullah saw: Pakaian seorang wanita itu adalah ketaqwaan, hiasannya adalah malu dan hasilnya adalah ilmu. Malu itu perlu bagi seorang wanita, malu untuk melakukan perkara yang Allah tidak redhai. Sifat malu inilah yang meninggikan martabat seorang wanita. Lambang sesuatu yang mahal dan berharga bukan sebarangan dan bukan juga murahan.

Jika ini yang menjadi amalanmu, yang menghiasi peribadimu kelak berbahagialah dirimu ketika menjadi tetamu Allah kerana disambut penuh kasih oleh Bidadari Syurga Ainul Mardhiah. Maka, berakhlaklah dari panduan Rasulmu, contohi dan ikutinya. Turutilah ikhlas Khulafa Ar-Rasyidin pasti dirimu secantik akhlak bidadari syurga. Percayalah itu yang akan lebih membahagiakan hari-harimu. Sejuk mata memandang bercahaya dunia dengan hiasan muslimah solehah sepertimu.

Jadikanlah dirimu seperti permata yang berharga dicelah kaca. Ikuti perintah agama, jauhi larangannya. Sematkan Al- Quran di dada mu dan jangan biarkan dirimu hanyut dengan arus kemodenan tanpa bekalan ilmu didada. Renungilah masa depanmu, tetapkan iman didada. Moga ia menjadi perisai buat dirimu.

Nilai cintamu hanya pada Allah yang satu, kasihi Tuhanmu redhalah Islam menjadi agamamu, pasti tiada kecewa buatmu. Kelak satu hari nanti ada insan yang menantimu. Usah tertipu dengan cinta buta seorang lelaki yang tak halal buatmu. Usahalah untuk mencari cinta yang halal, lagi kekal abadi. Pimpinlah cinta itu ke Taman Firdausi. Di situlah destinasi cinta yang abadi. Tuntunlah cinta itu ke sana kerana cinta itu buta tak mengenal destinasinya.

Cintailah Allah di kala susah dan senang kerana kau akan memperolehi cinta daripada insan yang juga menyintai Allah. Cintailah kedua ibu bapamu kerana kau akan perolehi keredhaan Allah. Cintailah keluargamu kerana kau tak akan jumpa cinta yang bahagia selain dari cinta keluarga. Janganlah sesekali tangan yang bisa mengoncang dunia ini juga yang mengoncang iman lelaki, nauzubillah. Yang terakhir dariku inginku sampaikan sebuah puisi khas buatmu. Moga dirimu menjadi wanita seindah-indah hiasan di alam fana ini.

Muslimah sejati
Kaulah mawar idaman
Tumbuhmu di taman larangan
Mekarmu dipagari dan dibajai ketaqwaan
Sesucinya hatimu seindah akhlakmu
Diciptakan sebagai seorang wanita
Mewarisi kelembutan wanita solehah
Kembangmu tetap indah
Walau cuma di taman larangan
Menyinarkan nur keimanan
Nan mekar dihiasi mahmudah
Seindah mawar berduri.

Usai sahaja Asrar Insyirah melafazkan ayat terakhir itu, airmatanya menitis sedikit. Kak Lynn yang berperanan sebagai MC menutup majlis tengahari itu dengan sedikit tambahan sebagai peringatan. Tasbih kifarah dan surah al-asr memenuhi setiap ruang hati insan-insan yang hadir tengahari itu. Orang pertama yang datang dan menyalaminya saat itu adalah Safiyyah. Seorang gadis lincah dan cantik. Siapa yang tidak kenal dengan si penari cantik jelita dan molek itu. Tapi sayang kecantikannya itu dinikmati oleh setiap mata lelaki di sekelilingnya. Asrar Insyirah menyambut mesra huluran tangan Safiyyah dan memeluknya erat. Ada kata-kata yang terpacul keluar dari bibir mungil gadis lincah itu yang membuat Asrar merasa sedikit yakin hidayah Allah pasti ada untuknya. Cuma lambat atau cepat biarlah Allah yang tentukan. Hanya doa yang mampu dia titipkan buat gadis itu.

******************************************************************************************

Hari hujung minggu itu Asrar Insyirah manfaatkan sepenuhnya untuk menyiapkan kertas kerja program yang bakal dianjurkan oleh Surau Kolej Kediamannya. Anak panah tetikusnya laju dihalakan ke yahoo mail. Mesej dari Kak Syamimi menyuruhnya mengedit semula kertas kerja yang di hantar ke email nya perlu disiapkan secepat mungkin. Tidak mahu bertangguh. Satu persatu emel baru di dalam inboxnya di teliti. Tiba-tiba matanya menangkap satu emel baru yang menarik hatinya untuk membuka isi emel tersebut. Subjek emel itu mendebarkan hatinya dan menimbulkan segaris persoalan di wajahnya. “Izinkanku memetik bunga di taman larangan”. Tetapi ada yang lebih penting perlu di sudahkan terlebih dahulu. ‘Biarlah dulu’ desis hatinya. Kertas kerja itu perlu di utamakan!.

Usai menyiapkan kertas kerja itu Asrar Insyirah menarik nafas panjang kelegaan. Hatinya melantunkan hamdallah tanda syukurnya kepada Dia yang memberikan segala kemudahan. Fikirannya tiba-tiba teringat kepada emel sebentar tadi. Masih menimbang-nimbang sama ada mahu membukanya ataupun dibiarkan saja. Selang beberapa minit laptop nya diletakkan di ribanya. Kembali membuka inbox email nya tadi.

:- for asrarqalbi@yahoo.com
:- from rayyanmahdi@yahoo.com

Tetikus digerakkan perlahan-lahan untuk meneruskan bacaan di skrin computer.

Assalamualaikum wbt..


Maafkan saya andai kedatangan emel ini mengganggu ketenteraman saudari Asrar Insyirah di sana. Mohon pinjamkan sedikit cuma masa saudari untuk membaca emel ini. Namamu seindah peribadi dirimu. Terus terang saya katakan pertama kali mengenal diri saudari hati saya berbisik mengatakan saudarilah pilihan yang tepat untuk menjadi pendamping di kala susah dan senang.


Firman Allah swt yang bermaksud:


“Dan kahwinkanlah orang yang sendirian antara kamu dan orang yang layak (berkahwin) daripada hamba sahayamu yang lelaki dan hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha luas pemberian-Nya lagi Maha Mengetahui.” (Surah an-Nur, ayat 32).


Saya rasa tidak perlu saya perjelaskan dengan lebih lanjut maksud ayat di atas. Anggaplah ini sebagai kiasan dari saya untuk menyunting saudari. Gadis yang ku kagumi kesolehannya yang menjadi rebutan para lelaki di luar sana. Tidak salahkan andai saya mahukan seorang pendamping hidup saya insan solehah seperti saudari. Allah swt juga menganjurkan kepada ummatnya untuk memilih wanita yang solehah untuk menjadi teman hidup. Saya tahu saya bukanlah insan yang layak untuk berdampingan dengan gadis sehebat saudari. Meskipun diriku kaya dengan harta tetapi apalah sangat jika hendak dibandingkan dengan diri saudari yang kaya dengan keimanan kepadaNya. Terasa kerdilnya diri ini untuk menyunting bunga yang hebat di taman larangan seperti saudari. Tetapi diriku juga insan biasa yang fitrahnya sentiasa mahukan kebaikan. Semoga terselit sedikit ruang buatku di hati saudari. Asrar Insyirah sudikah kiranya dirimu menjadi permaisuri hatiku? Ku tunggu balasan darimu.


Sejuta harapan,


Rayyan Mahdi

Sungguh debaran yang dirasakan oleh Asrar Insyirah kini begitu menyentak jiwa. Emel tersebut di tutup pantas. Letih hatinya dengan ujian cinta makhluk Allah bernama lelaki yang tidak pernah putus. Dibiarkan saja emel itu tanpa balasan. Dia perlu bertemu Rabbnya mengharap petunjuk dan kekuatan.

“Ya Allah, hanya Engkau yang Maha Mengetahui betapa hati ini cukup teruji dengan cinta dari makhluk ciptaanMu sendiri.

Ku harapkan kekuatan dan petunjuk dariMu Ya Allah. Peliharlah hati ini dari nista cinta duniawi dan cinta makhlukMu yang tidak Engkau redhai.

Sesungguhnya hanya cinta dan kasih dari Mu yang kudambakan dalam melewati hari-hari ku di muka bumi ini sebagai hamba dan taklifan yang Engkau sandarkan kepada setiap insan iaitu sebagai khalifah.

Pandulah hatiku ini Ya Allah, jangan Engkau biarkan aku tersasar dari landasan kasihMu kerana itulah yang kuharapkan dariMu menjadi hamba yang dikasihiMu.” Rintihan Asrar Insyirah itu disertai dengan linangan airmata. Sesungguhnya hanya Dia Yang Tahu rahsia hati gadis solehah itu. Cintanya milik seorang.

*******************************************************************************************

to be continued...


Thursday, April 08, 2010

Kisah Kasih



*Ini kisah Asrar bukan penulis...

"eh, anak makcik ke?tak pernah nampak pun"
"siapa tu?anak awak ke?sebelum ni tak pernah tengok pun"

Soalan2 lazim dari tetangga yang biasa ku dengar bila balik bercuti.  Melangkah keluar sahaja dari rumah, pasti orang bertanya.  Kesian mak aku letih menjawab pertanyaan2 yang ku kira agak kelakar.  Mungkin kerana aku jarang berada di rumah sejak di alam persekolahan lagi membuatkan jiran sekeliling kurang mengenali diriku.  Apatah lagi penampilan ku yang "lain daripada yang lain' membuatkan orang sekeliling sukar mahu mempercayai aku juga sebahagian daripada keluarga itu.  Terus terang ku katakan di taman perumahan tempat tinggalku hanya aku seorang yang bertudung labuh dan berjubah.  Tetapi itu cumalah pandangan orang sekeliling yang hanya mengadili dari luaran sahaja.  Hakikatnya aku tidak sepelik itu, aku juga seperti gadis yang lain,seperti anak2 gadis jiranku.  Aku juga seorang anak kepada seorang ibu, adik kepada seorang kakak dan abang yang menjalani hidup seperti orang lain.  Ku cuba memfleksibelkan diriku sebaik mungkin agar tidak janggal di kalangan keluarga ku sendiri.

Ummi:  adik, macamana nak gosok tudung labuh adik ni?ummi tak reti, kalau tudung biasa tu tau lah ummi..

Itulah ayat yang ku dengar dari ummi tatkala kali pertama ku pinta darinya untuk menggosok tudung labuh ku.  Bukan kerana malas, tapi itulah salah satu cara aku untuk bermanja dengan ummi ku, saat aku berpeluang bersamanya.  Sengaja mahu merasa sentuhan kasih seorang ibu di samping mahu membiasakan ummi dengan tudung labuh anak bongsunya ini.  Kerana ku tahu walaupun ummi tidak pernah bertanya tentang penampilan ku jauh di sudut hatinya ada persoalan yang tidak terungkap berkaitan dengan perubahan  ku itu.  Kini ummi sudah biasa melihat aku berpakaian sebegini.  Tidak lagi menjadi gharib di mata ummi sendiri.

Akak: akak bangga punya adik sepertimu, adik sumber kekuatan akak, akak masih bertahan sehingga hari ini kerana adik..

Kakak  bukanlah seperti ku, dia gadis yang lincah dan berani yang sangat ku kagumi.  Walaupun penampilan ku dengannya boleh diumpamakan seperti langit dan bumi tapi tidak pernah wujud jurang antara aku dengannya.  Kami boleh berjalan bersama walaupun ada mata2 hairan mengekori setiap langkah kami  berdua.  Yang best tentang kakak, dia adalah insan yang paling suka menghadiahkan aku jubah dan suka pula menggayakan jubah ku.  Ku kira itu satu petanda yang baik, sekurang-kurangnya dia punya rasa tertarik pada pakaian itu.

Abang: Kau gadis kesayanganku....

Terus terang ku katakan aku terlalu manja dengan akak dan abang berbanding ummi ku sendiri.  Abang ku bukanlah dalam kategori lelaki yang warak.  Dia seorang yang biasa2 sahaja.  Namun begitu dia tidak pernah mempersoalkan diriku.  Mungkin kerana aku masih adiknya yang masih bersifat keanak2an seperti dulu walaupun luaran ku sudah berubah.  Ku ingat lagi satu saat ketika abang mahu keluar bersama rakan2nya.  Ku lihat dia bersiap dengan seluar jeans nya sambil tersengih2 memandangku.  Ku jeling dia dengan tajam.  Abang ku hanya tergelak kerana tahu benar perangaiku yang cukup tak suka dengan jeans.  Entah kenapa sedari dulu aku memang pantang melihat orang menggunakan jeans.  Tetapi itu hanyalah pandangan ku sendiri, terpulanglah kepada setiap orang.  Masing-masing punya citarasa tersendiri dan ku tetap hormati pilihan orang sebagaimana aku juga mahu orang hormati pilihan ku.

Ini kisah kasihku bersama insan2 yang aku sayangi.  Walaupun gharib tetapi itu tidak menjadi alasan untuk aku menjauhkan diri dari mereka.  Ku belai hati2 ini untuk terus bersamaku  hingga aku mampu mewujudkan biah muslim dalam bayt impian ku. wallahualam...

Tuesday, April 06, 2010

Ibadah Cinta



Cerita Sekolah Menengah Ku...

“Asrar, boleh kamu berikan maksud ibadah?” Soal ustazah ana.

“Erm.. Taat dan patuh kepada Allah, ustazah.” Itulah jawapan yang ana berikan semasa masih berada di bangku sekolah dahulu. Jawapan yang dihafal. Jawapan skema.

Pernah dulu ana dengar seorang penceramah mengatakan, “Kebanyakkan mualaf, iman mereka tetap kerana mereka cuba mencari maksud sebenar Islam itu. Sehinggalah mereka betul-betul yakin yang Islam itu benar. Tapi, berbeza dengan kita yang sedari lahir memang sudah Islam.”

Sewaktu mendengar kata-kata itu ana buat tidak kisah sahaja, mungkin kerana sudah terbiasa mendengarnya. Tetapi beberapa bulan lepas kata-kata itu seakan menyerang benak kepala.

Berdengung. Sehingga timbul pelbagai persoalan. Ana tertanya "kenapa saya ini Islam? Kenapa saya kena melakukan ibadah itu ibadah ini?" Tetapi ana senyapkan sahaja keadaan diri ana ketika itu.

Takut ada orang kata ana menghampiri murtad. Ana sendiri takut bila persoalan itu datang menyerang. Ana cuba membaca beberapa buah buku termasuk buku Fathi Yakan tetapi jawapannya tidak memuaskan hati ana.

Lantas ana buang soalan pertama itu dahulu. Takut benar kalau ana terlalu menumpu kepada soalan itu. Jadi, ana terus tumpu kepada persoalan kedua iaitu kenapa saya perlu beribadah.

Ibadah, taat dan patuh?

Orang kata ibadah itu taat dan patuh. Ana tiba-tiba mempersoalkannya. "Kenapa perlu taat dan kenapa perlu patuh kalau tiada sebab? Apa sebabnya sampai saya kena solat, kena berdoa?"

Bila ana tanyakan kepada orang lain jawapannya, “Ler.. Kau kena solat semua tu sebab perkara itu wajiblah.”

“Kenapa pula wajib?” Soal ana balik. Dan kawan itu terus terdiam.

“Dah ibadah wajib, jadi wajiblah!”

Dan yang pasti jawapan itu tidak memuaskan hati ana saat itu. Ana bukanlah jenis orang yang menerima jawapan daripada seseorang dan terus menghafal. Itu dinamakan penghafal dan bukannya pelajar.

Kita sering mengatakan ibadah itu adalah taat dan patuh tetapi tidak berapa mengendahkan apa itu taat dan apa itu patuh.

Ibadah adalah Cinta

Akhirnya ana terbaca satu petikan daripada tulisan Ibnu Qayyim. Maksud yang beliau berikan terlalu mudah. Ibadah itu adalah cinta. Berkasih-kasihan dengan Tuhan.

Membaca maksud ibadah yang diberikan oleh Ibnu Qayyim membuatkan ana berfikir panjang. Ibadah adalah cinta? Berkasih-kasihan dengan Tuhan?

Pernahkah terdetik dalam hati anda rasa cinta kepada orang lain? Bagi sesiapa yang pernah, mereka tentu faham bagaimana keadaannya.

Hurm. Sampaikan kita sanggup buat apa sahaja. Setiap saat asyik teringat tentang si dia. Apa yang dia larang, kita cuba sebaik mungkin untuk tidak melanggarinya. Dan apa yang dia pinta, selagi boleh kita cuba usahakan untuk dapatkannya.

Sehinggakan kalau ada orang lain cuba menunjukkan sedikit kemesraan kepada si dia, kita sudah berasa terlalu cemburu. Lantas kita cuba memberikan yang lebih baik lagi.

Jadi, itulah yang dimaksudkan oleh Ibnu Qayyim tentang maksud ibadah. Ibadah adalah cinta. Kalau cinta kepada manusia kita sudah menjadi terlalu gila seperti itu, sepatutnya cinta yang seperti itu kita sandarkan kepada Tuhan.

Usah lalai kerana tipu daya syaitan sentiasa ada di sekeliling kita. Kebanyakan remaja pada hari ini berselindung di sebalik nama dakwah untuk bercinta. Cinta kepada manusia tidak memberi jaminan membawa kita cinta kepadaNya apatah lagi jika cinta itu tidak halal! usah menafikan mengatakan cinta ku kepada si dia menambahkan cinta ku kepadaNya.

“Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya.” (Al-Baqarah: 42)

Alhamdulillah ana memahaminya, cuma hendak mempraktikkan ibadah cinta itu memang sukar dan betul-betul memerlukan hati yang sentiasa dekat denganNya serta tidak terisi dengan cinta yang lain.

Itu kisah lalu ana, kini ana terfikir lagi dua soalan yang masih ana tercari-cari jawapannya.

1. “apakah aku benar2 layak untuk menjadi pencinta ilahi?”.

2. ”apakah aku mampu menyintai ilahi dengan sebenar cinta yang layak buatNya?”

“O Allah the Beloved One,
I ask You to make me a lover of You,
a lover of everyone who loves You,
and a lover of any action that may bring me closer of loving You.”



p/s: semoga bertemu cintaNya.. :)

Monday, April 05, 2010

Langkah Juang Terakhir 1/2




Jam sudah menunjukkan pukul 1.30 pagi, tapi seperti biasa sepasang mata kurniaanNya ini masih tidak menunjukkan tanda2 mahu terlelap.  Kuteruskan mengulangkaji pelajaran ku seperti biasa.  Sedar tak sedar lebih kurang seminggu lebih sahaja lagi aku akan berdepan dengan imtihan terakhir aku di semester ke-2 ini.  Ku berhenti seketika mencari ruang ketenangan.  Teringat kembali perbualan ku dengan seorang sahabatku, Harithah, lewat petang tadi menerusi YM. 

"Assalamualaikum enti..kaifa haluki?". ringkas sahaja mesej daripadanya, tapi ku tahu tujuan sebenar Harithah menghubungiku pasti bertanya lagi soal itu.

"Wa'alaikumsalam..alhamdulillah ana sihat, cuma sedikit sibuk dengan persiapan imitihan terakhir ana.  Doakan ya :) ".  Ku tunggu balasan dari Harithah dan tepat sekali jangkaan ku.

"Alhamdullilah..enti, ana cuma nak bertanya macamana dengan keputusan enti?Jawapan istikarah enti bagaimana?".

Ku berfikir sejenak.  Nafas ku tarik dalam2 sebelum ku hembus perlahan.  Beberapa minit berlalu dengan sepenuh keyakinan dan tawakal kepadaNya kekunci laptop di depan ku tekan laju.

"Ana dah buat keputusan dan InsyaAllah kali ini ana nekad, ana akan teruskan langkah juang ana sebagai pelajar kejururawatan di sini.  Mungkin ia agak mengambil masa untuk ana adapt dengan course ni, tapi ana yakin ana mampu.  Biarlah cita2 yang dulu tu ana kuburkan saja.  Ana yakin Allah tahu apa yang terbaik untuk setiap hambaNya.  Surat tawaran tu enti simpan sajalah, sebagai kenangan mungkin.. :).  Enti teruskan perjuangan enti di fakulti undang2 dan syariah tu.  Walaupun tidak bersama doa ana sentiasa ada untuk enti."

Ku tahu jawapan ku mengecewakannya.  Tapi bagiku inilah yang terbaik.  Hanya tinggal 3 tahun sahaja lagi dan ku yakin aku mampu hadapinya.  Namun tidak aku nafikan, terselit juga sedikit rasa sedih kerana itu cita2  ku sedari dulu.  Bergelar pelajar jurusan undang-undang dan syariah sangat ku impikan.  Tapi rencana Allah tiada siapa mampu menduga.  Walaupun kini peluang itu sudah terhampar luas didepanku tapi entah kenapa hati ini pula yang berat untuk meninggalkan bidang yang aku jalani sekarang.  Aku cuba mempositivekan diri.  Ku yakin Allah punya rancangan yang tersendiri buatku.

Terus terang tidak pernah terlintas pun aku akan bergelar pelajar kejururawatan memandangkan aku bersekolah di sekolah aliran agama.  Subjek Pendidikan Syariah Islamiah, Pendidikan Al-Quran & As-sunnah serta Bahasa Arab Tinggi ku skor dengan sebaik semasa SPM dulu.  Tambahan pula itu merupakan subjek kegemaran ku dulu di samping subjek yang lain.  Cuma entah kenapa ku tinggalkan Darul Quran dan lebih memilih Kolej Matrikulasi  Labuan pada masa itu.  Aku sendiri tiada jawapan untuk itu.  Biarlah masa menjawab segala-galanya.  Ku pasti nun di depan sana ada sesuatu yang menungguku.

Ku teringat ayat-ayat cintaNya yang seringkali ku jadikan sebagai pemujuk hati ini di kala aku merasa tidak yakin dengan keputusan ku.

وَعَسَى أَنْ تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَكُمْ وَعَسَى أَنْ تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَكُمْ وَاللهُ يَعْلَمُ وَأَنْتُمْ لاَ تَعْلَمُونَ
Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.” 
(Al-Baqarah: 216)
Betapa indahnya ayat dariNya ini.  Penuh dengan maksud tersirat yang terlalu dalam dan hanya Dia Yang Tahu rahsia disebalik setiap apa yang berlaku.  Biarlah ku sandarkan keyakinan ku hanya padaNya.  Langkah juang sebagai seorang hamba dan pelajar perlu diteruskan. wallahualam..













p/s doakan ana untuk imtihan terakhir semester kedua ini.. :)

Saturday, April 03, 2010

Milik Siapa?


Bismillahirrahmanirrahim...
" Dinikahi wanita itu kerana 4 perkara : Kerana hartanya dan kerana keturunannya dan kerana kecantikannya dan kerana agamanya, maka pilihlah yang mempunyai (mengamalkan) agama, ia menyenangkanmu." (Riwayat Muslim)
Assalamualaikum wbt...

Aku bukanlah seorang wanita yang memiliki harta bertimbun, bukan juga seorang yang mempunyai paras wajah yang anggun jelita bak bidadari, jauh sekali bersusur galurkan keturunan yang dihormati dan disegani.  Apa yang ada pada diriku hanyalah agama yang menjadi pegangan dan panduan hidup untuk aku terus gah berdiri di muka bumi Allah ini.  Maka milikilah hatiku dengan izin Allah, milikilah cintaku keranaNya, milikilah diriku kerana agamaNya dan milikilah jiwaku keranaNya.

Tidak pernah dan tidak sekali pun aku kisah siapa sahaja yang mahu berkawan dengan ku baik perempuan mahupun lelaki.  Apa yang penting bagiku asalkan dia tahu batasnya ikhtilat terutama jika dia seorang lelaki.  Tetapi aku kisah jika dia seorang lelaki yang terus-terusan meluahkan perasaan cintanya kepadaku tanpa melalui orang perantaraan yang aku percayai.  Kerana aku tidak yakin lelaki sebegini mampu menjadi pemimpinku dalam perjalanan panjang mencari dan meraih redhaNya.  Cintaku tidak semurah itu! Biarlah dia sehebat mana sekalipun tetapi aku tidak akan sekali-kali berkompromi dalam soal ini. Bagi aku lelaki sebegini kurang mujahadahnya dalam mengawal perasaan cintanya walaupun dia seorang yang hebat dari segi dakwah.  Dimana hilangnya sensitivitinya terhadap agama dalam hal sebegini yang berkait rapat dengan kerajaan diri iaitu hati? sedangkan hati perlu dijaga kerana disitu letaknya segala kemuliaan.  Cukuplah sekadar berkawan denganku sehingga tiba masa yang ditetapkanNya.  Saat itu pasti tiba!

Kerap sekali soalan siapa mujahid pilihanku dilontarkan oleh sahabat2 seperjuangan ku dulu.  Usahlah ditanya kerana itu menjadi asrar qalbi.  Cuma ingin aku tegaskan aku tidak menginginkan lelaki yang hebat di pentas dunia, bukan juga yang namanya sering meniti di setiap bibir gadis-gadis kerana ketampanan dan kepimpinannya yang menyerlah tetapi, aku lebih memilih dia yang penuh dengan kerendahan hati, yang bangunnya disepertiga malam menemui Sang Kekasih dengan hati yang sarat dengan kerinduan dan kecintaan kepadaNya.  Hidupnya sentiasa dalam halaqah, yang ditarbiyah dan istiqamah dalam perjuangan dakwahnya. Biarlah dia tidak dikenali oleh sesiapapun asalkan namanya menjadi sebutan di langit Ilahi dan dirindui para bidadari syurga.  Yang ku harapkan bukanlah putera berharta tapi yang diimpi biarlah putera agama.  Bukanlah aku mengharapkan yang sempurna kerana aku juga serikandi dengan silam yang kelam.

Walaupun adakalanya hati ini terasa lelah dan penat kerana kerap teruji dengan cinta lelaki, ku cuba juga sedaya upaya mungkin menepis cinta yang tak halal buatku.  Ku hargai perasaan setiap insan yang datang padaku tetapi aku tetap dengan prinsipku cinta untuk seorang suami takkan ku kongsi!.  Kalian lebih mulia berbanding diriku yang hanya insan hina yang cuba meraih redha dimataNya.  Tetapi aku tidak boleh menerima kalian memandangkan hati ini tidak bersedia untuk menerima sesiapa.  Bukanlah niatku untuk menyakiti hati sesiapapun, malah aku cukup merasa serba salah bila orang kecewa dan patah hati keranaku.  Ketahuilah aku cuma kasihankan kaummu wahai adam kerana Rasulullah s.a.w sendiri pernah bersabda
"Tidak ada fitnah terbesar buat seorang lelaki di akhir zaman melainkan seorang wanita" 
Aku takut tergolong dalam golongan yang menjadi fitnah kepada lelaki.  Aku tidak mahu melalaikan seorang lelaki yang bakal menjadi mujahid agama.  Betapa berdosanya diriku jika aku menjadi punca kejatuhan mereka.

Kepada insan yang pernah ku katakan diriku sudah bertunang dan mempunyai pilihan sendiri, ya memang benar.  Aku mempunyai pilihan ku sendiri, dan sudah pun bertunang.  Aku bertunang dengan study dan gerak kerja ku dan pilihan ku adalah "dia" yang Allah takdirkan buatku.  Dalam usiaku ini aku tidak mahu tertipu dengan cinta palsu yang boleh mengundang padah pada keberkatan rumah tanggaku kelak.  Ku petik sedikit kata2 Dr Nazri yang bercinta sebelum kahwin dan sering keluar bersama dengan teman wanitanya dalam buku Dr Farhan Hadi-Denyut Kasih Medik :
" Kena jaga hubungan dengan tunang.  Saya rasa macam tak berkat aje lepas kahwin.  Hati jadi susah.  Rasa selalu curiga.  Bila dia keluar aje terus rasa tak sedap hati.  Kalau sebelum kahwin dah berani keluar dengan saya, sekarang ni pun mestilah berani keluar dengan lelaki lain.  Curiga ni susah nak hilang.  Rasa menyesal pula tak pilih yang baik dan solehah,"
Inilah yang cukup aku takuti.  Benarlah, dosa semalam menjadi kecurigaan hari ini, esok dan selamanya! 
Sememangnya jatuh cinta itu bukanlah sesuatu yang salah kerana ianya fitrah dan merupakan hadiah dari Sang Pencipta.  Tetapi manusia sering kali terlupa dan leka,  mereka terlalu taksub dengan hadiah yang diberi sehingga terlupa untuk berterima kasih pada Sang Pemberi Hadiah itu.  Oleh itu hati ini kuserahkan padaNya, biarlah Dia yang menentukan kepada siapa yang layak memilikinya..wallahualam..

Thursday, April 01, 2010

Impian Itu..



Assalamualaikum wbt...

Masuk hari ni merupakan hari ketiga ana diserang demam+selesema+batuk tapi tak mengapa,bak kata seorang teman ana yang juga dilanda demam sekarang ini InsyaAllah ianya sebagai kafarrah dosa .  Bangun pagi tadi betul-betul memerlukan ana bermujahadah lebih memandangkan adanya attachment ke SGH.  Walaupun kurang selesa dengan keadaan diri tapi ana tetap tidak mahu terlepas attachment kali ini memandangkan ini merupakan attachment terakhir kitorang sebelum posting ke Serian nanti.

Tepat pukul 10 pagi seorang staf nurse di female medical mengarahkan ana untuk menukar IV drip patient di katil 11.  Kulihat pesakit tersebut sudah berusia yang bagi ku boleh di panggil nenek memandangkan usianya yang sudah mencecah 66 tahun.  Dia ditemani oleh seorang lelaki yang ku kira sudah berumur 70 tahun ke atas.  Mungkin suaminya detik hatiku.  Mereka berbual mesra seperti pasangan muda-mudi sedang bercinta lagaknya.  Sambil itu kulihat di tangan lelaki tersebut ada sebuah mangkuk berisi bubur.  Ana melemparkan senyuman kepada pasangan tersebut dan mengatakan hendak menukar IV drip tersebut.  Semasa menukarnya sempat lagi nenek tersebut mengadu denganku mengatakan betapa sakitnya setiap kali branulla ditangannya dicabut.  Ana hanya tersenyum sambil mengatakan ianya memang sakit walhal ana sendiri tidak pernah merasa sejauh mana sakitnya bilamana branulla tersebut dicucuk dan dicabut.  Usai sahaja menukar drip tersebut, ku lihat lelaki tadi terus menyuapkan bubur ke mulut isterinya dengan penuh kasih sayang dan kelembutan bicara menyuruhnya makan.  Ana cukup merasa tersentuh melihat kelakuan pasangan yang sudah dimamah usia tersebut.  Sedangkan statistik perceraian pasangan suami isteri di Malaysia pada hari ini semakin meningkat terutama pasangan yang masih boleh ku kira muda kerana bercerai pada usia 30-40 tahun.  Alasan kenapa bercerai yang sering kali ana dengar adalah kerana sudah tidak sefahaman.  Semasa bercinta tidak pula hal sefahaman itu timbul.  Dunia semakin pelik.

Sepontan ana terkenang diri sendiri.  Ana juga datangnya daripada "broken family".  Mak dan ayah berpisah semasa ana belum lagi mengenal erti kehidupan memandangkan usia yang masih terlalu mentah untuk mengerti segala-galanya.  Mujurlah mak masih menyimpan gambar ayah,jika tidak mungkin ana tidak mengenalinya.  Dulu jika ditanya tentang ayah terus terang ana sangat bencikannya walaupun ada sedikit terdetik rasa rindu untuk melihat insan yang berkongsi darah dan keturunan dengan diriku ini.  Tapi mak tidak pernah mengajar anak-anaknya untuk berdendam walaupun ana tahu luka di hati mak terlalu dalam.  Masa berlalu mengajar ana untuk memaafkan kerana walau apa sekalipun ana sedar dia tetap seorang wali.  Tidak ada hukum mengatakan seorang ayah yang meninggalkan anak-anaknya hilang kelayakan sebagai seorang wali.

Ana tersenyum pahit,tapi cukup merasa bangga melihat pasangan ini mampu mengekalkan kemesraan yang ada walaupun pada usia yang sudah di hujung senja.  Ana kemudian bertanya kepada lelaki tersebut sama ada pesakit merupakan isterinya ataupun sebaliknya.  Sekadar berbasa-basi walaupun ku yakin lelaki tersebut adalah suami kepada pesakit tadi.  Lelaki tersebut tersenyum sebelum menjawab pertanyaanku "tak, ini girlfriend pakcik".  Ana sedikit tergelak dan langsung merasa terhibur dengan jawapan tersebut.  Selepas itu ana beredar ke cubical lain sambil berfikir sendiri.  Ku punya impian yang mungkin sukar untuk di capai tapi, bukanlah sesuatu yang mustahil.  Apa yang pasti ana tidak mahu anak-anak ana merasai apa yang sudah ana lalui.  InsyaAllah ana bukan sahaja mahu membina baitul muslim yang kekal hingga ke hujung usia tetapi, juga mahu bercinta hingga ke syurga. Wallahualam..

~Taujihad Srikandi~

Wahai Srikandi :-

" takhallikan dirimu dari terjerumus ke lembah noda serta sikap bermain-main dengan perjuangan.. tahallikan dirimu dengan sifat sebenar seorang wanita yang hidup dengan perjuangan, pengorbanan serta jihad dan kefahaman juga dambaan syahid "