Friday, June 17, 2011

Dirimu Bukan Perempuan Biasa



Ramai orang berbicara tentang perjuangan, alunan nasyid yang berkisar perjuangan juga terlalu banyak di pasaran, terkadang ada juga yang mengakui dirinya adalah seorang pejuang yang berjuang untuk sebuah perjuangan, namun apabila ditanya apakah makna perjuangan yang sebenarnya? Pasti di sana pelbagai jawapan yang bakal muncul dari bibir-bibir manis mereka yang menggelarkan diri seorang pejuang.

Pejuang adalah seorang yang memperjuangkan sesuatu yang ingin dicapai ataupun mempertahankan sesuatu yang dimiliki, matlamat yang ingin dibawa bergantung kepada apa yang ingin diperjuangkan samada matlamatnya bersifat individu ataupun demi kemaslahatan bersama. Begitulah pentaarifan umum yang seringkali kita dengari.

Hadirnya Islam membawa erti perjuangan ini dengan lebih jelas, pembawa risalah Islam baginda Rasulullah S.A.W telah mempamerkan kepada umatnya perihal perjuangan yang diperjuangkan oleh baginda dalam membawa risalah ISLAM ini ke seluruh pelusuk muka bumi. Perjuangan yang membawa manusia mengenali penciptanya dan perjuangan yang membawa manusia ke arah mencapai keredhaan Ilahi. Inilah matlamat perjuangan yang sebenarnya diinginkan, menjadi pewaris kepada perjuangan yang di bawa oleh baginda S.A.W serta meneruskannya dengan taat dan penuh istiqamah.

Seringkali kedengaran di sebalik sebuah perjuangan yang dibawa oleh satu gagasan pasti mempunyai golongan wanita yang menjadi obor kepada perjuangan tersebut. Begitu juga dengan perjuangan Islam, sekiranya disingkapi sejarah kebangkitan Islam, pasti ditemui nama-nama srikandi Islam yang turut sama memperjuangkan RISALAH ini. Benarlah firman Allah Taala dalam surah at-Taubah ayat 71:

dan orang-orang Yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi Penolong bagi setengahnya Yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

SEJARAH KEGEMILANGAN SRIKANDI

Tercatit dalam lipatan sejarah yang telah membuktikan bahawa penglibatan muslimat dalam perjuangan Islam bukanlah suatu perkara yang baru, bahkan kejayaan, kemenangan dan keunggulan kaum muslimat menjadi sayap kanan perjuangan Islam telah berjaya dibuktikan. Peranan Muslimat di kalangan kaum wanita adalah penting dalam usaha menyeru ke arah kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran. Keterlibatan kaum muslimat dalam medan perjuangan ini mampu diseimbangkan antara dua genetik lelaki dan perempuan dalam mencapai tujuan dan matlamat yang sama tanpa ada perbezaan.

Di awal kebangkitan islam kaum muslimat telah muncul di dalam membantu perjuangan Rasulullah S.A.W, satu kisah yang cukup menarik untuk dikongsi bersama. Kisah seorang srikandi Islam yang kian dilupai dek zaman yang telah berlalu sehingga meninggalkan sejarah berharga ini.

Nusaibah binti Ka’ab atau lebih dikenali sebagai Ummu Umarah merupakan seorang pejuang yang teguh berdiri tatkala ramai yang berundur, beliau juga merupakan seorang ibu yang mengarahkan anaknya di kala cedera parah agar kembali menyertai saf peperangan Uhud tatkala sedang sengit, malah bersedia menggadaikan nyawanya demi menyelamatkan Rasulullah SAW. Sebagai balasan, beliau dijanjikan oleh Rasulullah S.A.W menjadi teman baginda ketika di syurga kelak.

Beliaulah muslimat pertama yang menyertai pasukan perang Islam, menghadapi musuh-musuh Allah dengan keberanian yang cukup kental, Serangan bertubi-tubi oleh musuh membuatkan tubuh Nusaibah terluka dan berlumuran darah hinggakan beliau tidak sedarkan diri. Disaat sedarkan diri perkataan pertama yang keluar dari mulutnya adalah, “di mana Rasulullah?” “Apakah engkau tidak sedar bawah lukamu sangat parah, darahmu terus mengalir tanpa henti,tenagamu telah habis, anakmu yang makin dewasa, mengapa kau menanyakan Rasulullah?” Nusaibah menjawab. “Mereka bukanlah Nabi Muhammad, meraka bukan yang membawa risalah Islam. Sesungguhnya aku berperang kerananya dan aku sedia mati kerananya (risalah islam).” Khabar tentang selamatnya Rasulullah telah mengembalikan semangat ke dalam dirinya sehingga mampu membuatkan dirinya terlupa akan luka yang menghiris dirinya.

Demikianlah keberanian yang terlihat dalam diri Ummu Umarah yang telah mengibarkan panji-panji Islam. Beliau berusaha sehabis dayanya untuk melindungi dan membela Rasulullah S.A.W. Ummu Umarah telah berjuang dan manghadapi 12 kesan luka pada tubuhnya. Beliau juga merupakan seorang ibu yang memberikan perhatian yang serius kepada anak-anaknya, Habib dan Abdullah. Sehinggakan mampu memenuhi hati mereka dengan keimanan, jiwanya dengan keberanian dan fiziknya dengan kekuatan.

Kita kembali ke dunia realiti hari ini, masih wujudkah muslimat sekental Nusaibah? Penuh dengan semangat dan keberanian, serta mampu membentuk keluarga dan anak-anak menjadi pejuang islam. Inilah antara ikon muslimat yang kita inginkan, hanya muslimat yang meletakkan perjuangan dalam minda mereka mampu mengulangi sejarah srikandi agung ini. Andai minda sudah mengatakan tidak kepada sebuah perjuangan, jangan diharap diri mampu menggalas amanah besar ini.

Lantaran itu kebangkitan muslimat hari ini perlu disemarakkan bagi mengulangi sejarah kegemilangan yang pernah menjadi sinar-sinar dalam kebangkitan Islam suatu ketika dahulu. Minda muslimat pejuang sama sekali tidak boleh memisahkan dirinya daripada dunia dakwah. Cabaran masa kini sudah tidak dapat menerima sebarang alasan untuk membiarkan sahaja golongan muslimat berkawan dengan periuk dan kuali sahaja di saat anak-anak gadis remaja kian menjadi taruhan kepada ideology barat sehingga menggadaikan maruah serta memaksa mereka memberontak untuk melawan nalurinya, lantas melangkah keluar dari batasan syariat, hasilnya golongan wanita menjadi mangsa penganiayaan, wanita diperalatkan untuk mencari nafkah, wanita diexplotasi demi mencapai keseronokan yang haram atau mendapat pendapatan yang haram. Kita tidak inginkan minda muslimat hanya memandang medan perjuangan hanya berlegar di dalam keluarga, sehingga mengenepikan persoalan ummah yang kian meruncing.

Jika Nusaibah sanggup mempertaruhkan nyawanya demi kelangsungan Islam, adakah kita juga sanggup? Adakah sejarah pengorbanan Nusaibah hanya sekadar lintasan sejarah? Apakah bezanya kita dengan Nusaibah sehingga kebanyakan daripada kita sering memberi alasan untuk berkorban demi Islam? Nusaibah adalah wanita biasa, sama seperti kita. Yang membezakan antara kita dan Nusaibah adalah keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wa Taala. Adakah mustahil untuk kita memiliki iman sehebat Nusaibah? Tidak wahai muslimat, semua itu tidak mustahil! Setiap daripada kita berpeluang beriman kepada Allah sehebat Nusaibah dan tidak mustahil untuk menjadi lebih hebat daripada Nusaibah.

dan di antara manusia ada Yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata; dan Allah pula amat belas-kasihan akan hamba-hambanya.

Bangkitlah muslimat dalam menyedari masyarakat islam tidak mungkin akan terbina dan terbentuk jika golongan wanitanya tidak memahami islam, tidak mengamalkan islam dalam kehidupannya, tidak berdakwah ke jalan islam, tidak melahirkan generasi pejuang islam,tidak mengasuh anak-anak dengan adunan perjuangan yang hakiki dan tidak menyokong suaminya agar menerapkan islam. Kerana itulah banyakknya tuntuntan yang menuntut peranan dan pengorbananmu wahai srikandi islam.


Sunday, June 05, 2011

Musafir Belajar Dari Jalan:Ibrah Bersama Mereka

miri, 2011 
Allah berfirman; “Dan bertawakallah kepada Allah Yang hidup, Yang tidak mati, & bertasbihlah dengan memujiNya. Dan cukuplah Dia Mengetahui dosa para hambaNya.” [surah al-Furqan (25): ayat 58]
Perancangan untuk ke Miri secara tiba2..pada asalnya berniat hendak terbang ke Shah Alam, tapi saat akhir terpaksa dibatalkn atas beberapa kekangan.  Akhirnya ana bersetuju utk ikut bersama rakan2 coursemate utk ke Miri.. ^_^ uhu...

Musafir di perjalanan... ^_^ Kala ini bukanlah ana dalam perjalanan bersama sahabiah sefikrah mahupun dengan usroti yang ana rindui..tapi, mungkin ini salah satu jalan dakwah yg perlu ana tempuhi.. terlalu bnyk ibrah yang ana belajar sepanjang bersama mereka.. ya...tidak selalunya kita akan berada dalam zon selesa biah solehah...

Seawal pukul 8 pagi kami bertolak dari UPM bintulu ke miri.  Asalnya mengikut tentatif yg d buat oleh s/u tidak berdaftar ^^ kami akan terus ke penginapan, tp di pertengahan jln segalanya berubah.  Secara tiba2 usul utk ke Gua Niah dicadangkan.  Suara majoriti bersetuju.  Ana senyum saja sebabnya menurut mereka kami hanya akan masuk ke entrance sahaja, bukan ke gua itu.



Sampai je dekat entrance utk ke gua niah tu, nasib terjumpa lak dengan dua orang budak lelaki coursemate kami yang kononnya tidak mahu ke miri, tp berjumpa pula disana.  (Trip ke Miri semua perempuan ^_*).  Bila dah jumpa bdk dua org ni, diorg ajak pula masuk ke dlm gua niah tu.  Perjalanan merentasi hutan belukar (bunyi mcm lah scary sgt) sejauh 3 km, means ulang alik 6 km.  Semua kwn2 ana excited nak pegi masuk dalam gua niah tu.  Memandangkan semua nak, ana pun ikut setuju jelah walaupun......

"Eh, asrar ok ke? nak masuk dlm tu dengan pakai tu?" sorang bdk laki tu tegur sambil tunding jari ke arah pakaian ana.. ye..ana bertudung labuh dan berkain serta bersandal... ^_^

"ok jer..insyaAllah" ana jwb sambil senyum..dalam hati, jap lagi kalau sandal ni putus..emm.. tawakal jer lah.. sedangkan para srikandi di zaman Rasulullah boleh ikut berperang, pastinya merentasi laluan ke gua niah itu pun boleh ana lalui...cewaahh..^^

Sebelum memulakan perjalanan kitorg solat dulu.  Memandangkn dalam surau tu kami semua muslimat, jadinya kitorang solat berjemaah berimamkan ana sendiri.  Usai solat kitorang terus bergerak ke bot yang setia menanti.  Untuk ke sana mulanya kena naik bot dulu, utk ke seberang..



Lepas tu bermulalah perjalanan menuju gua niah....









Sepanjang perjalanan kat sini, mostly org yg berselisih dengan ana akan pandang ana dgn pandangan yang agak pelik.  Ana dengan rakan sebelah ana senyum saja.. ana faham dgn pandangan itu...pastinya pakaian ana..emm.. ^_^ senyum xperlu kata apa-apa..



Akhirnya sampai jugak dalam gua tu..masuk jer subhanaAllah... baru terbuka minda..macam tu rupanya gua..selama ni igt gua mcm terowong kecik2 tu...heee... ^^



manusia zaman paleolitik? ^^









Agak excited...walaupun penat..ehe... tp sandal masih bertahan..xputus..^^ abes je jelajah dalam gua ni..kitorang pun keluar...kembali meneruskan perjalanan ke miri...

Sampai kat miri kitorang gi Marina Bay... cantik, subhanaAllah...especially masa tengok sunset... sungguh indah ciptaanNya... ^_^


cantik kan.... ^_^ subhanaAllah... 



*lalu apa destinasi terakhirmu? syurga atau neraka..Bagaimana dengan mujahadahmu dalam melawan nafsu yang terbentang luas di seluruh kehidupan untuk mendapatkan sesuatu yang kekal di alam akhirat kelak?
Jika memilih syurga,persiapkan dirimu dengan jalan taqwa,andai tidak berhati-hati.tentu sahaja terjerumus ke lembah hitam penuh nista..*



 * Bermusafir itu membuka mata untuk lebih menghayati kebesaranNya..bha kan juga mendidik jiwa untuk bersabar dan tabah menghadapi mehnah perjalanan...bermusafir untuk mentafsir alam.. *


Peganglah satu saja, tidak kira walau di mana jua kita berada, tetaplah utamakan Allah dalam apa jua perkara. Sesungguhnya bernafas sesaat pun kita di duniaNya ini adalah semata-mata atas keizinanNya. Maka, pulangkanlah semua niat & perbuatan kita lillahi taala cuma. Mudah-mudahan, insyaAllah.



Hidup ini bukan cuma untuk dunia, bahkan semuanya adalah untuk dijadikan bekalan bagi menuju akhirat yang abadi. Pandanglah, lihatlah, dengarlah & rasailah dari sudut yang Allah sukai & menjadikan diri ini lebih Dia cintai, insyaAllah...

^_^
Dan malam tu terasa tersangatlah penat... kaki ana pun dah rasa kejang semacam... terpikir lepas ni boleh buat jungle tracking dgn sahabat/iah pula mungkin lebih jauh daripada 6 km? ^^ sambil tadabbur alam...juga sebagai tarbiyah jasadiyah...

sweer memories... ^^  

moga hati-hati ini satu hari nanti akan bersinar dengan sinaran hidayah-Mu.. hati-hati yang bertaut atas tautan aqidah... menjadi pembela agamuMu di satu hari nanti...

Ibrah perjalanan, ingatlah, walau apa jua warna rambut, kulit, singkat atau labuh pakaian mahupun tudung, longgar ataupun ketat kain yang membaluti tubuh, kita masih sujud pada kiblat yang sama, menyembah Allah yang Esa serta mempertahankan kalam syahadah yang agung itu. Maka, jangan sesekali berburuk sangka sesama sendiri & jangan lupa mendoakan agar dapat kita sama-sama berjumpa & berkumpul lagi dalam syurgaNya kelak. insyaAllah. 

Sesungguhnya pandangan & perkiraan Allah terhadap para hambaNya bukanlah bersandarkan penampilan luaran bahkan semuanya tergantung pada ketakwaan kita kepadaNya. Tiada siapa yang boleh menafsir, menilai & mengetahui siapa yang baik mahupun buruk dalam kalangan kita melainkan Allah sahaja. Maka, selalulah merendahkan diri, bertaubat & kembalilah kepadaNya.

Keep on working! Keep on learning & keep on travelling. Masih jauh perjalanan ini, masih banyak yang belum & harus diterokai. Keluarlah dari ‘kepompong’mu yang selesa itu...

wallahualam....


Saturday, June 04, 2011

Di mana DIA di hatiku?

Gua Niah, Miri 2011

Semasa Rasulullah s.a.w. dan Saidina Abu Bakar bersembunyi di Gua Thur, dalam perjalanan hendak berhijrah ke Madinah, musuh-musuh Islam sudah berdiri di hadapan pintu gua dan hampir menemui mereka.

Ketika Saidina Abu Bakar cemas, Rasulullah s.a.w. menenangkannya dengan berkata, "Jangan takut, ALLAH bersama kita."

Itulah kehebatan Rasulullah, ALLAH sentiasa di hatinya.

Ketika di ambang maut?

Sewaktu Da'thur, seorang tentera musuh menyerang hendap Rasulullah s.a.w. lalu meletakkan pedang di leher baginda dan bertanya, "Siapakah akan menyelamatkan kamu daripadaku?"

Jawab Rasulullah penuh yakin, "ALLAH."

Mendengar jawapan itu, gementarlah Da'thur dan terlepaslah pedang daripada tangannya. Itulah kehebatan Rasulullah... sentiasa ada DIA di hati baginda.

Ketika tiada siapa mengetahui?

Diceritakan juga bahawa pada suatu ketika Khalifah Umar Al-Khattab ingin menguji seorang budak gembala kambing di sebuah padang pasir. "Boleh kau jualkan kepadaku seekor daripada kambing-kambing yang banyak ini?"

"Maaf tuan, tidak boleh. Kambing ini bukan saya yang punya. Ia milik tuan saya. Saya hanya diamanahkan untuk menjaganya sahaja."

"Kambing ini terlalu banyak dan tidak ada sesiapa selain aku dan kamu di sini. Jika kau jualkan seekor kepadaku dan kau katakan kepada tuanmu bahawa kambing itu telah dimakan oleh serigala, tuanmu tidak akan mengetahuinya," desak Saidina Umar lagi, sengaja menguji.

"Kalau begitu, di mana ALLAH?" ujar budak itu.

Saidina Umar terdiam dan kagum dengan keimanan yang tinggi di dalam hati anak kecil itu. Walaupun hanya seorang gembala kambing yakni pekerja bawahan, tetapi dengan kejujuran dan keimanannya, dia punya kedudukan yang tinggi di sisiALLAH. Jelas ada DIA di hatinya.

Ketika kamu tiada jawatan?

Satu ketika yang lain, Saidina Khalid Al-Walid diturunkan pangkatnya daripada seorang jeneral menjadi seorang askar biasa oleh Khalifah Umar. Keesokannya, Saidina Khalid tetap ke medan perang dengan semangat yang sama. Tidak terjejas sedikit pun perasaan dan semangat jihadnya walaupun telah diturunkan pangkat.

Ketika ditanya mengapa, Saidina Khalid menjawab, "Aku berjuang bukan kerana Umar." Ya, Saidina Khalid berjuang kerana ALLAH. Ada DIA di hatinya.

Lalu, di mana Dia dihati kita?

Melihat anekdot-anekdot itu, aku terkesima lalu bertanya kepada diri, di manakah DIA dalam hatiku?

Apakah ALLAH sentiasa menjadi pergantungan harapan dan tempat merujuk serta membujuk hatiku yang rawan?

ALLAH ciptakan manusia hanya dengan satu hati. Di sanalah sewajarnya cinta ALLAH bersemi. Jika cinta ALLAH yang bersinar, sirnalah segala cinta yang lain. Tetapi jika sebaliknya, cinta selain-NYA yang ada di situ, maka cinta ALLAH akan terpinggir. Ketika itu, tiada DIA di hatiku!

Sering diri ini berbicara sendiri, bersendikan sedikit ilmu dan didikan daripada guru-guru dalam hidupku, kata mereka;

"Bila ALLAH ada di hatimu, kau seolah-olah memiliki segala-galanya. Itulah kekayaan, ketenangan dan kebahagiaan yang hakiki."

Kata-kata itu sangat menghantui diriku. Ia menyebabkan aku berfikir, merenung dan bermenung, apakah ALLAH menjadi tumpuan dalam hidupku?

Apakah yang aku fikir, rasa, lakukan dan laksanakan sentiasa merujuk kepada-NYA?

Bila bertembung antara kehendak-NYA dengan kehendakku, kehendak siapa yang aku dahulukan? Sanggupkah aku menyayangi hanya kerana-NYA? Tegakah aku membenci juga kerana-NYA?

Muhasabah ini melebar lagi. Lalu aku tanyakan pada diri, bagaimana sikapku terhadap hukum-hakam-MU?

Sudahkah aku melawan hawa nafsu untuk patuh dan melakukan segala yang wajib sekalipun perit dan sakit ketika melaksanakannya? Sudahkah aku meninggalkan segala yang haram walaupun kelihatan indah dan seronok ketika ingin melakukannya?

Soalan-soalan ini sesungguhnya telah menimbulkan lebih banyak persoalan. Bukan akal yang menjawabnya, tetapi rasa hati yang amat dalam. Aku tidak dapat mendustai-MU, ya ALLAH.

Dan aku juga tidak dapat mendustai diri sendiri

Aku teringat bagaimana suatu ketika seorang sufi diajukan orang dengan satu soalan, "Apakah engkau takutkan ALLAH?"

Dia menangis dan menjawab, "Aku serba salah untuk menjawab ya atau tidak. Jika aku katakan tidak, aku akan menjadi seorang yang kufur. Sebaliknya kalau aku katakan ya, aku terasa menjadi seorang munafik. Sikapku amat berbeza dengan kata-kata. Orang yang takutkan ALLAH bergetar hatinya bila mendengar ayat-ayat ALLAH tapi aku tidak..."

Maksudnya, jika seorang sufi yang hatinya begitu hampir dengan ALLAH pun sukar bila ditanyakan apakah ada DIA di hatinya, lebih-lebih lagilah aku yang hina dan berdosa ini.

Di hatiku masih ada dua cinta yang bergolak dan berbolak-balik. Antara cinta ALLAH dan cinta dunia sedang berperang dengan begitu hebat dan dahsyat sekali.

Kalau kau tanyakan aku, "Adakah DIA di hatimu?"

Aku hanya mampu menjawab, "Aku seorang insan yang sedang bermujahadah agar ada DIA di hatiku. Aku belum sampai ke tahap mencintai-NYA tetapi aku yakin aku telah memulakan langkah untuk mencintai-NYA."

Justeru, kerana belum ada DIA di hatiku, hidupku belum bahagia, belum tenang, dan belum sejahtera. Aku akan terus mencari. Aku yakin ALLAH itu dekat, pintu keampunan-NYA lebih luas daripada pintu kemurkaan-NYA.

Selangkah aku mendekat, seribu langkah DIA merapat. Dan akhirnya... aku yakin... suatu saat nanti, akan ada DIA di hatiku dan di hatimu jua.

Dan kita akan terus mengemis kasih...


Friday, May 27, 2011

Abid (Ahli Ibadah) Yang Hebat!

Bismillahirrahmanirrahim..

Wasiat Rasulullah s.a.w. kepada Abu Hurairah r.a. :

"Waspadalah perkara yang haram pasti kamu akan menjadi orang yang paling hebat ibadahnya."


Kalau nak dibentangkan pekerjaan yang menjadi ibadah, rasanya tak cukup nak ruang dan masa untuk mencoretkan semuanya. Setiap pekerjaan yang halal dan bertujuankan keredhaan Allah akan menjadi ibadah, wah! Luas sungguh skop ibadah sehinggakan tidur juga boleh menjadi ibadah apabila tidur digunakan untuk merehatkan jasad seketika dan kemudian menggunakan tenaga untuk kerja-kerja Islam.

Makan juga akan menjadi ibadah apabila kita mengambil nutrisi yang berkhasiat untuk menyegarkan tubuh bagi memantapkan stamina meneruskan kerja-kerja dakwah.

Terlalu banyak dan luasnya skop ibadah. Namun, siapakah yang paling hebat ibadahnya? Pak Amin misai kontot? Pak Abu hartawan kuda? Pak Leman tokey lembu? Muhasabah di pagi Jumaat dengan beberapa potong ayat dari hadith Nabi s.a.w, mudah-mudahan akan menjadi santapan rohani bagi menyegarkan roh yang telah dilayukan oleh jasad dek hujan yang menyimbah bumi :)

Kata Rasulullah kepada Abu Hurairah r.a. bahawa orang yang paling hebat ibadahnya ialah orang yang berwaspada terhadap perkara-perkara haram. Di dalam dunia ini, Allah menghalalkan dan menghalalkan beberapa perkara (dan makanan) tetapi apa yang Allah haramkan jauh lebih sedikit berbanding apa yang Allah halalkan, justeru kita mempunyai banyak pilihan untuk memilih yang halal berbanding apa yang haram.

Di dalam al-Quran, satu-satunya binatang yang secara mutlak diharamkan oleh Allah hanyalah babi dan selain dari babi terdapat pelbagai khilaf pendapat dikalangan ulama'. Jadi, bila memilih makanan maka berhati-hatilah dengan makanan yang bersumberkan babi. Dewasa kini, terlalu banyak makanan yang dicampur adukkan dengan babi. Jadi, tidak mustahil jasad mereka yang bersikap tidak kisah akan menumbuhkan daging hasil dari daging babi. Na'uzubillah!

Minuman yang jelas diharamkan adalah minuman yang memabukkan (arak) namun, kita seringkali tertipu kerana masih mahu memilih apa yang Allah haramkan sedangkan banyak lagi minuman yang halal. Bahkan, ada yang memesongkan maksud "minuman memabukkan" maka selagi minum arak dan tidak mabuk maka tidak mengapa. Ada juga yang membuat sajian makanan (terutama di hotel dan restoran mewah) dengan mencampurkan wine putih bagi menambah kesedapan dan memanjangkan tempoh jangka hayat makanan tersebut.

Banyak kek yang dicampur dengan wine putih bagi memanjangkan tempoh jangka hayat kek tersebut, jadi waspadalah dengan apa yang zahirnya kelihatan indah dan lazat bimbang nafsu tidak mampu untuk dipandu dengan pandangan iman.

(p/s: selain menggunakan wine putih, boleh guna perahan asam limau bagi menggantikan 'watak' wine putih untuk memanjangkan tempoh hayat kek. Wallahua'lam.)

Mereka yang solat fardhu, tidak meninggalkan qiyamullail, konsisten dengan solat berjemaah di masjid (atau surau), bersedekah, melaksanakan haji dan umrah, dan pelbagai ibadah lain dipandang sebagai manusia yang hebat ibadahnya. Benarkah? Manusia hanya menilai luaran kerana segala perkara ghaib hanya diketahui oleh Allah Azza wa Jalla, lalu memang tidak salah apabila manusia menilai dari apa yang dilihat sahaja. Bukan hak manusia untuk mengetahui apa yang tersirat dan perkara ghaib yang menjadi rahsia Allah.


Justeru, bagaimana untuk menjadi insan yang hebat dalam ibadah?


Kembali kepada pesanan Rasulullah s.a.w,

"Waspadalah perkara yang haram pasti kamu akan menjadi orang yang paling hebat ibadahnya."

Allah menghalalkan jual beli tetapi Allah mengharamkan penipuan dan riba.

Allah menghalalkan perkahwinan tetapi Allah mengharamkan zina.

Allah menghalalkan makanan tetapi Allah mengharamkan yang dicuri.

Allah menghalalkan minuman tetapi Allah mengharamkan arak.

Allah menghalalkan silaturrahim tetapi Allah mengharamkan mengumpat, mengadu domba dll.



Ramai manusia yang dapat melaksanakan yang wajib (solat bahkan qiyamullail) namun tidak mampu untuk mengelak dari perbuatan yang diharamkan oleh Allah. 

Solat tetapi memfitnah.

Membayar zakat tetapi mengambil rasuah dan riba.

Bersedekah tetapi memutuskan silaturrahim.

Berzikir tetapi mengambil sesuatu yang bukan haknya.

Berpuasa tetapi menyakiti hati orang lain.

Apabila solat tidak mampu untuk mencegah kemungkaran, maka auditlah diri sendiri (muhasabah) bagaimana keadaan solat tersebut. Waspadalah perkara-perkara haram maka kita akan menjadi manusia yang paling hebat ibadahnya.


Jangan Jadi Seperti Yahudi


Bila Allah suruh mencari lembu, maka banyak soal lembu bagaimana itu ini begitu begini. Mencipta soalan supaya melewat-lewatkan dari melaksanakan perintah Allah. Bertanya sehingga akhirnya menyusahkan diri sendiri. Hakikatnya, Allah 'menyusahkan' syariat hanyalah kerana sikap manusia yang suka bertanya.

Sudah Allah kata haram, haramlah.

"Saya guna wine putih sikit je dalam kek ni nak bagi tahan lama bukan sampai mabuk pun, jadi boleh la. Allah hanya haramkan minuman yang memabukkan. Kalau wine putih campur sikit dalam makanan, tak mabuk pun." <-- Salah satu sikap orang Yahudi.

Konsep beriman kepada Allah. Meyakini apa yang Allah syariatkan dari sekecil-kecil perkara sehinggalah sebesar-besar perkara. Kualiti iman kita berbanding para sahabat, Abu Bakar as-Siddiq apabila mendengar Rasulullah berisra' sehingga ke Baitul Maqdis beliau tanpa banyak soal terus mengiyakan perkara tersebut kerana keimanan kepada Rasul.

Kita? Mengaku beriman tetapi selalu meragui apa yang disyariatkan 'berkat' tarbiyyah Yahudi ke atas orang Islam sehingga terikut perangai mereka...

La haulawa quwwata illa billah.

Wallahua'lam.


*** Sambil ditemani manik-manik air hujan yang semakin menitis laju dan lebat. Petang yang hening, cuaca yg agak2 redup, keletihan sehari semalam di hospital sudah cukup perisa untuk membuai mata menjadi layu.. alhamdulillah walaupn masih bertemankn demam, muntah2 dan bersin yg x sudah2.. ^_^

Sunday, May 22, 2011

Satu Analisis Pengurusan Tanzim



MUQADDIMAH

Mengurus tanzim yang bersifat haraki memerlukan keseriusan, ketepatan, kebijaksanaan dan memenuhi kehendak atau matlamat organisasi.

Islam yang sifatnya syumul memerlukan penganutnya supaya sentiasa berdakwah dan memanggil manusia kepada jalan Allah dengan cara yang bijaksana (hikmah).

Tanggungjawab tersebut memanggil para pendukung harakah ini untuk mengurus tanzimnya dengan penuh munazzamah dan bersifat semasa.

Isu ini bertujuan untuk membantu ‘amilin untuk meninjau beberapa aspek dari pengurusan untuk mengemaskini dan membaik pulih tanzim supaya sentiasa selari dengan matlamat wadah perjuangan itu sendiri.

PENGURUSAN TANZIM
Jamaah Islam diperingatkan akan kata-kata Saidina Ali Karamallahu Wajhah, bahawa gerkan Islam yang rapuh pengurusannya mudah dilakahkan oleh gerakan musuh (kuffar) yang kemas tanzimnya.

Malah Al-Quran awal-awal lagi telah menekankan bahawa Allah menyukai orang-orang yang berperang di jalanNya dalam barisan yang teratur seakan-akan seperti bangunan yang tersusun kukuh (Al-Saff : 4).

Dalil ini sebenarnya menuntut gerakan Islam supaya menyempurnakan, memperkemaskan dan menjitukan urusan organisasinya.

Kita sering terdengar daripada komen dan muhasabah daripada para pendukung gerakan Islam bahawa jamaah seolah-oleh tidak pandai menyusun atur tenaga pekerjanya, program yang tidak tepat, lembap bekerja, kurang program, tidak berkesan dan yang seumpamanya.

Kalau diamati masalah-masalah tersebut, kita akan bersetuju membuat kesimpulan bahawa ia ada kaitan dengan bagaimana kita mengurus jamaah.

Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang di dalam ucapannya semasa Konvensyen Tarbiyyah PAS pada 1 hb September yang lepas berpendapat, bahawa masalah yang perlu diatasi oleh kita termasuklah manhaj yang tidak sampai ke bawah, bekerja secara bersendirian, keberkesanan dan kelembapan.

Analisis masalah-masalah yang disebutkan oleh Tuan Guru tadi mencerminkan beberapa perkara yang berkait terus dengan pengurusan tanzim.

Mengenai manhaj yang tidak sampai ke bawah, ini mencerminkan bahawa komunikasi kita masih tidak efektif atau usaha untuk menjelaskan manhaj tersebut tidak meluas dalam jamaah.

Mengenai bekerja secara persendirian pula, ia menggambarkan pula bahawa ada lagi di kalangan ahli yang tidak jelas mengenai konsep perjuangan secara jama’i. Manakala mengenai keberkesanan dan kelembapan, ternyata kedua-dua perkara tersebut menjelaskan bahawa kemahiran managerial dan supervision masih ketara kewujudannya.

Tidak hairanlah untuk dinyatakan di sini bahawa banyak perkara mengenai pengurusan tanzim yang perlu kita pelajari dan perlulah jamaah serius melengkapkan anggota jamaah dengan kemahiran dan pengetahuan dalam bidang pengurusan.

ASAS PENGURUSAN YANG MUNAZZAMAH
Sistem pengurusan yang tersusun rapi perlu berasaskan kepada pemikiran kepimpinan yang berstrategik dan mampu memandu ahli kepada matlamat jamaah. Di antara asas-asas pengurusan organisasi berstrategik termasuklah:

1.Menentu dan menjelaskan misi jamaah kepada anggota dan bukan anggota

2.Sentiasa membuat analisis mengenai kekuatan dan kekurangan dalaman jamaah serta menilai peluang-peluang dan ancaman luaran jamaah

3.Menjelaskan objektif yang hendak dicapai

4.Membentuk strategi

5.Pelan tindakan

Sebelum asas-asas di atas dibahas, terdapat beberapa faktor yang perlu dijelaskan kerana ia boleh dianggap sebagai teras kepada pengurusan strategik. Di antaranya:

a) Kefahaman

b) Komunikasi

c) Komitmen

Ketiga-tiga faktor adalah initpati kepada pengurusan strategik. Terlebih dahulu ahli dan pimpinan jamaah mesti dijelaskan akan keperluan pengurusan berstrategik. Ini adalah penting untuk mengelakkan salah faham dan kurang minat bekerja atau lembap bekerja.

Selagi mereka tidak memahami kenapa kita perlu kepada urusan pentadbiran yang kemas dan mempunyai matlamat tersendiri, selagi itulah kita akan terdengar masalah-masalah yang berkaitan dengannya.

Justeru itu komunikasi adalah penting untuk menyebarkan dan menjelaskan kenapa pengurusan berstrategik diperlukan oleh jamaah. Komunikasi dua hala adalah paling sesuai sekali diamalkan.

Hasil daripada kefahaman kepada pengurusan tersebut, serta dibantu oleh system komunikasi yang berterusan, maka aspek komitmen ahli untuk melaksanakan kerja akan tinggi dan sentiasa terarah kepada matlamat jamaah.

Visi Jamaah

Ahli perlu memahami visi jemaah secara keseluruhannya. Barangkali perkara ini tidak banyak menimbulkan masalah kerana kesemua ahli memahami bahawa visi dan matlamat jemaah adalah untuk mensyariatkan hukum Allah.

Tetapi perlu diberi peringatan bahawa dalam merealisasikan visi ini banyak perkara yang perlu dilaksanakan. Inilah yang dikatakan sebagai asas-asas pengurusan yang tersusun.

Misi Jemaah

Dengan cara yang mudah, misi bermaksud ‘apakah urusan jamaah sebenarnya’.

Jamaah mesti menjelaskan beberapa elemen antaranya ialah siapakah sasaran, perkara yang disebarkan (produk atau perkhidmatan), di manakah sasaran boleh mendapatkan ‘perkara’ yang hendak disebarkan, imej jamaah kepada masyarakat, keprihatinan jamaah kepada anggota sendiri dan keprihatinan kepada pembangunan organisasi.

Kesemua elemen perlu diperjelaskan kepada para pendukung. Adalah wajar untuk memastikan anggota memahami misi jamaah, maka perlulah ia ditulis dan dihafalkan (jika perlu).

Cuba kita mengingatkan kembali tatkala Al-Syahid Hassan Al-Banna menanamkan semangat jihad di kalangan anggota Ikhwan di mana mereka menghafal slogan mereka, siang dan malam, dengan tujuan untuk sentiasa mengingatkan dan memperbaharui azam supaya matlamat perjuangan sentiasa dihayati.

“Allah Matlamat Kami, Rasul Pemimpin Kami, Al-Quran Perlembagaan Kami, Mati di jalan Allah Cita-cita Tertinggi Kami”. Inilah di antara misi Ikhwan.

Lajnah Tarbiyah mencadangkan agar perkara misi mestilah jelas di kalangan ahli dan pimpinan supaya kita sentiasa terdorong oleh agenda yang mesti kita dibereskan.

Analisis Kekuatan, Kekurangan, Peluang dan Ancaman (SWOT Analysis)

Selepas misi dibentuk dan dipersetujui oleh pimpinan, maka seterusnya perlulah dibuat satu analisa mengenai dua faktor penting, faktor dalaman dan faktor luaran.

Yang dimaksudkan dengan faktor dalaman ialah kekuatan dan kekurangan kita dalam jamaah. Di antara perkara yang dimaksudkan kekuatan ialah keupayaan sumber tenaga anggota, kewangan, sumber fizikal dan lebih saingan (competitive advantage). Manakala kekurangan juga perlu dikenalpasti di samping kekuatan dalaman jamaah.

Ini meliputi sumber kewangan, tenaga pekerja yang tidak mencukupi dan lain-lain lagi.Kedua-dua aspek ini sungguh kritikal bagi tanzim kerana daripada sini jamaah akan dapat menentukan sejauh manakah kemampuan dan kapasiti organisasi dan juga pada masa yang sama perkara-perkara yang perlu dibaiki dalam proses mencapai matlamat.

Faktor luaran termasuklah peluang-peluang luaran yang boleh dimanfaatkan dalam mencapai matlamat organisasi. Di samping itu, organisasi juga perlu mengenalpasti ancaman dan ugutan daripada persekitaran yang boleh membantutkan atau melembapkan proses pencapaian matlamat.

Contoh peluang ialah kesedaran masyarakat kepada Islam. Daripada kesedaran ini maka bolehlah organisasi cuba memanfaatkannya dengan mengemukakan kepada masyarakat program-program untuk mereka (strategi).

Objektif

Kesilapan selama ini dalam mengurus tanzim ialah:

1. Tiada objektif yang jelas

2. Objektif yang susah hendak dinilai akan keberkesanan pencapaiannya

3. Tiada jangka waktu dalam proses mencapai objektif

4. Objektif yang tidak terurus kepada organisasi keseluruhannya

5. Keliru di antara matlamat dengan objektif

Masalah yang ketara dalam jamaah ialah sikap ahli yang tidak mahu menyediakan objektif tanzim, sama ada untuk jangka masa pendek atau jangka masa panjang.

Hasilnya ialah perlaksanaan program yang bersifat ‘impromptu’, ad-hoc dan mengikut trend. Perlaksanaan program seumpama ini selalunya tidak menjurus kepada matlamat organisasi keseluruhannya. Perlaksanaan program hanyalah bersifat untuk memenuhi diari dan bukan dari perancangan menyeluruh.

Apabila ditanya oleh pimpinan bahawa adakah mereka sudah melaksanakan program, maka dirasakan boleh menjawab dengan ‘selamat’ bahawa mereka ada berbuat sesuatu. Sama ada program itu adalah sebahagian daripada strategi menyeluruh, ia masih lagi boleh dipertikaikan.

Pembentukan objektif yang jelas adalah perlu untuk:

1. Mengukur atau menilai prestasi kerja tanzim

2. Kesepaduan tindakan daripada pimpinan dan ahli

3. Tindakan yang terarah

4. Sentiasa memperingatkan akan matlamat akhir tanzim

Pembentukan objektif perlu dinyatakan jangka masanya, samada objektif tahunan atau onjektif jangka masa panjang. Dalam konteks organisasi kita adalah perlu dinyatakan objektif jangka masa panjang selama 4 atau 5 tahun kerana ia bersesuaian dengan keperluan.

Dengan pembentukan objektif seumpama ini baharulah dapat dinilai sejauhmana gerakerja organisasi. Adakah ia berjaya atau gagal.

Objektif ini dapat membantu mendorong ahli dan pimpinan untuk bekerja dengan bermatlamat dan terarah. Selalunya pembentukan strategi berdasarkan kepada analisis kekuatan, kekurangan, peluang dan ancaman yang telah dikenalpasti oleh qiadah (pimpinan).

Ada beberapa cara untuk membentuk strategi organisasi antaranya ialah dengan memanfaatkan kekuatan dalaman digandingkan dengan peluang yang ada dipersekitaran.

Strategi yang baik adalah strategi yang menjurus kepada objektif yang telah ditentukan oleh qiadah.

Terdapat beberapa faktor yang boleh menilai strategi:

a) ‘Consistent’; ia memberi makna bahawa strategi yang hendak dilaksanakan perlu menjurus kepada matlamat organisasi. Ini juga bermakna jika perlaksanaan strategi mendatangkan kebaikan satu pihak tetapi merugikan satu pihak yang lain, maka ini dianggap tidak konsisten.

b) ‘Feasible’; ia memberi makna bahawa strategi tersebut perlulah berdasarkan keupayaan dengan sumber-sumber tanzim, seperti tenaga kerja, kewangan dan fizikal. Ianya juga perlulah tidak memberatkan kapasiti yang ada dalam jamaah.

c) ‘Advantage’; ia bermakna bahawa tanzim perlulah memanfaatkan lebih saingan yang ada dalam organisasi. Ini termasuklah kemahiran, sumber-sumber dan kedudukan. Ia bertujuan supaya strategi yang hendak dilaksanakan adalah berdasarkan ketrampilan organisasi dalam masyarakat.

Pelan tindakan

Ini merupakan tahap yang paling sukar kerana ia mempengaruhi banyak perkara. Secara mudahnya ia bermakna bahawa bagi sesuatu tindakan yang hendak dilaksanakan perlu ada:

• Aktiviti (perkara)

• Ketua

• Tarikh bermula

• Tarikh dijangka tamat

Sepintas lalu, ia agak mudah tetapi realitinya tahap ini adalah rumit. Banyak perkara terlibat dalam tahap ini antaranya ialah budaya kerja tanzim yang sedia ada (membantu atau membantut), struktur organisasi, motivasi, iltizam, penyelarasan, kepimpinan dan pengawasan.

Faktor-faktor ini boleh melicinkan pelan tindakan dengan andaian perkara-perkara tersebut tidak banyak mendatangkan banyak masalah kepada tanzim. Di sinilah perlunya peringatan daripada pimpinan dan dorongan daripada ayat-ayat Allah akan tuntutan berjihad dan berjamaah.

::bekerja utk islam::

Thursday, April 28, 2011

Redha: Bukan Semudah Kata

Bismillahirrahmanirrahim...

Mode: Tgh Study... *_*



Tetiba...housemate jerit "inaaaaaaa...... jom tengok sa**** kat u tube"....

erk....berdesing telinga...bkn sebab jeritan tu..tapi sebab nama tu..emmm...dua orang housemates saya sangatlah fanatik pada insan bernama sa**** ni..sebabnya..emm..suara dia kot...ntahlah saya sangatlah tidak berseni dalam hal ini.. =_=" xpe...senyum, tak perlu kata apa2..

emm..then, kenapa berdesing dengar nama tu?

sebab nama tu mengingatkan saya pada seseorang...mengingatkan juga yang diri ini bukan yang pertama.. (heyp, sila jgn fikir yg tidak berkaitan).. tapi tak kisah lah...jadi yang terakhir itu lebih saya suka... *kot.. ^_^

ok, mukadimah takde kaitan dengan tajuk... ^^,

*************************************************************************************

Tadi ada test...nak dijadikan cerita saya failed di bahagian kedua test...ouch! sakitnya....mengadanya hamba Allah ni, macamlah Allah tak pernah bagi nikmat berjaya kan...

Cumanya memang agak sedih, saya pun dengan senyuman jumpa instructor mintak sign.. lepas tu mesej amirah.. " Assalamua'alaikum..akak, ana failed bahagian dua.."

Tak sampai 3 minit amirah pun reply

" Wa'alaikumussalam... jgnlah sedih adikku syg..ujian dari Allah.  Akak faham, akak pun pernah lalui apa Asrar lalui.. janganlah sedih lagi.  Asrar yang akak kenal kan kuat semangat. Bukankah Allah nak uji kita dengan perkara yang betul2 kita nak @ sayang? Dia nak sedarkan kita, kemampuan hamba ni tak ke mana tanpa izinNya..asrar bukan orang pertama dan terakhir failed..semangat2...esok tamsas, pengarah program kena kuat! ;) "

" SubhanaAllah...terima kasih kak...ya...Allah nak uji.. ^_^ "

" Seorang naqibah tu akan di uji dengan kata-katanya...kan..ok, petang ni akak gi rumah asrar, jumpa asrar, bincang pasal esok.."

SubhanaAllah...walhamdulillah..wallahu akbar...

Asrar senyum...tak nangis pun walaupun terasa jugak nak mengeluarkan airmata tu.. bila jarang sangat failed, macamnilah jadinya, walhal bukan failed semua, dan yang penting bukan failed exam akhirat!  pandang langit, terngiang-ngiang alunan surah ar-rahman.  Surah yang sangat menenangkan asrar bila kesedihan.. "maka nikmat Tuhanmu yang mana lagikah hendak engkau dustakan?" Suka bila dipujuk dengan ayat-ayat cinta dariNya..

Lepas tu dapat panggilan dari seorang sahabat:

"Assalamualaikum, asrar nak bagitau ni..alhamdulillah, final year medik semua lulus final professional.. maknanya kak fiza pun lulus..gembiranya...alhamdulillah"

" iya kak? subhanaAllah..alhamdulillah kak..tahniah buat Dr. Marfiza..." Senyum...sangat gembira akhirnya senior2 asrar bergelar doktor..terutamanya kak fiza.. ^_^ *walaupun tengah bersedih sebab failed..

Emm...bila ujian menimpa ni tersedar sesuatu, benarkah cinta yang kita ungkap. Dalam bait kata cinta yang ditaip, dipapar, dilafazkan melalui bibir itu benar-benar lahir dari hati, dari ruang reluk ikhlas yang paling dalam?

Benarkah sudah benar cinta, cukupkah hanya dengan taipan kata indah, madah manis.

Namun, bila ujian sesekali singgah. Goyah benar iman pun tergugah-goyah. nauzubillah min zalik..

Malah, tertanya-tanya mengapa terjadi, kenapa mesti terjadi. Kenapa diri ini yang terpilih?

"Maka apakah kamu mengira bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main (saja) dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami? Maka Maha Tinggi Allah, Raja Yang Sebenarnya." (Surah Al-Mu'minun: 115-116)

Cinta itu bukan hanya diinterpretasikan melalui bait kata indah dan madah manis. Cukuplah apabila ujian begini datang menguji, dan kau mula merungut. Itu sudah cukup membuktikan betapa rapuhnya sebuah keimanan. Betapa rapuhnya sebuah kepercayaan dan pergantungan.

Rapuh sudah semua itu. Hanya kerana sebuah ujian.
"Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang-orang yang terdahulu sebelum kamu?" (Al-Baqarah: 214)

Kemudian entah hilang ke mana cinta yang selama ini beria dilaung-laungkan, ditaip-taipkan, ditazkirahkan.

Hanya kerana satu ujian.
"Dan tiadalah kehidupan dunia ini melainkan senda gurau dan main-main. Dan sesungguhnya akhirat itulah yang sebenarnya kehidupan, kalau mereka mengetahui." (al-Ankabut: 64)

Astaghfirullah hal adzhim..

Jika engkau benar beriman. Engkau pasti mengetahui, ketentuanNya itu adalah yang terbaik. Lalu engkau pun akan sepenuhnya redha & ikhlas menerima, kerana Kau percaya, Dia lebih Mengetahui.

"...dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya." [al-Baqarah : 216]

 
Sesungguhnya jika engkau benar beriman. Engkau pasti takkan berani merungut apatah lagi berani mempersoalkan. 

Dia pun telah berjanji; 
"Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan." [al-insyirah :5-6]

Masakan adanya pelangi jika tanpa adanya hujan?

Begitu jua resminya hidup, apa maknanya tanpa disapa ujian?

Sungguh, keimanan itu bukan hanya kata indah yang semudah ungkapan & taipan.

Moga dengan bertambahnya ujian, akan membuahkan iman & cinta yang makin menggebu-gebu buatMu, Tuhan..

Mardhotillah tujuan kita, saat ini, esok & hingga akhirnya, insyaAllah.

Allahu'alam.


p/s: enough with 'those' feeling. It's already passed. Be prepared for the next, insyaAllah. 


Airmata Kasih:Dia Sentiasa Dekat


Bismillahirrohmanirrohim.. 




Alhamdulillah.. terasa lama tidak mencoretkan entri coretan hati di ruangan kesayangan ini. Sesungguhnya hanya Allah sahaja yang tahu betapa rindunya aku untuk mencoretkan sesuatu di sini. :') Namun, ada hikmahnya mengapa Allah membiarkan semua itu seakan berkubur di dalam hati.

Pernah dengar quotation ini?

Sometimes, Allah breaks our spirit to save our soul, our heart to make us whole, sends us pain so we can be stronger, failure so we can be humble, illness so we can take better care of ourselves and takes something away from us so we can learn the value of all we have.

Kata-kata hikmah ini memang ada benarnya.

Kala kita rasa kita dihimpit masalah besar, terasa hilang daya upaya, tak tahu nak buat apa. Ketika itulah Allah mahu menguji kita. Sejauh mana kuatnya pergantungan kita padaNya.

"Ya Allah... macam mana ni.. habis la aku.. habislah aku kali ni ya Allah.." sambil ada air mata yang mula menitis ke pipi. 
Lost..

Diri terasa lemah tiada daya sewaktu dikhabarkan perancangan yang dirancang sekian lama sehabis baik telah mengalami masalah. Kesinambungannya memberi masalah yang lebih besar kepada seluruh program.

Hancur semua kepercayaan yang disandarkan kepada diri. Runtuh sudah kredibiliti diri. Oh... habislah. Habislah. Dunia dah gelap. Itu sangka kita.

Walhal, sehingga pengakirannya, pasti ada jalan keluar yang Allah sediakan buat kita. Tidak terjadi pun apa yang kita luahkan itu. Bahkan, pengakhiran yang Allah sediakan itu sangat jauh lebih baik daripada perancangan asal kita. Allahu akbar. Sesungguhnya Dia lebih Mengetahui.

Ya.. menjebakkan diri dalam kancah persatuan, dalam kancah masyarakat kampus, sahabat dan sahabiah tercinta, 'waktu-waktu kritikal' beginilah dapat kita kenal siapa sebenarnya yang benar-benar layak dinamakan sahabat. Waktu itulah Allah bukakan hijab kita semua yang sebenar-benarnya.

Bila mana yang kita sangka tidak baik itulah rupanya sahabat sebenar. Bahkan figura hebat yang kita sangkakan benar sahabat yang baik itulah yang paling banyak menikam belakang kita. Astaghfirullah hal adzhim.. Peritnya kenyataan yang mahu ditelan.

Tetapi... Allah itu lebih Mengetahui.. DIa Tahu, hanya dengan cara yang demikian, barulah dapat membuka mata, hati & minda kita betapa sahabat yang sebenar, satu-satunya yang paling boleh dipercayai hanyalah Allah semata-mata.. 

Hebatnya Allah. Hebatnya perancangan Allah. Hingga aku terduduk dalam kepiluan. Makin banyak pula air mata yang menangisi betapa selama ini diri ini telah banyak tertipu dengan helah tipuan duniawi. Astaghfirullah hal adzhim..

Sebelum ini, aku percaya, jika kita ikhlas, pasti orang juga akan ikhlas terhadap kita. 

Namun, nampaknya bukan begitu kenyataannya. Hal ikhlas ini adalah rahsia Allah. Jangan kita sesekali mengharapkan balasan yang baik daripada apa yang kita lakukan. Dengan itu, hati kita akan kecewa, hati kita akan terguris, apabila kebaikan kita dibalas dengan pengkhianatan.

Ya Allah.. mungkin itulah yang Allah rasa  bila mana diri ini selalu benar mengkhianatiNya.. ya Allah... :'(

Sandarkanlah, kesederhanaan dalam kehidupan duniamu, dengan itu kita akan menerima semua kekurangan yang ada dengan hati yang lebih terbuka. Jika kita fikir-fikirkan pun.. apalah sangat, banyak manalah sangat yang hendak diharapkan daripada dunia yang fana ini..

Pengalaman, insyaAllah akan mengajar kita lebih banyak tentang kehidupan. Percayalah & berpegang teguhlah kepada Allah. InsyaAllah kita akan dapat melalui saat-saat sukar dengan lebih tenang.. 

Hati kita, hanya Allah dan kita sahaja yang tahu. Itu rahsia kita dengan Allah. :') Biarkan apa yang manusia mahu katakan tentang kita. Biar buruk persepsi manusia pada kita, yang penting, Allah tak kita lepaskan. 

Yakinlah, tidak ada apa-apa faedahnya kita asyik fikir mahu memuaskan hati manusia. Oh, itu takkan berlaku. Manusia takkan pernah puas. Segala kebaikan kita yang bergunung akan lesap sekelip mata hanya dengan satu kelemahan & kesilapan kita. Itulah dinamakan manusia.

Ada baiknya, fikirkan.. bagaimana mahu memuaskan hati Allah. Asalkan apa yang kita lakukan itu benar di mataNya, insyaAllah persiakan & pedulikan saja apa yang dikatakan oleh manusia atau semua persepsi orang terhadap kita.

Sedar atau tidak... kerana asyik fikirkan persepsi manusia pada kita itulah yang membuatkan hati kita selalu rasa tidak tenang. Sebaliknya, jika kita buat kerja kerana Allah, insyaAllah kita akan rasa lebih lega..

Allah bagi masalah, supaya kita belajar. Allah bagi ujian supaya kita lebih kuat. Maka, jangan mengeluh & berasa lemah. Kita adalah insan terpilih yang dipilih olehNya untuk menggalas tarbiyyah itu. :') maka, bersyukurlah...

Lihat sekeliling kita.. betapa banyak manusia yang Allah tak peduli. Mereka tenggelam dengan keduniaan. Mereka berpesta & bergembira tentang hal yang hanya sementara. Mereka lemas dengan cinta yang fana. Mereka tertipu. Mereka tertipu dengan kebusukan dunia ini..

Sebaliknya kita... dalam kehidupan yang kita lalui ini, kita pula asyik merungut bila Allah menguji, sedangkan itu maknanya Allah itu sangat dekat dengan kita. Allah mahu mengingatkan kita tentang hakikat kehidupan yang sebenarnya bukan hanya indah semata-mata. 

Dari surah ke-29, ayat ke-2; Allah berfirman;

أَحَسِبَ النَّاسُ أَنْ يُتْرَكُوا أَنْ يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لا يُفْتَنُونَ (٢ 

Maksudnya: "Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, "Kami telah beriman," dan mereka tidak diuji?" [al-Ankabut: 2]

Dia sentiasa dekat. Dia sentiasa ada untuk kita.

Kebaikan yang kita usahakan ini adalah untuk kita. Jihad ini adalah untuk kita. Memang benar, hanya rahmat Allah yang menentukan samada tempat akhir kita di syurga ataupun neraka. Namun, berusahalah untuk memasuki syurga Allah! 


وَمَنْ جَاهَدَ فَإِنَّمَا يُجَاهِدُ لِنَفْسِهِ إِنَّ اللَّهَ لَغَنِيٌّ عَنِ الْعَالَمِينَ (٦

Maksudnya;
"Dan barangsiapa yang berjihad, maka sesungguhnya jihadnya itu adalah untuk dirinya sendiri. Sungguh Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu pun) daripada seluruh alam" [al-Ankabut: 6]


Pandanglah dunia ini dengan pandangan akhirat.. dengan itu janganlah kita sesekali terpedaya. Teruskanlah perjuangan. teruskanlah langkah kaki menuju redhaNya.

Allah berfirman: 

مَنْ كَانَ يَرْجُو لِقَاءَ اللَّهِ فَإِنَّ أَجَلَ اللَّهِ لآتٍ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ (٥
 
"Barangsiapa yang mengharapkan pertemuan dengan Allah, maka sesungguhnya waktu (yang Dijanjikan) Allah pasti akan datang. Dan Dialah Yang Maha Mendengar, Maha Mengetahui." [al-Ankabut : 5] 


Pertemuan dengan Allah di hujung perjalanan ini, itulah sebaik-baik pengharapan. :')


Allahu'alam..


p/s: Sangat bersyukur kerana terpilih untuk menjadi diri ini. :)



~Taujihad Srikandi~

Wahai Srikandi :-

" takhallikan dirimu dari terjerumus ke lembah noda serta sikap bermain-main dengan perjuangan.. tahallikan dirimu dengan sifat sebenar seorang wanita yang hidup dengan perjuangan, pengorbanan serta jihad dan kefahaman juga dambaan syahid "