Thursday, April 28, 2011

Airmata Kasih:Dia Sentiasa Dekat


Bismillahirrohmanirrohim.. 




Alhamdulillah.. terasa lama tidak mencoretkan entri coretan hati di ruangan kesayangan ini. Sesungguhnya hanya Allah sahaja yang tahu betapa rindunya aku untuk mencoretkan sesuatu di sini. :') Namun, ada hikmahnya mengapa Allah membiarkan semua itu seakan berkubur di dalam hati.

Pernah dengar quotation ini?

Sometimes, Allah breaks our spirit to save our soul, our heart to make us whole, sends us pain so we can be stronger, failure so we can be humble, illness so we can take better care of ourselves and takes something away from us so we can learn the value of all we have.

Kata-kata hikmah ini memang ada benarnya.

Kala kita rasa kita dihimpit masalah besar, terasa hilang daya upaya, tak tahu nak buat apa. Ketika itulah Allah mahu menguji kita. Sejauh mana kuatnya pergantungan kita padaNya.

"Ya Allah... macam mana ni.. habis la aku.. habislah aku kali ni ya Allah.." sambil ada air mata yang mula menitis ke pipi. 
Lost..

Diri terasa lemah tiada daya sewaktu dikhabarkan perancangan yang dirancang sekian lama sehabis baik telah mengalami masalah. Kesinambungannya memberi masalah yang lebih besar kepada seluruh program.

Hancur semua kepercayaan yang disandarkan kepada diri. Runtuh sudah kredibiliti diri. Oh... habislah. Habislah. Dunia dah gelap. Itu sangka kita.

Walhal, sehingga pengakirannya, pasti ada jalan keluar yang Allah sediakan buat kita. Tidak terjadi pun apa yang kita luahkan itu. Bahkan, pengakhiran yang Allah sediakan itu sangat jauh lebih baik daripada perancangan asal kita. Allahu akbar. Sesungguhnya Dia lebih Mengetahui.

Ya.. menjebakkan diri dalam kancah persatuan, dalam kancah masyarakat kampus, sahabat dan sahabiah tercinta, 'waktu-waktu kritikal' beginilah dapat kita kenal siapa sebenarnya yang benar-benar layak dinamakan sahabat. Waktu itulah Allah bukakan hijab kita semua yang sebenar-benarnya.

Bila mana yang kita sangka tidak baik itulah rupanya sahabat sebenar. Bahkan figura hebat yang kita sangkakan benar sahabat yang baik itulah yang paling banyak menikam belakang kita. Astaghfirullah hal adzhim.. Peritnya kenyataan yang mahu ditelan.

Tetapi... Allah itu lebih Mengetahui.. DIa Tahu, hanya dengan cara yang demikian, barulah dapat membuka mata, hati & minda kita betapa sahabat yang sebenar, satu-satunya yang paling boleh dipercayai hanyalah Allah semata-mata.. 

Hebatnya Allah. Hebatnya perancangan Allah. Hingga aku terduduk dalam kepiluan. Makin banyak pula air mata yang menangisi betapa selama ini diri ini telah banyak tertipu dengan helah tipuan duniawi. Astaghfirullah hal adzhim..

Sebelum ini, aku percaya, jika kita ikhlas, pasti orang juga akan ikhlas terhadap kita. 

Namun, nampaknya bukan begitu kenyataannya. Hal ikhlas ini adalah rahsia Allah. Jangan kita sesekali mengharapkan balasan yang baik daripada apa yang kita lakukan. Dengan itu, hati kita akan kecewa, hati kita akan terguris, apabila kebaikan kita dibalas dengan pengkhianatan.

Ya Allah.. mungkin itulah yang Allah rasa  bila mana diri ini selalu benar mengkhianatiNya.. ya Allah... :'(

Sandarkanlah, kesederhanaan dalam kehidupan duniamu, dengan itu kita akan menerima semua kekurangan yang ada dengan hati yang lebih terbuka. Jika kita fikir-fikirkan pun.. apalah sangat, banyak manalah sangat yang hendak diharapkan daripada dunia yang fana ini..

Pengalaman, insyaAllah akan mengajar kita lebih banyak tentang kehidupan. Percayalah & berpegang teguhlah kepada Allah. InsyaAllah kita akan dapat melalui saat-saat sukar dengan lebih tenang.. 

Hati kita, hanya Allah dan kita sahaja yang tahu. Itu rahsia kita dengan Allah. :') Biarkan apa yang manusia mahu katakan tentang kita. Biar buruk persepsi manusia pada kita, yang penting, Allah tak kita lepaskan. 

Yakinlah, tidak ada apa-apa faedahnya kita asyik fikir mahu memuaskan hati manusia. Oh, itu takkan berlaku. Manusia takkan pernah puas. Segala kebaikan kita yang bergunung akan lesap sekelip mata hanya dengan satu kelemahan & kesilapan kita. Itulah dinamakan manusia.

Ada baiknya, fikirkan.. bagaimana mahu memuaskan hati Allah. Asalkan apa yang kita lakukan itu benar di mataNya, insyaAllah persiakan & pedulikan saja apa yang dikatakan oleh manusia atau semua persepsi orang terhadap kita.

Sedar atau tidak... kerana asyik fikirkan persepsi manusia pada kita itulah yang membuatkan hati kita selalu rasa tidak tenang. Sebaliknya, jika kita buat kerja kerana Allah, insyaAllah kita akan rasa lebih lega..

Allah bagi masalah, supaya kita belajar. Allah bagi ujian supaya kita lebih kuat. Maka, jangan mengeluh & berasa lemah. Kita adalah insan terpilih yang dipilih olehNya untuk menggalas tarbiyyah itu. :') maka, bersyukurlah...

Lihat sekeliling kita.. betapa banyak manusia yang Allah tak peduli. Mereka tenggelam dengan keduniaan. Mereka berpesta & bergembira tentang hal yang hanya sementara. Mereka lemas dengan cinta yang fana. Mereka tertipu. Mereka tertipu dengan kebusukan dunia ini..

Sebaliknya kita... dalam kehidupan yang kita lalui ini, kita pula asyik merungut bila Allah menguji, sedangkan itu maknanya Allah itu sangat dekat dengan kita. Allah mahu mengingatkan kita tentang hakikat kehidupan yang sebenarnya bukan hanya indah semata-mata. 

Dari surah ke-29, ayat ke-2; Allah berfirman;

أَحَسِبَ النَّاسُ أَنْ يُتْرَكُوا أَنْ يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لا يُفْتَنُونَ (٢ 

Maksudnya: "Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, "Kami telah beriman," dan mereka tidak diuji?" [al-Ankabut: 2]

Dia sentiasa dekat. Dia sentiasa ada untuk kita.

Kebaikan yang kita usahakan ini adalah untuk kita. Jihad ini adalah untuk kita. Memang benar, hanya rahmat Allah yang menentukan samada tempat akhir kita di syurga ataupun neraka. Namun, berusahalah untuk memasuki syurga Allah! 


وَمَنْ جَاهَدَ فَإِنَّمَا يُجَاهِدُ لِنَفْسِهِ إِنَّ اللَّهَ لَغَنِيٌّ عَنِ الْعَالَمِينَ (٦

Maksudnya;
"Dan barangsiapa yang berjihad, maka sesungguhnya jihadnya itu adalah untuk dirinya sendiri. Sungguh Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu pun) daripada seluruh alam" [al-Ankabut: 6]


Pandanglah dunia ini dengan pandangan akhirat.. dengan itu janganlah kita sesekali terpedaya. Teruskanlah perjuangan. teruskanlah langkah kaki menuju redhaNya.

Allah berfirman: 

مَنْ كَانَ يَرْجُو لِقَاءَ اللَّهِ فَإِنَّ أَجَلَ اللَّهِ لآتٍ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ (٥
 
"Barangsiapa yang mengharapkan pertemuan dengan Allah, maka sesungguhnya waktu (yang Dijanjikan) Allah pasti akan datang. Dan Dialah Yang Maha Mendengar, Maha Mengetahui." [al-Ankabut : 5] 


Pertemuan dengan Allah di hujung perjalanan ini, itulah sebaik-baik pengharapan. :')


Allahu'alam..


p/s: Sangat bersyukur kerana terpilih untuk menjadi diri ini. :)



No comments:

~Taujihad Srikandi~

Wahai Srikandi :-

" takhallikan dirimu dari terjerumus ke lembah noda serta sikap bermain-main dengan perjuangan.. tahallikan dirimu dengan sifat sebenar seorang wanita yang hidup dengan perjuangan, pengorbanan serta jihad dan kefahaman juga dambaan syahid "