Ramai orang berbicara tentang perjuangan, alunan nasyid yang berkisar perjuangan juga terlalu banyak di pasaran, terkadang ada juga yang mengakui dirinya adalah seorang pejuang yang berjuang untuk sebuah perjuangan, namun apabila ditanya apakah makna perjuangan yang sebenarnya? Pasti di sana pelbagai jawapan yang bakal muncul dari bibir-bibir manis mereka yang menggelarkan diri seorang pejuang.
Pejuang adalah seorang yang memperjuangkan sesuatu yang ingin dicapai ataupun mempertahankan sesuatu yang dimiliki, matlamat yang ingin dibawa bergantung kepada apa yang ingin diperjuangkan samada matlamatnya bersifat individu ataupun demi kemaslahatan bersama. Begitulah pentaarifan umum yang seringkali kita dengari.
Hadirnya Islam membawa erti perjuangan ini dengan lebih jelas, pembawa risalah Islam baginda Rasulullah S.A.W telah mempamerkan kepada umatnya perihal perjuangan yang diperjuangkan oleh baginda dalam membawa risalah ISLAM ini ke seluruh pelusuk muka bumi. Perjuangan yang membawa manusia mengenali penciptanya dan perjuangan yang membawa manusia ke arah mencapai keredhaan Ilahi. Inilah matlamat perjuangan yang sebenarnya diinginkan, menjadi pewaris kepada perjuangan yang di bawa oleh baginda S.A.W serta meneruskannya dengan taat dan penuh istiqamah.
Seringkali kedengaran di sebalik sebuah perjuangan yang dibawa oleh satu gagasan pasti mempunyai golongan wanita yang menjadi obor kepada perjuangan tersebut. Begitu juga dengan perjuangan Islam, sekiranya disingkapi sejarah kebangkitan Islam, pasti ditemui nama-nama srikandi Islam yang turut sama memperjuangkan RISALAH ini. Benarlah firman Allah Taala dalam surah at-Taubah ayat 71:
dan orang-orang Yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi Penolong bagi setengahnya Yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
SEJARAH KEGEMILANGAN SRIKANDI
Tercatit dalam lipatan sejarah yang telah membuktikan bahawa penglibatan muslimat dalam perjuangan Islam bukanlah suatu perkara yang baru, bahkan kejayaan, kemenangan dan keunggulan kaum muslimat menjadi sayap kanan perjuangan Islam telah berjaya dibuktikan. Peranan Muslimat di kalangan kaum wanita adalah penting dalam usaha menyeru ke arah kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran. Keterlibatan kaum muslimat dalam medan perjuangan ini mampu diseimbangkan antara dua genetik lelaki dan perempuan dalam mencapai tujuan dan matlamat yang sama tanpa ada perbezaan.
Di awal kebangkitan islam kaum muslimat telah muncul di dalam membantu perjuangan Rasulullah S.A.W, satu kisah yang cukup menarik untuk dikongsi bersama. Kisah seorang srikandi Islam yang kian dilupai dek zaman yang telah berlalu sehingga meninggalkan sejarah berharga ini.
Nusaibah binti Ka’ab atau lebih dikenali sebagai Ummu Umarah merupakan seorang pejuang yang teguh berdiri tatkala ramai yang berundur, beliau juga merupakan seorang ibu yang mengarahkan anaknya di kala cedera parah agar kembali menyertai saf peperangan Uhud tatkala sedang sengit, malah bersedia menggadaikan nyawanya demi menyelamatkan Rasulullah SAW. Sebagai balasan, beliau dijanjikan oleh Rasulullah S.A.W menjadi teman baginda ketika di syurga kelak.
Beliaulah muslimat pertama yang menyertai pasukan perang Islam, menghadapi musuh-musuh Allah dengan keberanian yang cukup kental, Serangan bertubi-tubi oleh musuh membuatkan tubuh Nusaibah terluka dan berlumuran darah hinggakan beliau tidak sedarkan diri. Disaat sedarkan diri perkataan pertama yang keluar dari mulutnya adalah, “di mana Rasulullah?” “Apakah engkau tidak sedar bawah lukamu sangat parah, darahmu terus mengalir tanpa henti,tenagamu telah habis, anakmu yang makin dewasa, mengapa kau menanyakan Rasulullah?” Nusaibah menjawab. “Mereka bukanlah Nabi Muhammad, meraka bukan yang membawa risalah Islam. Sesungguhnya aku berperang kerananya dan aku sedia mati kerananya (risalah islam).” Khabar tentang selamatnya Rasulullah telah mengembalikan semangat ke dalam dirinya sehingga mampu membuatkan dirinya terlupa akan luka yang menghiris dirinya.
Demikianlah keberanian yang terlihat dalam diri Ummu Umarah yang telah mengibarkan panji-panji Islam. Beliau berusaha sehabis dayanya untuk melindungi dan membela Rasulullah S.A.W. Ummu Umarah telah berjuang dan manghadapi 12 kesan luka pada tubuhnya. Beliau juga merupakan seorang ibu yang memberikan perhatian yang serius kepada anak-anaknya, Habib dan Abdullah. Sehinggakan mampu memenuhi hati mereka dengan keimanan, jiwanya dengan keberanian dan fiziknya dengan kekuatan.
Kita kembali ke dunia realiti hari ini, masih wujudkah muslimat sekental Nusaibah? Penuh dengan semangat dan keberanian, serta mampu membentuk keluarga dan anak-anak menjadi pejuang islam. Inilah antara ikon muslimat yang kita inginkan, hanya muslimat yang meletakkan perjuangan dalam minda mereka mampu mengulangi sejarah srikandi agung ini. Andai minda sudah mengatakan tidak kepada sebuah perjuangan, jangan diharap diri mampu menggalas amanah besar ini.
Lantaran itu kebangkitan muslimat hari ini perlu disemarakkan bagi mengulangi sejarah kegemilangan yang pernah menjadi sinar-sinar dalam kebangkitan Islam suatu ketika dahulu. Minda muslimat pejuang sama sekali tidak boleh memisahkan dirinya daripada dunia dakwah. Cabaran masa kini sudah tidak dapat menerima sebarang alasan untuk membiarkan sahaja golongan muslimat berkawan dengan periuk dan kuali sahaja di saat anak-anak gadis remaja kian menjadi taruhan kepada ideology barat sehingga menggadaikan maruah serta memaksa mereka memberontak untuk melawan nalurinya, lantas melangkah keluar dari batasan syariat, hasilnya golongan wanita menjadi mangsa penganiayaan, wanita diperalatkan untuk mencari nafkah, wanita diexplotasi demi mencapai keseronokan yang haram atau mendapat pendapatan yang haram. Kita tidak inginkan minda muslimat hanya memandang medan perjuangan hanya berlegar di dalam keluarga, sehingga mengenepikan persoalan ummah yang kian meruncing.
Jika Nusaibah sanggup mempertaruhkan nyawanya demi kelangsungan Islam, adakah kita juga sanggup? Adakah sejarah pengorbanan Nusaibah hanya sekadar lintasan sejarah? Apakah bezanya kita dengan Nusaibah sehingga kebanyakan daripada kita sering memberi alasan untuk berkorban demi Islam? Nusaibah adalah wanita biasa, sama seperti kita. Yang membezakan antara kita dan Nusaibah adalah keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wa Taala. Adakah mustahil untuk kita memiliki iman sehebat Nusaibah? Tidak wahai muslimat, semua itu tidak mustahil! Setiap daripada kita berpeluang beriman kepada Allah sehebat Nusaibah dan tidak mustahil untuk menjadi lebih hebat daripada Nusaibah.
dan di antara manusia ada Yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata; dan Allah pula amat belas-kasihan akan hamba-hambanya.
Bangkitlah muslimat dalam menyedari masyarakat islam tidak mungkin akan terbina dan terbentuk jika golongan wanitanya tidak memahami islam, tidak mengamalkan islam dalam kehidupannya, tidak berdakwah ke jalan islam, tidak melahirkan generasi pejuang islam,tidak mengasuh anak-anak dengan adunan perjuangan yang hakiki dan tidak menyokong suaminya agar menerapkan islam. Kerana itulah banyakknya tuntuntan yang menuntut peranan dan pengorbananmu wahai srikandi islam.
No comments:
Post a Comment