Monday, September 26, 2011

Dia Seorang Sahabat..

Pernah suatu hari, telah dikhabarkan kisah dua orang sahabat yang sangat indah. Semenjak keduanya bersahabat, mereka tidak pernah bergaduh, masing-masing amat menjaga hati masing-masing. Indahnya lukisan kehidupan mereka, mereka berkongsi kisah suka dan duka, tawa dan tangis bersama, susah dan senang, sakit dan sihat bersama, dan segala sesuatu mereka sandarkan kepada Allah SWT. Hinggalah pada suatu hari, di tepian pantai, sedang keduanya asyik bercerita kisah hidup masing-masing, maka sahabat pertama bertanya kepada sahabat kedua;

“Semoga Allah memberkatimu wahai sahabatku sehati sejiwa. Persaudaraan kita bukan suatu kebanggaan, bukanlah suatu keseronokan. Orang ramai mendoakan kita. Tumbuh-tumbuhan dan segala jenis makhluk tunduk sujud kepada kita. Sehingga ke hari ini, apakah kamu masih mengaku aku sebagai sahabat seperjuanganmu?”

Sahabat kedua menjawab, “Semoga Allah memberkati mu jua. Tanpa Allah siapalah aku, aku bersyukur dengan nikmat pemberian Allah yang tak ternilai di hadapan mataku ini. Dia utuskan kamu untuk menyinari hidupku, memadam kesan-kesan hitam dalam hidupku, menyiram aku dengan curahan air cinta kepada Yang Satu. Masakan tidak aku mengaku kau sebagai sahabat seperjuanganku. Inilah tekadku, aku amat bersyukur ke hadrat Allah kerana dikurniakan sahabat sepertimu..”

“Sesungguhnya iblis dan syaitan amat benci pada kita. Mereka benci kerana kita berkasih sayang kerana Allah. Sampai sekarang, mereka masih gagal. Namun mereka tak pernah berputus asa. Jarum kedengkian, hasad, fitnah, tuduh-menuduh, riya’ dan takbur serta ‘ujub akan mereka cucuk supaya dapat memisahkan persaudaraan kita. Apakah kau tidak takut wahai sahabatku?” Tanya sahabat pertama.

Dengan tenang, sahabat kedua menjawab, “InsyaAllah, aku yakin dengan peliharaan Allah SWT kepada kita hingga ke hari akhirat nanti. Semoga ditetapkan hati kita tidak lain hanya kerana Allah SWT, serta dijauhi dari sifat-sifat tersebut. Na’uzubillah…”

Maka kedua-dua sahabat itu pun berdoa bersama-sama. Memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT. Segala penduduk langit dan bumi mendoakan kebahagiaan mereka berdua.

Ditakdirkan pada suatu hari, sedang kedua-dua sahabat itu bersiar-siar di sebuah taman, sambil bertasbih memuji Allah SWT, mengagungkan kebesaran Allah SWT, tiba-tiba mereka terlihat sebuah pohon kurma yang lebat buahnya. Telah diketahui bahawa taman itu adalah taman yang tidak bertuan milik, dan pengunjung bebas memetik buah-buahan di situ. Maka sahabat kedua memohon izin kepada sahabat pertama untuk pergi memetik buah kurma tersebut. Maka dipetiknya beberapa biji sahaja, sekadar mengisi perut yang lapar.

Maka keduanya menikmati buah kurma tersebut dengan penuh kesyukuran. Tiba-tiba sahabat pertama bersuara, “Maafkan aku sahabatku. Baru sahaja aku teringat bahawasanya pohon ini bertuan milik. Kita telah makan buah kurma milik orang lain. Adalah suatu dosa bagi kita memakan sesuatu yang bukan halal bagi kita tanpa kita meminta izin terlebih dahulu. Salah aku kerana terlambat memberitahumu.”

“Benarkah? Jikalau begitu, kita telah dikira mencuri. Astaghfirullahal azim, aku merasa bersalah kerana memetik buah itu. Apa harus kita buat? Patutkah kita memberitahu tuan punya milik pohon tersebut akan kesalahan kita?” Sahabat kedua bertanya.

“Tidak, aku tak mampu memikirkan jalan penyelesaian buat masa sekarang. Hakikatnya memang salah aku. Aku merasa berdosa yang teramat sangat.” Keluh sahabat pertama.

“Jangan risau sahabatku fillah. Allah bersama orang-orang yang benar. Kita harus berlaku jujur. Mari kita berjumpa dengan tuan pemilik pohon ini. Mudah-mudahan Allah mengampuni dosa kita. Moga tuan milik pohon ini menghalalkan kita kerana memakan buahnya. Aku rela bekerja seumur hidup jika disuruhnya begitu, demi menghalalkan apa yang telahku makan ini. Aku lebih takutkan seksaan Allah SWT.” Sahabat kedua memujuk sahabat pertama.

Namun, sahabat pertama enggan menurut sahabat kedua. Dia berasa amat bersalah kerana gagal memberitahu perkara sebenar tentang pohon tersebut.

“Bagaimana jika tuan pemilik pohon ini enggan menghalalkan buah yang telah kita makan ini?” Tanya sahabat pertama.
Sahabat kedua termenung seketika. Dia mulai ragu-ragu.

“Aku mencadangkan kita tak perlu berjumpa dengan tuan pemilik pohon ini. Aku khuatir dia enggan memaafkan kita. Maka seluruh darah dan daging kita tidak halal di sisi Allah.” Sahabat pertama memberi cadangan.

“Kalau begitu, sama sahajalah pengakhirannya. Lebih dahsyat lagi Allah murka atas perbuatan kita. Dia melihat perbuatan kita, Dia tahu yang kita telah melakukan maksiat dan cuba menyembunyikannya. Aku amat takut. Seeloknya aku mencadangkan kita berjumpa tuan pemilik pohon ini. InsyaAllah dengan rahmat Allah, tuan pemilik pohon ini memaafkan dan menghalalkan apa yang telah kita makan. Aku tak mahu tergolong dalam kalangan orang yang dilaknat oleh Allah SWT di akhirat kelak nanti.” Sahabat kedua meyakinkan sahabat pertama.

“Kalau begitu, engkau pergi seoranglah. Aku tidak mahu. Sebagai sahabatku, harap kau jangan laporkan kepadanya yang aku turut sama makan buah kurma itu ya. InsyaAllah suatu hari nanti aku akan cuba bertaubat kepada Allah SWT atas kesalahanku ini. Mudah-mudahan Dia mengampuni aku. Aku belum cukup kuat berjumpa dengannya,” kata sahabat pertama.

Sahabat kedua amat terkejut dengan pendirian sahabat pertama. Lalu dia berkata, “Astaghfirullah, bukan dengan cara begini, Allah akan ampunkan dosa kita wahai sahabatku. Kelak akan dipersaksikan di akhirat kelak akan perbuatan terkutuk kita!”

“Ya aku faham. Tapi aku merasakan inilah jalan penyelesaian terbaik. Kita bertaubat sahaja. Allah akan mengampuni dosa kita. Pintu taubatnya sentiasa terbuka bagi hambaNya yang bertaubat kepadaNya.” Sahabat pertama masih enggan.

“Wahai sahabatku, janganlah kita dihina di hadapan Allah kelak atas perbuatan kita ini. Aku sebagai sahabatmu tidak sanggup melihat sahabatku ini menjadi penghuni neraka hanya kerana hal yang kecil sebegini. Islam mengajar kita supaya berlaku jujur!” tegas sahabat kedua.

“Ah, pedulikan! Aku tidak mahu berjumpa dengan tuan pemilik pohon ini. Lagipun sama sahaja kalau dia enggan menghalalkan apa yang telah kita lakukan ini. Kau mahu pergi, kau pergilah, aku tetap dengan pendirianku! Biarkan aku! Kalau kau rasakan aku tidak layak menjadi sahabatmu kerana ‘dosa’ku pada pandanganmu, maka biarkan aku!” Pengakuan sahabat pertama ini membuatkan sahabat kedua terkejut. Dia tidak menyangka bahawa kata-kata tersebut akan keluar dari mulut sahabatnya itu.

Tiba-tiba sahabat kedua menangis. Maka dengan perlahan dia berkata kepada sahabat pertama, “Sungguh aku tak sangka dengan pendirianmu ini. Kau telah berubah, astaghfirullah, syaitan benar-benar telah mempengaruhimu. Aku masih ingat kau pernah bertanya kepadaku suatu ketika dahulu, apakah aku tidak takut akan jarum-jarum syaitan yang akan memisahkan persaudaraan kita? Aku meyakinkanmu dengan jawapanku. Aku yakin dengan peliharaan Allah. Tapi, memang benar apa yang dikatakanmu. Kau telah berubah. Jarum syaitan telah menusuki tubuhmu. Aku sangat kecewa dengan perubahan dalam dirimu.”

“Kau sudah tidak memahamiku lagi. Kau benar-benar bukan sahabatku. Maka terpulanglah, pergilah kau kepada tuan si pemilik pohon. Aku dengan pendirianku ini. Mulai hari ini, kita bukanlah sahabat sejati,” kata sahabat pertama.

“Baiklah, pergilah engkau dengan sikap engkau itu. Aku benar-benar kecewa. Jika benar kau membenciku, maka tinggalkanlah aku di sini. Aku tak sanggup melihatmu dengan pendirianmu ini. Aku tak rela sahabatku berubah jadi begini. Kau telah mendustai kata-katamu suatu ketika dahulu. Mulai hari ini, aku terima permintaanmu, kita bukan lagi sahabat. Pergilah engkau bertaubat, semoga Allah mengampuni engkau,” maka sahabat kedua menangis. Lalu sahabat pertama beredar dari situ. Kebencian merajai segenap hatinya….

Di dalam sebuah gua, terdengar tangisan teresak-esak seorang wanita. Suara laksana orang sedang berdoa.

“Ya Allah, memang benar apa yang aku alami. Sahabatku benar-benar membenciku kerana kejahatanku. Dia benar-benar sudah tidak mengakuiku sebagai sahabatnya. Apabila aku berlagak seperti seorang pengkhianat, dan aku berlakon seperti seolah-olah aku menafikannya sebagai sahabatku, maka memang benar dia menolakku. Sudah ku duga bahawa dia mengakui aku sebagai sahabatnya hanya kerana kebaikan yang ada padaku. Apabila aku jahat, maka aku bukan lagi sahabatnya. Dia tidak berusaha mendapatkanku. Ku harapkan dia mengejarku, namun dia menghukum aku sebagai pendusta pula. Ya Allah, namun begitu, aku menghalalkan apa yang telah dimakannya, akulah pemilik pohon kurma itu, ampunilah dosa sahabatku ini.”

Sahabat pertama tunduk sujud dan menangis dalam gua yang gelap gelita itu
..................................................................................................................
mungkin kita selalu dengar kata-kata ini:

"aku mencintaimu kerana agamamu. Jika hilang agamamu, maka hilanglah cintaku padamu."
sahabatku sekalian tak kira dimana anda berada,

jika hilang "agama" rakanmu ini janganlah hilangkan cintamu kepadanya, kasihanilah fitrahnya. jika dia tersilap langkah, atau tersungkur.. pimpinlah dan bantulah dia bangun kembali. bawalah dia kembali kepada fitrahnya.. 

mohon maaf andai selama kita mengenali, tingkah laku dan tutur bicaraku ini mengguris hatimu sahabat

maaf, saya bukan sahabat terbaik untuk anda, tapi anda adalah sahabat terbaik pernah saya ada

semoga Allah redha kepada dirimu dan kepada diriku
amiin.
^_^



Friday, August 12, 2011

Coret-coret Kenangan Lalu..~~

Assalamualaikum warahmatullah para pengunjung semua yang sudi menjengah ke teratak hamba yang jarang ber-update ni..

Alhamdulillah hari ni dah ramadhan ke-12, fasa 1 ramadhan yang penuh dengan rahmat sudah melabuhkan tirainya. InsyaAllah, menjelang pula fasa ke-2 yakni fasa penuh keampunan & fasa yang terakhir yakni fasa di mana pintu syurga dibuka seluasnya manakala pintu neraka ditutup serapat-rapatnya..

Jika kita menyedari betapa bertuahnya kita dapat bertemu dengan bulan ramadhan, & betapa ruginya kita kerana mempersiakan peluang & ruang yang Allah sediakan itu selama ini. Jika kita sedari betapa besarnya ganjaran yang Allah sediakan buat hambaNya yang merebut-rebut untuk meraih keredhaan & ampunanNya, nescaya akan terduduk kita, terbeliak mata tak percaya. 

Rugilah bagi sesiapa yang memasuki ramadhan & keluar daripadanya tanpa mendapat apa-apa.. 

Raihlah & jalanilah Ramadhan kali ini dengan sebenar iman dan kecintaan kepada Allah & rasulNya serta dengan azam mahu memperhebatkan ibadah kita. Pergunakanlah peluang keemasan yang Allah beri untuk mengisi ramadhan kali ini dengan kehebatan amalan lillahi taala. insyaAllah, kemanisan iman & beribadah itu akan kita rasai. Tak mengapa dengan ramadhan yang telah lepas, yang telah kita persiakan. Tebus kembali rasa sesalan itu pada ramadhan kali ini.. insyaAllah. Jom perkasakan lagi ibadah di fasa ke-2 ramadhan ini, belum terlambat lagi untuk kita menopup amalan semaksima mungkin. ^_^

Ok, itu tentang ramadhan.. pagi tadi selepas selesai menunaikan solat subuh, ana lihat mak ana tengah sibuk mengemas ruang tamu dengan bersungguh2 ehehe.. (tengok je..) ^^ tetiba keinginan untuk membersihkan bilik sendiri menjadi begitu berkobar-kobar (semangat ramadhan kot)..

Maka ana pun mulakan lah operasi kemas-mengemas ni..bila pergi dekat hujung katil ana baru terperasan sesuatu... "eh, bnyknya kotak hadiah.."

Ana pun kononnya selongkar lah benda-benda tu.... ok, dah ingat itu kotak2 hadiah zaman muda2 dulu la kononnya..dari ana sekolah menengah sampailah di matrikulasi...banyak jugak rupanya..dan dalam kotak2 tu ada banyak surat2..emm.. =_="

Tengok, belek, baca sikit2..lipat..

Buka kad2 yg ada...gelak sekejap, geleng kepala, berfikir n mcm2 lg gelagat yang boleh di buat..

Tiba-tiba mak masuk...mak ckp "tgh mengimbas kenangan lalu ka?" ana senyum.. tak sangka semuanya masih ada dan di simpan rapi oleh mak..padahal kat hujung katil je pon..macamanalah ana boleh tak perasan benda2 ni...

Dapat idea...amik kamera kat atas meja dan konon2nya snap la sebelum ada sesuatu yang perlu dilakukan ke atas kotak2 dan isi2nya ini hehe... 



Siapa-siapa yang tengok ni yang agak2 dia punya dulu2 bagi dengan ana terima kasih..  ^^ 


banyak x? eheh...isi2 dalam kotak ni lagi banyak..sebab ana dah campur2 surat dan kad2...kalau nak ikutkan surat2 tu ada jugak dalam 100 lebih.. kad2 lagi..kenangan "budak kecik" biasalah..



Antara isi dalam salah satu daripada kotak-kotak ini... khazanah yang tak berharga kot hehe.. ^^ eh, taklah bukankah pengalaman itu kahzanah yang berharga..belajar dari pengalaman..yang baik jadikan tauladan dan yang buruk jadikan sempadan..tak gitu? ^_^


Ni pula antara kad yang masih tersimpan elok..it is pink ok!


benda ni yang dari dulu kononnya ana nak buang, tapi tak jugak terbuang2..haih.. dalam tu penuh dengan kata2..dapat masa birthday yg ke-17 kalau tak silap..mmg sweet 17.. abaikan..


Ok, dari nak mengemas tetiba terhenti sekejap sebab benda2 ni.. tapi takpa sekurang2nya ana sedar yang ada benda yang perlu disimpan dan ada yang tak...ana pun mulalah mengasingkan mengikut keperluan.. lepas tu nak buat apa?

jeng3....


Pegi belakang umah...hidup sini, kumpul sana.... siap.... tadaaa...
Nak buat apa pula dengan unggun api ni? lalalalala...~~ ^^

Salam ramadhan semua... moga hari2 seterusnya lebih baik daripada hari ini dan semalam... ^_^

“Barangsiapa yang hari ini dia lebih baik dari semalam, maka dia dari kalangan mereka yang beruntung. Barangsiapa yang hari ini dia sama seperti semalam, maka dia dari kalangan yang rugi. Barangsiapa yang hari ini dia, lebih teruk dari semalam, maka dia di kalangan orang yang celaka”

ummu_asrar


Tuesday, August 02, 2011

Suami Ideal

Ahmad tertarik hati dengan Anis, rakan sekolahnya yang lama. Dah berminggu-minggu dia interview kawan-kawan Anis untuk berkenalan ngan lebih rapat si gadis tu. Masha Allah, wajah, akhlaq, dan agamanya memang first class. Istikharahnya pun dah settle. Cuma nak seal the deal ja.

Ahmad dan bapa Anis (Ahmad panggil dia Pak Cik) di ruang tamu rumah Anis.

Pak Cik: Apsal ni Ahmad? Nampak gelisah je ni.

Ahmad: Saya sebenarnya ada hal penting nak bincang ngan Pak Cik. Ini berkaitan ngan Anis. Ada hajat yang nak disampaikan. Sebab tu gelisah sikit ni.

Muka Pak Cik berkerut sedikit. Tapi macam boleh agak saja apa yang Ahmad nak katakan.

Pak Cik: Ok, apa hajatnya?

Ahmad asyik dok urut-urut tangannya dan garu-garu tempat yang tak gatal. Tapi dia gagah. Ini tujuan yang mulia sekali. Dia pandang straight kat muka Pak Cik. Senyuman di bibir.

Ahmad: Saya datang ni nak meminang anak Pak Cik, Anis.

Pak Cik: (Gelak skit) Oh, itu ke hajatnya. Ahmad ni baru umur 20 tahun kan?

Ahmad: Ye Pak Cik.

Pak Cik: Dah bekerja dah ke?

Ahmad: Belum Pak Cik. Masih lagi belajar. Baru habis first year kat Australia.

Pak Cik: Australia? Wah, kayanya awak!

Ahmad: Eh, takde la Pak Cik. Alhamdulillah, saya dapat biasiswa. Kalau tak, memang tak mampu la nak ke sana.

Pak Cik: Nanti lepas belajar nak keja apa?

Ahmad: Well, saya minat Psychology Pak Cik. So, rasa macam nak jadi Psychiatrist or Counsellor la.

Pak Cik: Hmm...tak nak jadi doktor? Engineer ke?

Ahmad: Ramai jugak orang cadangkan saya jadi doktor. Saya memang minat Biology, cuma bukan ke arah medical la Pak Cik. Engineering tak minat sangat la Pak Cik. Kalau saya nak kerja, saya nak buat kerja yang saya suka. Sebab saya nak buat kerja tu seumur hidup. Kalau tak jadi Psychiatrist atau Counsellor pun, apa-apa yang berkaitan ngan Psychology pun jadik la.

Pak Cik: (Angguk-angguk) Kampung awak kat mana ek?

Ahmad: Kelantan, Pak Cik.

Pak Cik: Ish, jauh tu. Susah la time raya nanti.

Ahmad: Yang tu insha Allah boleh uruskan Pak Cik.

Sesi soal jawab ni berlarutan selama 30 minit. Macam-macam soalan ditanya. Sampai la satu tahap...

Pak Cik: Camni la Ahmad. Saya tau awak ni orang yang baik. Tapi, saya rasa awak bukan la suami ideal untuk Anis. Maaf la ye.

Ahmad: Pak Cik dah habis ke interview saya? Pak Cik belum tanya lagi pasal agama saya.

Pak Cik: Agama?

Ahmad: Saya datang ke sini mengharapkan Pak Cik menanya saya soalan-soalan untuk mengetahui sama ada saya ni ideal atau tidak sebagai suami Muslim. Tapi saya tak sangka pulak Pak Cik interested dengan berapa banyak duit saya ada dan dari mana saya lahir saja.

Pak Cik: Perkara tu sumanya penting untuk suami ideal.

Ahmad: (Senyum) Saya faham Pak Cik. Of course saya kena ada duit untuk support anak Pak Cik dan keluarga saya. Dan saya yakin kewangan saya cukup berdasarkan biasiswa saya. Lagipun, kalau tak silap anak Pak Cik pun ada biasiswa jugak. Insha Allah, itu akan memudahkan urusan. Tapi dari mana konsep ideal tu diambil Pak Cik?

Pak Cik: Masa saya nak kahwin mak si Anis, camni jugak la saya ditanya.

Ahmad: Tapi suma itu tidak sepenting agama. Pak Cik, apa yang saya harapkan ialah keluarga yang berdiri tegak dengan Islamnya. Itu bukanlah produk duit Pak Cik. Itu produk agama.

Keadaan genting seketika. Ego Pak Cik membuak kerana dileter orang yang lebih muda darinya. Ahmad dapat mengesan hakikat ni.

Ahmad: Pak Cik, percayalah bahawa saya hanya berniat baik. Memang patut seorang ayah inginkan suami yang terbaik untuk anak perempuannya. Cuma, terbaik dari segi apa itu Pak Cik? Pak Cik fokuslah kepada sama ada saya ini layak atau tidak untuk mendidik anak dan isteri untuk menjadi dekat dengan Allah. Berapa orang yang kaya di dunia ini tapi anak dan isterinya tidak dekat ngan Allah Pak Cik?

Tiba-tiba, isteri Pak Cik keluar ke ruang tamu membawa sedulang minuman, tanpa memakai tudung.

Pak Cik: ...

Anis tersenyum di dalam biliknya.

----------


Friday, July 22, 2011

Bangkit Generasiku! Say No to Jahiliyah!


Bismillahirrahmanirrahim... setelah lama belog berdebu kerana tidak di update, jari -jemari terasa rancak ingin berlari mencoret pengalaman/pemerhatian setelah bercuti selama hampir 3 minggu di bumi kelahiran.

Sepanjang 3 minggu ini, ana dan sahabiah2 kecintaan turun ke sekolah2 menengah di daerah tercinta membuka ruang perbincangan yakni usrah bersama adik2.  Betapa banyaknya hati-hati yang dahagakan tarbiyah yang perlu disentuh agar tumbuh subur menjadi tanaman berguna buat generasi seterusnya di daerah ini.

Balik sahaja dari usrah tadi ana mendapat satu mesej dari seorang adik usrah yang baru dikenali..

" Akak, adik tahu adik ni x baik.. perangai pun nakal, solat pun jarang.. tapi adik nak jadi baik kak..sebenarnya adik dah lama cari siapa2 yang sudi bantu adik, didik adik.. ;(  "

Terkesan di hati... betapa nakal pn insan ini, tetap saja di hati punya rasa untuk berubah jadi insan yg lebih baik...subhanaAllah...

Melihat kepada adik-adik hari ini, kita boleh sendiri membanding beza generasi dulu dan kini.  Betapa hari ini kita terlalu jauh dari nilai-nilai islam yang sebenar.

Generasi kegemilangan islam terdiri daripada para sahabat. Mereka satu generasi yang sangat ditakuti oleh golongan kafir. Iaitu generasi Rabbani di kalangan umat Islam.

Apa generasi Rabbani ini? Generasi Rabbani ialah generasi yang mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya. Firman Allah dalam surah Ali Imran,surah 3 ayat 79:
Tidak wajar bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Al Kitab, hikmah dan kenabian, lalu dia berkata kepada manusia: "Hendaklah kamu menjadi penyembah-penyembahku bukan penyembah Allah." Akan tetapi (dia berkata): "Hendaklah kamu menjadi orang-orang rabbani, karena kamu selalu mengajarkan Al Kitab dan disebabkan kamu tetap mempelajarinya.
Generasi inilah yg menyebabkan umat Islam hebat di suatu masa dahulu. Generasi para sahabat dan para tabiin dan tabi' tabiin..yang kini sudah semakin hilang.Mengapa generasi ini hilang? Ini semua adalah angkara kafir laknatullah. Mereka telah menjauhkan umat islam sekarang dengan menanamkan "penyakit berjangkit yang membawa maut" yang telah disabdakan oleh Rasulullah SAW yang akan menjangkiti umat akhir zaman, iaitu cintakan dunia dan takutkan mati.Mereka telah menanamkan penyakit ini dengan menggunakan teknologi-teknologi terkini dan pelbagai alat hiburan. tv, radio, internet dan media massa adalah antara alat-alat yang digunakan. Mereka memang ingin melenyapkan generasi ini sebagaimana firman Allah dalam surah ke-41 ayat ke-26:
Dan orang-orang yang kafir berkata. "Janganlah kamu mendengar dengan sungguh-sungguh akan Al Qur'an ini ; buatlah hiruk-pikuk terhadapnya, supaya kamu dapat mengalahkan (mereka).
Inilah yang menyebabkan umat islam sekarang lemah. Kalau dulu Islam sangat disanjungi, dihormati dan digeruni tetapi sekarang umat islam disembelih sesuka hati. dengan nafsu mereka sendiri. Dahulu para sahabat cintakan akhirat, sanggup mati demi agama untuk syahid mendapatkan syurga. Inilah yang menyebabkan mereka hebat. Hanya takut kepada Allah,terbalik dengan Umat islam sekarang.Umat islam sekarang, cinta dunia. Hidup mereka hanya untuk dunia. Takut untuk mati kerana takut kehilangan dunia yang kononnya indah di pandangam mata mereka. Kerana itu, mereka takut untuk menegakkan kebenaran, takut untuk mengamalkan sunnah, takut untuk mengamalkan islam yang sebenar. Mereka takut,jika mereka melakukan semua ini, mereka akan kehilangan harta,pangkat, pekerjaan dan juga rezeki.

Para ustaz dan ustazah takut untuk menegur kerajaan kerana takut dipecat, orang takut mengamalkan sunnah kerana takut digelar pengganas. Secara ringkasnya,mereka takut kepada manusia! Bukan Allah, pencipta manusia! Benar atau tidak? 

Sedarlah umat islam agama kita sekarang diperlekeh orang, mereka menghina nabi..membunuh rakyat palestin,iraq dan banyak lagi umat islam di serata dunia. Mereka disiksa dan dibunuh dengan kejam. Tetapi kita di sini hidup dengan aman tanpa sebarang tekanan. Bebas mengamalkan agama islam tercinta ini.Tetapi benarkah Islam di Malaysia ini selamat? 

Jika rakyat palestin dan iraq menentang dan mati, insyaAllah mati mereka mati syahid dan masuk syurga. Tetapi bayangkan jika kiamat tiba-tiba berlaku, apakah umat islam di Malaysia akan terselamat dan masuk syurga seperti mereka? Fikirkanlah…

Sekarang kalau kita keluar ke masyarakat, kita dapat lihat bermacam-macam gejala sosial dan maksiat yang berlaku. Yang lebih teruk, rata-ratanya berlaku di kalangan umat Islam kita ini sendiri. Maksiat dilakukan terang-terangan,tanpa segan silu, malah sebahagiannya berbangga dengan apa yang mereka lakukan. Langsung tidak berasa salah dengan apa yang dilakukan.Sekarang maksiat berleluasa. Sana-sini terdapat lelaki perempuan yang berkepit, berjalan-jalan di kompleks membeli-belah laksana suami isteri bahkan lebih dari itu. Yang berzina juga tidak kurangnya. Kelahiran anak luar nikah semakin banyak dan tidak terkawal. Apa hendak jadi dengan umat islam sekarang? Ini adalah salah satu tanda-tanda kiamat sudah hampir. Tidakkah kita sedar?

Kalau yang kita lihat sekarang adalah remaja Islam berpenyakit, maka bayangkan 5-7 tahun lagi, mereka ini akan menginjak dewasa! Ya,kita akan dikelilingi oleh mereka yang pada zaman remajanya pernah berzina, minum arak dan macam-macam lagi perkara yang tak terbayang dek "kepala otak" kita. Mereka ini akan bernikah, dan berkeluarga serta bekerja. Boleh bayangkan kita dikelilingi oleh masyarakat yang seperti ini? 


Saidina Umar Al-Khattab berkata "kalau nak lihat kekuatan sesebuah negara, lihatlah keadaan remajanya sekarang". Bagaimana remaja kita?

Kebanyakkan Umat Islam rata-ratanya bukan tidak tahu tentang pahala dan dosa. Mereka tahu tetapi buat-buat tak tahu kerana ingin melakukan apa yang disukai oleh hawa nafsu mereka. Allah berfirman dalam surah Aj-jasiah,surah ke 45 ayat ke 23,
"Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya dan Allah membiarkannya sesat dengan ilmu yang mereka ada. Dan Allah telah mengunci pendengaran dan hatinya serta meletakkan tutup atas penglihatannya. Maka siapakah yang mampu memberinya petunjuk setelah Allah membiarkannya sesat? Megapa Kamu tidak mengambil pengajaran?"
Lihat. Ayat Allah jelas,mereka bukan tidak berilmu, tetapi sengaja menuruti hawa nafsu. Lalu Allah sendiri MENYESATKAN mereka! Nauzubillah!Sedarlah saudara-saudara seislamku, ummat islam kini semakin teruk,sangat teruk. Mereka tidak lagi takut kepada dosa dan pahala. Tugas kita sebagai seorang muslim untuk mengingatkan mereka. Ini adalah untuk melepaskan kita daripada tanggungjawab kita kepada Allah. Sebagaimana firman Allah dalam surah Al-A'raf,surah ke-7 ayat ke-164.
Dan (ingatlah) ketika suatu umat di antara mrk berkata. "Mengapa kamu menasIhati kaum yg Allah akan membinasakan mereka atau mengazab mereka dengan azab yang amat keras?" Mereka menjawab. "Agar kami mempunyai alasan (pelepas tanggung jawab) kepada Tuhanmu; supaya mereka bertakwa".
Allah juga memerintahkan kita untuk sentiasa memberi peringatan kepada orang yang beriman
"Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman." (surah fussilat,surah ke-51 ayat ke 55).
Jadi, tugas kita untuk mengubah masyarakat, membina masyarakat, dan akhirnya meLahirkan kembali generasi rabbani. Imam Hassan Al-Hudhaibi pernah berkata:



"Tegakkanlah daulah islam di dadamu, nescaya ia akan tertegak di negaramu". Maksudnya, kalau kita nak kembalikan kegemilangan islam, pertamanya, tegakkan islam dalam diri kita dahulu. Kalau setiap orang telah tertegak islam di dadanya, sudah terbinalah negara islam.

Bukan susah pun. Apa yang perlu kita buat?

1. ubah diri sendiri, dalam masa yang sama. Bukan nanti
2. sedarkan kawan-kawan, keluarga dan orang yang hampir dengan kita
3. memilih pemimpin yang benar-benar mempraktikkan Islam dalam dirinya, keluarganya hatta dalam pemerintahannya.


Anda ada kuasa untuk menukar pemimpin? Ada. Tunaikan kewajipan kita pada PRU-13 nanti. Pakat pilih pemimpin yang beriman, bertaqwa, isteri dan keluarganya menutup aurat dan mengamalkan Islam sepenuhnya serta boleh menjadi imam bukan setakat di masjid malah dalam segenap sudut.


Salam perubahan!


Thursday, June 30, 2011

Kepekaan Jiwa Seorang Da'ie

"Sekiranya kita melihat keadaan ummat Islam hari ini dengan kacamata Iman tentu kita akan menangisinya. Hari demi hari luka-luka baru menjaluri tubuh ummat ini sedang luka-luka semalam belum menampakkan tanda-tanda akan sembuh. Musuh-musuh Islam terus menerus melancarkan gerakan untuk menghapuskan atau setidak-tidaknya menghina ummat ini dengan sehina-hinanya. Sedangkan pemuda-pemudanya yang menjadi modal dan harapan kebangkitan semula ummat ini masih terlena. terlena dengan irama dan lagu yang dihidangkan oleh musuh-musuh Islam hingga melumpuhkan semangat dan daya juang mereka...hinggakan 'Kemahuan' yang menjadi asas kebangkitan turut terpadam bersama menungan dan lena yang panjang."

waterfront, Bintulu
Da’ie diharapkan memiliki darjah kepekaan yang sangat tinggi dalam menyerap kepentingan, hajat dan keinginan masyarakat, terutamanya keinginan kepada keamanan dan keimanan yang kadang-kadang berlaku di luar kesedaran mereka.

Syed Qutb pernah membayangkan dirinya berada di atas bukit yang tinggi dan membayangkan masyarakat sebagai kanak-kanak yang bermain dengan pisau tajam yang akan memudharatkan diri mereka sendiri.

Abbas Assisi pernah suatu hari menangis melihat ummat yang rosak dan ketika itu Imam Hassan Al Banna mengatakan padanya “Sekarang baru kamu faham makna dakwah”.

Kepekaan ini akan menggerakkan jiwa dari terus berehat. Seorang Da’ie yang peka terhadap permasalahan ummat akan merasai kepedihan dari jaluran pada luka-luka di tubuh ummat. Jiwanya gelisah dan tidak dapat memejamkan matanya ketika orang lain sedang nyenyak diulit mimpi. Apa tidaknya, setiap hari luka-luka baru menjaluri tubuh ummat sedangkan luka-luka semalam masih belum sembuh. Hati-hati ummat semakin hilang kepekaan dan sensitivitinya kepada tuntutan keimanan sedang kebendaan terus mengembalai mereka dengan penuh keangkuhan dan kezaliman.

Kepekaan ini menjadikan jiwanya bergantung penuh pada rahmat dan kekuasaan Allah, munajat mengiringi pagi dan petangnya manakala malamnya adalah saat-saatnya tersimpuh dengan penuh tawadhu’ memohon pengampunan dan kekuatan Ilahi. Kepekaan ini memancarkan satu sumber kekuatan yang menjalar melalui urat sarafnya dan berdenyut senada dengan degupan jantungnya hinggakan segala permasalahan duniawi dipandang enteng dan sedikitpun tidak mampu menghentikan langkah-langkah perjuangannya.

Umar bin al-Khattab RA selalu berjalan di malam gelap-gelita memeriksa keadaan rakyatnya. Apa yang terjadi di tengah kehidupan mereka, apa yang muncul daripada benak mereka, apa yang menjadi perbincangan utama di tengah rakyatnya. Hatinya selalu terpaut dengan hati rakyatnya, fikirannya sentiasa terkuras untuk meringankan kepedihan hati mereka. Nuraninya berusaha memberikan jalan terang bagi kegelapan rakyatnya. Umarlah yang memikul sendiri makanan untuk ibu tua miskin di malam hari. Umarlah yang merasa gelisah jika melihat orang bawahannya melakukan kesalahan dengan menggunakan kemudahan jawatan yang dia miliki. Nuraninya hidup memancar menebarkan rahmat bagi semesta.

Kepekaan Rasulullah SAW sendiri dilukiskan oleh Al-Quran dalam firman Allah berikut, “Sungguh telah datang kepadamu seorang rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaan yang kamu alami, (dia) sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, penyantun dan penyayang terhadap orang-orang yang beriman”. (At-Taubah:128)

Rasulullah SAW pernah suatu hari solat dalam keadaan tubuh badannya mengeluarkan bunyi geretu tulang-tulangnya, menyebabkan sahabat-sahabat lain gelisah. Selesai saja Solat, Saidina Umar terus bertanya “Ya Rasulullah SAW, adakah engkau sakit?” Jawab baginda “Tidak”. Saidina Umar bertanya lagi “Kenapa kami mendengar tulang-tulang kamu berbunyi begitu dan engkau bergerak dalam keadaan payah” Rasulullah SAW lalu mengangkat bajunya dan ditunjukkan ketul-ketul batul yang diikatkan diperutnya. Umar dengan penuh kesedihan berkata “Ya Rasulullah, adakah sekiranya kamu meminta kepada kami, kami tidak akan penuhi permintaanmu?” Jawab baginda “Bahkan kamu akan penuhi apa saja permintaan ku tetapi aku takut di Akhirat nanti aku dipersalahkan kerana membebani ummatku.” 

Kepekaan harus menjadi sebahagian daripada nafas kepedulian kita, dari darah budaya kerja kita dan dari degup jantung kita. Keperihatinan yang menjadi pancaran dari untaian indah keimanan kita, bahawa “barangsiapa yang tidak peduli dengan urusan orang mukmin yang lain, maka dia bukan sebahagian daripada mereka”. Kepekaan akan menjadi sumsum yang menguatkan makna tarbiyah kita dan akan menjadi darah yang melincahkan gerak tarbiyah dan dakwah kita!



Friday, June 17, 2011

Dirimu Bukan Perempuan Biasa



Ramai orang berbicara tentang perjuangan, alunan nasyid yang berkisar perjuangan juga terlalu banyak di pasaran, terkadang ada juga yang mengakui dirinya adalah seorang pejuang yang berjuang untuk sebuah perjuangan, namun apabila ditanya apakah makna perjuangan yang sebenarnya? Pasti di sana pelbagai jawapan yang bakal muncul dari bibir-bibir manis mereka yang menggelarkan diri seorang pejuang.

Pejuang adalah seorang yang memperjuangkan sesuatu yang ingin dicapai ataupun mempertahankan sesuatu yang dimiliki, matlamat yang ingin dibawa bergantung kepada apa yang ingin diperjuangkan samada matlamatnya bersifat individu ataupun demi kemaslahatan bersama. Begitulah pentaarifan umum yang seringkali kita dengari.

Hadirnya Islam membawa erti perjuangan ini dengan lebih jelas, pembawa risalah Islam baginda Rasulullah S.A.W telah mempamerkan kepada umatnya perihal perjuangan yang diperjuangkan oleh baginda dalam membawa risalah ISLAM ini ke seluruh pelusuk muka bumi. Perjuangan yang membawa manusia mengenali penciptanya dan perjuangan yang membawa manusia ke arah mencapai keredhaan Ilahi. Inilah matlamat perjuangan yang sebenarnya diinginkan, menjadi pewaris kepada perjuangan yang di bawa oleh baginda S.A.W serta meneruskannya dengan taat dan penuh istiqamah.

Seringkali kedengaran di sebalik sebuah perjuangan yang dibawa oleh satu gagasan pasti mempunyai golongan wanita yang menjadi obor kepada perjuangan tersebut. Begitu juga dengan perjuangan Islam, sekiranya disingkapi sejarah kebangkitan Islam, pasti ditemui nama-nama srikandi Islam yang turut sama memperjuangkan RISALAH ini. Benarlah firman Allah Taala dalam surah at-Taubah ayat 71:

dan orang-orang Yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi Penolong bagi setengahnya Yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

SEJARAH KEGEMILANGAN SRIKANDI

Tercatit dalam lipatan sejarah yang telah membuktikan bahawa penglibatan muslimat dalam perjuangan Islam bukanlah suatu perkara yang baru, bahkan kejayaan, kemenangan dan keunggulan kaum muslimat menjadi sayap kanan perjuangan Islam telah berjaya dibuktikan. Peranan Muslimat di kalangan kaum wanita adalah penting dalam usaha menyeru ke arah kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran. Keterlibatan kaum muslimat dalam medan perjuangan ini mampu diseimbangkan antara dua genetik lelaki dan perempuan dalam mencapai tujuan dan matlamat yang sama tanpa ada perbezaan.

Di awal kebangkitan islam kaum muslimat telah muncul di dalam membantu perjuangan Rasulullah S.A.W, satu kisah yang cukup menarik untuk dikongsi bersama. Kisah seorang srikandi Islam yang kian dilupai dek zaman yang telah berlalu sehingga meninggalkan sejarah berharga ini.

Nusaibah binti Ka’ab atau lebih dikenali sebagai Ummu Umarah merupakan seorang pejuang yang teguh berdiri tatkala ramai yang berundur, beliau juga merupakan seorang ibu yang mengarahkan anaknya di kala cedera parah agar kembali menyertai saf peperangan Uhud tatkala sedang sengit, malah bersedia menggadaikan nyawanya demi menyelamatkan Rasulullah SAW. Sebagai balasan, beliau dijanjikan oleh Rasulullah S.A.W menjadi teman baginda ketika di syurga kelak.

Beliaulah muslimat pertama yang menyertai pasukan perang Islam, menghadapi musuh-musuh Allah dengan keberanian yang cukup kental, Serangan bertubi-tubi oleh musuh membuatkan tubuh Nusaibah terluka dan berlumuran darah hinggakan beliau tidak sedarkan diri. Disaat sedarkan diri perkataan pertama yang keluar dari mulutnya adalah, “di mana Rasulullah?” “Apakah engkau tidak sedar bawah lukamu sangat parah, darahmu terus mengalir tanpa henti,tenagamu telah habis, anakmu yang makin dewasa, mengapa kau menanyakan Rasulullah?” Nusaibah menjawab. “Mereka bukanlah Nabi Muhammad, meraka bukan yang membawa risalah Islam. Sesungguhnya aku berperang kerananya dan aku sedia mati kerananya (risalah islam).” Khabar tentang selamatnya Rasulullah telah mengembalikan semangat ke dalam dirinya sehingga mampu membuatkan dirinya terlupa akan luka yang menghiris dirinya.

Demikianlah keberanian yang terlihat dalam diri Ummu Umarah yang telah mengibarkan panji-panji Islam. Beliau berusaha sehabis dayanya untuk melindungi dan membela Rasulullah S.A.W. Ummu Umarah telah berjuang dan manghadapi 12 kesan luka pada tubuhnya. Beliau juga merupakan seorang ibu yang memberikan perhatian yang serius kepada anak-anaknya, Habib dan Abdullah. Sehinggakan mampu memenuhi hati mereka dengan keimanan, jiwanya dengan keberanian dan fiziknya dengan kekuatan.

Kita kembali ke dunia realiti hari ini, masih wujudkah muslimat sekental Nusaibah? Penuh dengan semangat dan keberanian, serta mampu membentuk keluarga dan anak-anak menjadi pejuang islam. Inilah antara ikon muslimat yang kita inginkan, hanya muslimat yang meletakkan perjuangan dalam minda mereka mampu mengulangi sejarah srikandi agung ini. Andai minda sudah mengatakan tidak kepada sebuah perjuangan, jangan diharap diri mampu menggalas amanah besar ini.

Lantaran itu kebangkitan muslimat hari ini perlu disemarakkan bagi mengulangi sejarah kegemilangan yang pernah menjadi sinar-sinar dalam kebangkitan Islam suatu ketika dahulu. Minda muslimat pejuang sama sekali tidak boleh memisahkan dirinya daripada dunia dakwah. Cabaran masa kini sudah tidak dapat menerima sebarang alasan untuk membiarkan sahaja golongan muslimat berkawan dengan periuk dan kuali sahaja di saat anak-anak gadis remaja kian menjadi taruhan kepada ideology barat sehingga menggadaikan maruah serta memaksa mereka memberontak untuk melawan nalurinya, lantas melangkah keluar dari batasan syariat, hasilnya golongan wanita menjadi mangsa penganiayaan, wanita diperalatkan untuk mencari nafkah, wanita diexplotasi demi mencapai keseronokan yang haram atau mendapat pendapatan yang haram. Kita tidak inginkan minda muslimat hanya memandang medan perjuangan hanya berlegar di dalam keluarga, sehingga mengenepikan persoalan ummah yang kian meruncing.

Jika Nusaibah sanggup mempertaruhkan nyawanya demi kelangsungan Islam, adakah kita juga sanggup? Adakah sejarah pengorbanan Nusaibah hanya sekadar lintasan sejarah? Apakah bezanya kita dengan Nusaibah sehingga kebanyakan daripada kita sering memberi alasan untuk berkorban demi Islam? Nusaibah adalah wanita biasa, sama seperti kita. Yang membezakan antara kita dan Nusaibah adalah keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wa Taala. Adakah mustahil untuk kita memiliki iman sehebat Nusaibah? Tidak wahai muslimat, semua itu tidak mustahil! Setiap daripada kita berpeluang beriman kepada Allah sehebat Nusaibah dan tidak mustahil untuk menjadi lebih hebat daripada Nusaibah.

dan di antara manusia ada Yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata; dan Allah pula amat belas-kasihan akan hamba-hambanya.

Bangkitlah muslimat dalam menyedari masyarakat islam tidak mungkin akan terbina dan terbentuk jika golongan wanitanya tidak memahami islam, tidak mengamalkan islam dalam kehidupannya, tidak berdakwah ke jalan islam, tidak melahirkan generasi pejuang islam,tidak mengasuh anak-anak dengan adunan perjuangan yang hakiki dan tidak menyokong suaminya agar menerapkan islam. Kerana itulah banyakknya tuntuntan yang menuntut peranan dan pengorbananmu wahai srikandi islam.


Sunday, June 05, 2011

Musafir Belajar Dari Jalan:Ibrah Bersama Mereka

miri, 2011 
Allah berfirman; “Dan bertawakallah kepada Allah Yang hidup, Yang tidak mati, & bertasbihlah dengan memujiNya. Dan cukuplah Dia Mengetahui dosa para hambaNya.” [surah al-Furqan (25): ayat 58]
Perancangan untuk ke Miri secara tiba2..pada asalnya berniat hendak terbang ke Shah Alam, tapi saat akhir terpaksa dibatalkn atas beberapa kekangan.  Akhirnya ana bersetuju utk ikut bersama rakan2 coursemate utk ke Miri.. ^_^ uhu...

Musafir di perjalanan... ^_^ Kala ini bukanlah ana dalam perjalanan bersama sahabiah sefikrah mahupun dengan usroti yang ana rindui..tapi, mungkin ini salah satu jalan dakwah yg perlu ana tempuhi.. terlalu bnyk ibrah yang ana belajar sepanjang bersama mereka.. ya...tidak selalunya kita akan berada dalam zon selesa biah solehah...

Seawal pukul 8 pagi kami bertolak dari UPM bintulu ke miri.  Asalnya mengikut tentatif yg d buat oleh s/u tidak berdaftar ^^ kami akan terus ke penginapan, tp di pertengahan jln segalanya berubah.  Secara tiba2 usul utk ke Gua Niah dicadangkan.  Suara majoriti bersetuju.  Ana senyum saja sebabnya menurut mereka kami hanya akan masuk ke entrance sahaja, bukan ke gua itu.



Sampai je dekat entrance utk ke gua niah tu, nasib terjumpa lak dengan dua orang budak lelaki coursemate kami yang kononnya tidak mahu ke miri, tp berjumpa pula disana.  (Trip ke Miri semua perempuan ^_*).  Bila dah jumpa bdk dua org ni, diorg ajak pula masuk ke dlm gua niah tu.  Perjalanan merentasi hutan belukar (bunyi mcm lah scary sgt) sejauh 3 km, means ulang alik 6 km.  Semua kwn2 ana excited nak pegi masuk dalam gua niah tu.  Memandangkan semua nak, ana pun ikut setuju jelah walaupun......

"Eh, asrar ok ke? nak masuk dlm tu dengan pakai tu?" sorang bdk laki tu tegur sambil tunding jari ke arah pakaian ana.. ye..ana bertudung labuh dan berkain serta bersandal... ^_^

"ok jer..insyaAllah" ana jwb sambil senyum..dalam hati, jap lagi kalau sandal ni putus..emm.. tawakal jer lah.. sedangkan para srikandi di zaman Rasulullah boleh ikut berperang, pastinya merentasi laluan ke gua niah itu pun boleh ana lalui...cewaahh..^^

Sebelum memulakan perjalanan kitorg solat dulu.  Memandangkn dalam surau tu kami semua muslimat, jadinya kitorang solat berjemaah berimamkan ana sendiri.  Usai solat kitorang terus bergerak ke bot yang setia menanti.  Untuk ke sana mulanya kena naik bot dulu, utk ke seberang..



Lepas tu bermulalah perjalanan menuju gua niah....









Sepanjang perjalanan kat sini, mostly org yg berselisih dengan ana akan pandang ana dgn pandangan yang agak pelik.  Ana dengan rakan sebelah ana senyum saja.. ana faham dgn pandangan itu...pastinya pakaian ana..emm.. ^_^ senyum xperlu kata apa-apa..



Akhirnya sampai jugak dalam gua tu..masuk jer subhanaAllah... baru terbuka minda..macam tu rupanya gua..selama ni igt gua mcm terowong kecik2 tu...heee... ^^



manusia zaman paleolitik? ^^









Agak excited...walaupun penat..ehe... tp sandal masih bertahan..xputus..^^ abes je jelajah dalam gua ni..kitorang pun keluar...kembali meneruskan perjalanan ke miri...

Sampai kat miri kitorang gi Marina Bay... cantik, subhanaAllah...especially masa tengok sunset... sungguh indah ciptaanNya... ^_^


cantik kan.... ^_^ subhanaAllah... 



*lalu apa destinasi terakhirmu? syurga atau neraka..Bagaimana dengan mujahadahmu dalam melawan nafsu yang terbentang luas di seluruh kehidupan untuk mendapatkan sesuatu yang kekal di alam akhirat kelak?
Jika memilih syurga,persiapkan dirimu dengan jalan taqwa,andai tidak berhati-hati.tentu sahaja terjerumus ke lembah hitam penuh nista..*



 * Bermusafir itu membuka mata untuk lebih menghayati kebesaranNya..bha kan juga mendidik jiwa untuk bersabar dan tabah menghadapi mehnah perjalanan...bermusafir untuk mentafsir alam.. *


Peganglah satu saja, tidak kira walau di mana jua kita berada, tetaplah utamakan Allah dalam apa jua perkara. Sesungguhnya bernafas sesaat pun kita di duniaNya ini adalah semata-mata atas keizinanNya. Maka, pulangkanlah semua niat & perbuatan kita lillahi taala cuma. Mudah-mudahan, insyaAllah.



Hidup ini bukan cuma untuk dunia, bahkan semuanya adalah untuk dijadikan bekalan bagi menuju akhirat yang abadi. Pandanglah, lihatlah, dengarlah & rasailah dari sudut yang Allah sukai & menjadikan diri ini lebih Dia cintai, insyaAllah...

^_^
Dan malam tu terasa tersangatlah penat... kaki ana pun dah rasa kejang semacam... terpikir lepas ni boleh buat jungle tracking dgn sahabat/iah pula mungkin lebih jauh daripada 6 km? ^^ sambil tadabbur alam...juga sebagai tarbiyah jasadiyah...

sweer memories... ^^  

moga hati-hati ini satu hari nanti akan bersinar dengan sinaran hidayah-Mu.. hati-hati yang bertaut atas tautan aqidah... menjadi pembela agamuMu di satu hari nanti...

Ibrah perjalanan, ingatlah, walau apa jua warna rambut, kulit, singkat atau labuh pakaian mahupun tudung, longgar ataupun ketat kain yang membaluti tubuh, kita masih sujud pada kiblat yang sama, menyembah Allah yang Esa serta mempertahankan kalam syahadah yang agung itu. Maka, jangan sesekali berburuk sangka sesama sendiri & jangan lupa mendoakan agar dapat kita sama-sama berjumpa & berkumpul lagi dalam syurgaNya kelak. insyaAllah. 

Sesungguhnya pandangan & perkiraan Allah terhadap para hambaNya bukanlah bersandarkan penampilan luaran bahkan semuanya tergantung pada ketakwaan kita kepadaNya. Tiada siapa yang boleh menafsir, menilai & mengetahui siapa yang baik mahupun buruk dalam kalangan kita melainkan Allah sahaja. Maka, selalulah merendahkan diri, bertaubat & kembalilah kepadaNya.

Keep on working! Keep on learning & keep on travelling. Masih jauh perjalanan ini, masih banyak yang belum & harus diterokai. Keluarlah dari ‘kepompong’mu yang selesa itu...

wallahualam....


Saturday, June 04, 2011

Di mana DIA di hatiku?

Gua Niah, Miri 2011

Semasa Rasulullah s.a.w. dan Saidina Abu Bakar bersembunyi di Gua Thur, dalam perjalanan hendak berhijrah ke Madinah, musuh-musuh Islam sudah berdiri di hadapan pintu gua dan hampir menemui mereka.

Ketika Saidina Abu Bakar cemas, Rasulullah s.a.w. menenangkannya dengan berkata, "Jangan takut, ALLAH bersama kita."

Itulah kehebatan Rasulullah, ALLAH sentiasa di hatinya.

Ketika di ambang maut?

Sewaktu Da'thur, seorang tentera musuh menyerang hendap Rasulullah s.a.w. lalu meletakkan pedang di leher baginda dan bertanya, "Siapakah akan menyelamatkan kamu daripadaku?"

Jawab Rasulullah penuh yakin, "ALLAH."

Mendengar jawapan itu, gementarlah Da'thur dan terlepaslah pedang daripada tangannya. Itulah kehebatan Rasulullah... sentiasa ada DIA di hati baginda.

Ketika tiada siapa mengetahui?

Diceritakan juga bahawa pada suatu ketika Khalifah Umar Al-Khattab ingin menguji seorang budak gembala kambing di sebuah padang pasir. "Boleh kau jualkan kepadaku seekor daripada kambing-kambing yang banyak ini?"

"Maaf tuan, tidak boleh. Kambing ini bukan saya yang punya. Ia milik tuan saya. Saya hanya diamanahkan untuk menjaganya sahaja."

"Kambing ini terlalu banyak dan tidak ada sesiapa selain aku dan kamu di sini. Jika kau jualkan seekor kepadaku dan kau katakan kepada tuanmu bahawa kambing itu telah dimakan oleh serigala, tuanmu tidak akan mengetahuinya," desak Saidina Umar lagi, sengaja menguji.

"Kalau begitu, di mana ALLAH?" ujar budak itu.

Saidina Umar terdiam dan kagum dengan keimanan yang tinggi di dalam hati anak kecil itu. Walaupun hanya seorang gembala kambing yakni pekerja bawahan, tetapi dengan kejujuran dan keimanannya, dia punya kedudukan yang tinggi di sisiALLAH. Jelas ada DIA di hatinya.

Ketika kamu tiada jawatan?

Satu ketika yang lain, Saidina Khalid Al-Walid diturunkan pangkatnya daripada seorang jeneral menjadi seorang askar biasa oleh Khalifah Umar. Keesokannya, Saidina Khalid tetap ke medan perang dengan semangat yang sama. Tidak terjejas sedikit pun perasaan dan semangat jihadnya walaupun telah diturunkan pangkat.

Ketika ditanya mengapa, Saidina Khalid menjawab, "Aku berjuang bukan kerana Umar." Ya, Saidina Khalid berjuang kerana ALLAH. Ada DIA di hatinya.

Lalu, di mana Dia dihati kita?

Melihat anekdot-anekdot itu, aku terkesima lalu bertanya kepada diri, di manakah DIA dalam hatiku?

Apakah ALLAH sentiasa menjadi pergantungan harapan dan tempat merujuk serta membujuk hatiku yang rawan?

ALLAH ciptakan manusia hanya dengan satu hati. Di sanalah sewajarnya cinta ALLAH bersemi. Jika cinta ALLAH yang bersinar, sirnalah segala cinta yang lain. Tetapi jika sebaliknya, cinta selain-NYA yang ada di situ, maka cinta ALLAH akan terpinggir. Ketika itu, tiada DIA di hatiku!

Sering diri ini berbicara sendiri, bersendikan sedikit ilmu dan didikan daripada guru-guru dalam hidupku, kata mereka;

"Bila ALLAH ada di hatimu, kau seolah-olah memiliki segala-galanya. Itulah kekayaan, ketenangan dan kebahagiaan yang hakiki."

Kata-kata itu sangat menghantui diriku. Ia menyebabkan aku berfikir, merenung dan bermenung, apakah ALLAH menjadi tumpuan dalam hidupku?

Apakah yang aku fikir, rasa, lakukan dan laksanakan sentiasa merujuk kepada-NYA?

Bila bertembung antara kehendak-NYA dengan kehendakku, kehendak siapa yang aku dahulukan? Sanggupkah aku menyayangi hanya kerana-NYA? Tegakah aku membenci juga kerana-NYA?

Muhasabah ini melebar lagi. Lalu aku tanyakan pada diri, bagaimana sikapku terhadap hukum-hakam-MU?

Sudahkah aku melawan hawa nafsu untuk patuh dan melakukan segala yang wajib sekalipun perit dan sakit ketika melaksanakannya? Sudahkah aku meninggalkan segala yang haram walaupun kelihatan indah dan seronok ketika ingin melakukannya?

Soalan-soalan ini sesungguhnya telah menimbulkan lebih banyak persoalan. Bukan akal yang menjawabnya, tetapi rasa hati yang amat dalam. Aku tidak dapat mendustai-MU, ya ALLAH.

Dan aku juga tidak dapat mendustai diri sendiri

Aku teringat bagaimana suatu ketika seorang sufi diajukan orang dengan satu soalan, "Apakah engkau takutkan ALLAH?"

Dia menangis dan menjawab, "Aku serba salah untuk menjawab ya atau tidak. Jika aku katakan tidak, aku akan menjadi seorang yang kufur. Sebaliknya kalau aku katakan ya, aku terasa menjadi seorang munafik. Sikapku amat berbeza dengan kata-kata. Orang yang takutkan ALLAH bergetar hatinya bila mendengar ayat-ayat ALLAH tapi aku tidak..."

Maksudnya, jika seorang sufi yang hatinya begitu hampir dengan ALLAH pun sukar bila ditanyakan apakah ada DIA di hatinya, lebih-lebih lagilah aku yang hina dan berdosa ini.

Di hatiku masih ada dua cinta yang bergolak dan berbolak-balik. Antara cinta ALLAH dan cinta dunia sedang berperang dengan begitu hebat dan dahsyat sekali.

Kalau kau tanyakan aku, "Adakah DIA di hatimu?"

Aku hanya mampu menjawab, "Aku seorang insan yang sedang bermujahadah agar ada DIA di hatiku. Aku belum sampai ke tahap mencintai-NYA tetapi aku yakin aku telah memulakan langkah untuk mencintai-NYA."

Justeru, kerana belum ada DIA di hatiku, hidupku belum bahagia, belum tenang, dan belum sejahtera. Aku akan terus mencari. Aku yakin ALLAH itu dekat, pintu keampunan-NYA lebih luas daripada pintu kemurkaan-NYA.

Selangkah aku mendekat, seribu langkah DIA merapat. Dan akhirnya... aku yakin... suatu saat nanti, akan ada DIA di hatiku dan di hatimu jua.

Dan kita akan terus mengemis kasih...


~Taujihad Srikandi~

Wahai Srikandi :-

" takhallikan dirimu dari terjerumus ke lembah noda serta sikap bermain-main dengan perjuangan.. tahallikan dirimu dengan sifat sebenar seorang wanita yang hidup dengan perjuangan, pengorbanan serta jihad dan kefahaman juga dambaan syahid "