Thursday, January 06, 2011

Selamanya Milik-Mu #2

Untuk Selamanya Milik-Mu bahagian#1 klik sini

Amir Furqan: Aku mengenali makna dakwah dan perjuangan kerana hidayah dariMu ya Rabb melalui dia sebagai wasilah.  Aku mungkin seorang mujahid dengan silam yang kelam tetapi apakah tidak layak bagiku mengimpikan dia sebagai sayap kiri perjuanganku? Ketahuilah diam dan sikap tegasmu meresahkanku..


Amir Furqan yang baru sahaja kembali dari program yang di hadirinya selama tiga hari lepas terbaring lesu dikatil biliknya. Program itu banyak mengerahkan tenaganya sebagai pengarah program. Itulah rutinnya di waktu cuti. Kerja-kerja tarbiyah memerlukan dia membahagikan masa luangnya sebaik mungkin. Dia merenung siling sambil menyilangkan kedua tangan dibalik kepalanya. 

Dia mula mengenali erti tarbiyah sewaktu menuntut di matrikulasi. Kisah lalunya cukup pahit untuk dikenang. Betapa jahilnya dirinya sebelum mengenal tarbiyahNya. Hatinya penuh dengan bintik dan noda hitam yang pastinya menghalang nur hidayah itu meresap ke dalam jiwanya. Takdir Allah tiada siapa mampu menduga. Perkenalannya dengan seorang mahasiswa kampus luar merubah segalanya. Mahasiswa yang dikenali sebagai akhi Baihaqi tersebut menariknya masuk ke usrah yang dipimpin oleh akhi itu sendiri. Akhi Baihaqi naqib yang cukup bijak mengikat hati orang-orang di bawah tarbiyahnya. Kepimpinannya cukup di kagumi oleh Amir Furqan dan kerana itulah dia mahu menjadi sehebat naqibnya itu. 

Seraya fikirannya melayang ke seraut wajah gadis yang dikenalinya semasa menuntut di matrikulasi. Asrar Insyirah. Sebaris nama yang cukup menggetarkan jiwa lelakinya. Gadis bertudung labuh dan berjubah itu menjadi rebutan di antara beberapa rakan lelakinya. Seorang gadis yang sempurna dimatanya mempunyai tarikan tersendiri dan menyejukkan hati bagi sesiapa yang memandang. Timbalan Pengerusi daripada salah satu organisasi besar di matrikulasi pada masa itu itu sangat menambat hati. Tapi sayang hati gadis itu terlalu sukar dimiliki. Bahkan juga sukar didekati. Sehingga kini luahan cintanya masih tidak berbalas walaupun sudah berkali-kali dia merayu. Hatinya terlalu tegar. Fikiran Amir Furqan berkecamuk tiba-tiba. Betapa dia cukup merasa terseksa dengan penantian itu. Asrar Insyirah seolah-olah langsung tidak mahu membuka hatinya walau sedikit pun. Itulah yang membuatkan jiwanya memberontak. Handset di tangan di tekan pantas. 

“Assalamualaikum ukhti. Ana mohon berilah ana jawapan yang pasti. Cukuplah, jangan diseksa lagi hati ini. Ukhti sendiri tahu ana ikhlas mahu mendapatkan enti. Fahamilah hati ana ini.” 

Butang send di tekan. Harapannya tinggi menggunung mengharap mesej kali ini mendapat balasan dari Asrar Insyirah. Amir Furqan menanti dengan penuh debaran. Membayangkan segala kemungkinan balasan dari gadis pujaannya itu. Sama ada dia mendapat reaksi positif ataupun penolakan yang bakal menghancur leburkan impiannya untuk memiliki sekeping hati Asrar Insyirah. Beberapa minit berlalu, handsetnya sepi tanpa sebarang isyarat mesej mahupun panggilan. Dia menanti lagi. ‘Mungkin Asrar sibuk dan pasti membalas mesej aku sebentar sahaja lagi’ desis Furqan cuba menyedapkan hati sendiri. Tetapi harapan tinggal harapan, Asrar Insyirah, gadis itu tetap dengan caranya. ‘Argggh!’, jerit hati kecilnya. Dan untuk kesekian kalinya hati lelaki itu kecewa lagi. 

Mesyuarat Persatuan Badan Dakwah dan Kerohanian petang itu hanya di hadiri oleh beberapa orang pimpinan sahaja. Masing-masing punya aulawiyat yang tersendiri. Selagi mana bergelar pelajar dan aktivis dakwah di kampus tidak akan lari daripada terpaksa membuat pilihan mengikut keutamaan urusan tersebut. Amir Furqan yang memegang Lajnah Tarbiyah dan Kepimpinan ligat membentangkan laporan terbaru gerak kerja lajnah tersebut. 

“dua bulan sahaja lagi semester baru akan bermula. Bermakna adanya kemasukan pelajar baru Tahun Satu ke kampus kita. Untuk itu lajnah Tarbiyah dan Kepimpinan akan bergerak untuk mengesan pelajar yang berpotensi untuk diserap masuk ke dalam persatuan ini. Ana sendiri yang akan bahagikan tugas kepada setiap ahli.” Ringkas penerangan Amir Furqan berkenaan gerak tugas yang bakal dilaksanakan sempena Minggu Pengurusan Pelajar Baru kelak. Sesekali matanya memerhati bahagian pimpinan muslimat. Ada seseorang yang tidak ada di situ. Timbalan Pengerusi persatuan itu Aishah Humairah tidak kelihatan. ‘Kenapa tak datang?sakit kah dia?’ Furqan bertanya sendiri. Aishah Humairah merupakan pelajar Tahun Akhir jurusan Kejuruteraan Elektronik di kampusnya. Hubungan mereka sedikit rapat kerana Furqan banyak meluahkan masalahnya kepada Aishah tidak kira dari segi gerak kerja mahupun hal peribadi terutama berkaitan dengan Asrar Insyirah.

 Usai meeting petang itu Furqan bergegas balik ke bilik. Yahoo Messenger dibuka. Tertera nama Aishah Humairah berstatus online. 

Amir Furqan: assalamualaikum ukhti.. maaf mengganggu. Sekadar bertanya mengapa tidak hadir ke liqa’ hari ni?kurang sihat ke? 

Aishah Humairah: wa’alaikumsalam.. ana sedikit demam, tadi ke klinik. Ana sudah maklumkan kepada mas’ul sebelum ke klinik ana tak dapat hadir untuk liqa’. 

Amir Furqan: Syafakillah ya ukhti.. oklah,ana ada hal..assalamualaikum.. 

Aishah Humairah: syukran atas doanya..wa’alaikumsalam.. 

Butang sign out ditekan. Furqan bersandar di kerusi sambil merenung kosong ke skrin laptop nya. Aishah Humairah yang layak dipanggil kakak itu banyak mengetahui rahsia hatinya terhadap Asrar Insyirah. Dia pernah memberikan emel Asrar kepada Aishah atas permintaannya agar Aishah boleh dijadikan perantaraan untuk meluahkan segala yang terbuku di hati. Apa yang diketahuinya Asrar menyambut baik salam perkenalan yang dihulur Aishah. Sesama akhowat itu sebabnya. Kalau ikhwan yang menghulur salam itu sudah pasti dipandang sepi oleh Asrar. Gadis yang berhati batu! 

**********************************************************************************



Asrar melangkah perlahan menuruni anak tangga dari apartmentnya menuju ke surau. Dia sudah berjanji mahu mengadakan usrah ataupun lebih dikenali sebagai smart circle di kalangan akhowatnya petang itu. Rindunya terhadap akhowatnya Layyinul Nadrah, Dirah Humairah, Munirah, Syamimi dan Syuhada membuak-buak. Dua lagi akhowatnya iaitu Fatma dan Digma Ashikin berada di luar kampus kerana posting mereka di Tahun ke Tiga Perubatan. Langkahnya dipercepatkan tidak sabar rasanya mahu menemui kekasih-kekasih hatinya itu ingin bermadah puisi cinta bersama mereka dengan hati yang sarat dengan mahabbah dan mawaddah kepada Dia yang mengikat hati-hati ini. Asrar memulas tombol pintu surau, sebaik pintu terbuka dia melihat akhowatnya sedang menanti. Segaris senyuman dilemparkan. Segera dihulurkan tangan kepada amirahnya, Dirah Humaira yang lebih mesra di panggil kak Dirah. 

“ Maaf terlewat Asrar ada hal sikit tadi, dah lama tunggu ke?” Asrar beralih pula menyalami akhowatnya yang lain. 

“takpe Asrar, baru je sampai ni.” Munirah menjawab bagi pihak yang lain. 

Asrar tersenyum. Dia kemudian mengambil tempat duduk di sebelah Kak Lynn. Mereka membentuk satu halaqah. Asrar membelek buku di tangan, pengisian yang bakal disampaikan di tenung sebentar. Wajah Kak Dirah dipandang, Asrar mengangguk sebagai isyarat kepadanya untuk memulakan majlis. Seperti biasa majlis itu dibuka dengan tafsiran beberapa potong ayat suci al-quran sebelum memulakan usrah. 

“Untuk usrah kali ini ana memilih surah al-maidah ayat 54 hingga ayat 56. Ana minta Kak Syamimi untuk bacakan ayatnya dan Kak Syuhada bacakan terjemahannya.” Semuanya mula membelek terjemahan al-quran di tangan yang sentiasa di bawa kemana-mana. Sebentar kemudian beralunlah suara merdu Syamimi membacakan ayat tersebut diikuti dengan Syuhada yang membacakan tafsirannya. 

“Syukran kak syamimi dan kak syuhada. Mari kita telusuri satu persatu terjemahan disebalik ayat-ayat sebentar tadi. Dalam ayat ke 54 Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: 

“Wahai orang-orang yang beriman, barangsiapa yang murtad di kalangan kamu, maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Ia kasihkan mereka dan mereka juga kasih kepada-Nya; mereka bersifat rendah diri dengan orang-orang mu’min dan bersikap tegas terhadap orang-orang kafir, mereka berjihad bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan mereka yang mencela. Yang demikian itu adalah Limpah Kurniaan Allah yang diberikan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Luas Limpah Kurniaan-Nya lagi meliputi Ilmu-Nya.”

Sodaqallahul azim. Jika kita teliti ayat ke 54 surah al-maidah ini, jelas di highlight di sini cirri-ciri hizbullah yakni pembantu agama Allah itu. Mereka adalah orang-orang yang dicintai Allah dan mereka mencintai Dia, bersikap lemah lembut sesama mukmin dan bertegas pada orang-orang kafir. Seharusnya seorang pembantu agama Allah itu tidak takut pada celaan musuh-musuh yang seringkali mahu menjatuhkan dirinya. Kita lihat pula pada diri kita yang mengaku sebagai hizbullah, pembantu agama Allah. Adakah sifat-sifat ini kita tanamkan dalam diri kita? Benarkah kita mengasihi Allah lebih dari segala-galanya atau masih ada lagi yang berada di tempat teratas mengatasi Allah? Berlemah lembut kah kita terhadap sesama mukmin atau yang ada dalam hati kita adanya hasad dengki dan busuk hati walau sekelumit cuma? Wallahualam..tanya diri apakah benar aku pembantu agama Allah.. 

“emm, Asrar, akak nak Tanya, macamana pula dengan kenyataan orang-orang di luar sana yang tidak mahu turun ke medan dakwah memperjuangkan agama Allah dengan alasan janji Allah satu hari nanti Islam ini akan bangkit semula dan akan kembali menang itu benar dan pasti berlaku, makanya tak perlu berbuat apa-apa hanya tunggu dan lihat saja sehingga tiba hari itu.” Soalan pertama daripada Kak Lynn. 

Asrar tersenyum seketika sebelum menjawab “ wallahualam ukhti, Asrar tak nafikan ada segolongan yang bermentalitikan seperti itu. Hanya menunggu kebangkitan Islam itu tanpa berbuat apa-apa dan beramal hanya untuk dirinya sendiri. Janji Allah itu benar belaka, itu memang pasti. Tetapi kita sendiri tahu Allah ciptakan kita kedunia ini dengan dua tujuan yang mana tujuan pertama ada di dalam surah az-zariyat ayat 56 mafhumnya 

“ Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku.”

 Allah menciptakan setiap daripada kita untuk tunduk dan patuh beribadah kepadaNya, itu asrar pasti ramai yang maklum tentang itu. Dalam setiap solat kita juga, kita berjanji pada Allah sekurang-kurangnya lima kali sehari “sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanya kerana Allah”. Tujuan yang kedua pula iaitu sebagai khalifah di bumi Allah ini yang sering kali dilupakan oleh manusia seperti firman Allah dalam surah al-baqarah ayat 30 

‘Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat “ Aku hendak menjadikan khalifah di bumi”. Mereka berkata, “apakah Engkau hendak menjadikan orang yang merosak dan menumpahkan darah di sana, sedangkan kami bertasbih memuji-Mu dan menyucikan nama-Mu?” Dia berfirman, “sungguh, Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.”

Sahabat-sahabatku, kita khalifah yang bertanggungjawab menyambung risalah dakwah Rasulullah s.a.w. Kalaupun kita atau sesiapa sahaja tidak mahu membawa agamaNya, Allah sedikitpun tidak rugi, kerana pasti ada yang menggantikan kita untuk meneruskan risalah dakwah Islam ini. Ingat akhowatku sekalian, Allah dan Islam sedikitpun tidak akan terkesan sekiranya kita tidak mahu padaNya, kerana Islam itu agama Allah dan Allah pasti menjaga agamaNya. Tetapi sebaliknya kita yang lemah dan hina inilah sebenarnya yang perlukan Islam dalam hidup kita untuk terus teguh menongkah arus dunia yang fana belaka. Kenapa perlu bersusah payah, berpenat lelah berjuang? Kerana kita inginkan kerehatan yang berpanjangan dan kekal yakni di syurgaNya kelak, insyaAllah. Jadi, jangan sampai kita tercicir dari perjuangan ini, jangan sampai Allah menggantikan kita dengan yang lain hanya kerana kelalaian sesaat kita. Wallahualam.."

to be continued...

p/s: sebarang kesilapan hanyalah daripada diri ana yang lemah ini..



3 comments:

Nadrah Yusra said...

cepat cepat sambung!! =)

nadzirah said...

pengikut tegar..hehe.nice story :)

ieyba said...

asrar..penyimpan rahsia hati n mawar berduri:)

~Taujihad Srikandi~

Wahai Srikandi :-

" takhallikan dirimu dari terjerumus ke lembah noda serta sikap bermain-main dengan perjuangan.. tahallikan dirimu dengan sifat sebenar seorang wanita yang hidup dengan perjuangan, pengorbanan serta jihad dan kefahaman juga dambaan syahid "