Wednesday, March 03, 2010

3 MAC 1924 : SEJARAH HITAM UMAT ISLAM

3 MAC 1924, tahukah anda apakah peristiwa penting yg berlaku pada tarikh keramat ini? Ianya merupakan titik hitam di dalam sejarah umat Islam yang tidak harus dilupakan oleh kaum Muslimin. Pada tarikh inilah umat Islam secara rasmi telah kehilangan perisai dan tonggak tempat mereka berlindung - Khilafah Islamiyyah. Khalifah yang terakhir, Sultan Abdul Majid telah diusir meninggalkan pusat pentadbiran Daulah Khilafah di Turki pada subuh hari tersebut hasil daripada persidangan Majlis Nasional yang diketuai oleh La’natullah Mustafa Kamal melalui konspirasi jahat kafir Barat. Konspirasi ini dapat dilihat dengan jelas daripada ungkapan Menteri Luar Inggeris, Lord Curzon berikutan runtuhnya Daulah Khilafah; “Persoalan utamanya adalah bahawa Turki telah dihancurkan dan tidak akan bangkit lagi, kerana kita telah menghancurkan kekuatan spiritual mereka, iaitu Khilafah dan Islam” .


Pada hakikatnya, keruntuhan Daulah Khilafah bukanlah sesuatu yang berlaku secara kebetulan. Pertentangan antara dua peradaban ini (Islam dan Kufur) telahpun berlaku sejak awal Rasulullah diangkat sebagai Rasul lagi. Daulah Khilafah yang dirobohkan ini merupakan kesinambungan Negara Islam yang didirikan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam di Madinah selepas berlakunya peristiwa Hijrah. Khalifah Abu Bakar As Siddiq merupakan orang pertama yang memulakan diari Negara Khilafah diikuti oleh Khalifah ‘Umar Al Khattab, Khalifah Osman bin ‘Affan dan Khalifah Ali bin Abu Talib di mana zaman pemerintahan mereka dikenali juga sebagai era Khilafah Rasyidah. Selepas itu kekhilafah diteruskan oleh Bani Umaiyyah diikuti kekhilafahan Bani Abbasiyah dan terakhir, kekhilafahan Bani Uthmaniyyah yang semuanya berlarutan lebih 1300 tahun. Benarlah sabda Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam sepertimana yang diriwayatkan oleh Muslim dari Abi Hazim yang berkata:


“Aku telah mengikuti majlis Abu Hurairah selama lima tahun dan pernah aku mendengarnya menyampaikan hadits dari Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam yang bersabda:


“Dahulu Bani Israil dipimpin dan dipelihara urusannya oleh para nabi. Setiap kali seseorang nabi wafat, digantikan oleh nabi yang lain. Sesungguhnya tidak akan ada nabi sesudahku. (Tetapi) nanti akan ada banyak khalifah.’ Para sahabat bertanya: ‘Apakah yang engkau perintahkan kepada kami?’ Baginda menjawab: ‘Penuhilah bai’at yang pertama dan yang pertama itu sahaja. Berikanlah kepada mereka hak mereka, kerana Allah nanti akan menuntut pertanggungjawaban dari mereka tentang rakyat yang dibebankan urusannya kepada mereka”


Sepanjang tempoh tersebut Islam telah menjangkau dan meliputi 2/3 dunia (lihat rajah kawasan umat Islam pada abad ke 15) dari Timur ke Barat. Sehingga itu juga banyak kejayaan yang telah dicapai dan rahmat melimpah ke atas umat manusia sepertimana Firman Allah:



”Dan tidak kami utuskan engkau (Muhammad) melainkan sebagai rahmat bagi sekelian alam”
[TMQ al-Anbiya’ 21:107]



Malapetaka ketiadaan Khilafah


Kehinaan yang menimpa umat Islam secara bertali arus sehingga ke hari ini adalah merupakan kesan dari tiadanya kekuatan politik di dalam tubuh umat Islam – tiadanya sebuah kepimpinan umum umat Islam (Al-Khilafah) yang menerapkan hukum-hukum Islam di dalam Negara Islam dan menyebarkan Islam ke luar Negara melalui dakwah dan jihad. Malapetaka yang terus menerus menimpa kaum Muslimin merupakan rentetan dari tiadanya perlaksanaan ke atas perintah Allah secara menyeluruh. Dari firman Allah di atas, adalah merupakan suatu kepastian bahawa dengan terlaksananya hukum-hukum syara’ secara menyeluruh, alam ini pasti akan dipenuhi rahmat Allah.


Namun apa yang kita perhatikan hari ini adalah perintah dan larangan Allah hanya tinggal sebagai tulisan-tulisan di dalam kitab sebagai rujukan akademik dan bukannya sesuatu yang diterapkan sebagai penyelesaian bagi masalah umat manusia. Rentetan dari itu, masalah gejala sosial, murtad, seks bebas, Aids, dadah dan sebagainya kini menjadi lumrah dan keluhan di bibir umat. Hakikatnya, penyelesaian bagi semua masalah-masalah ini telahpun dijelaskan oleh Allah dan RasulNya dengan penyelesaian yang hakiki. Apa yang perlu dilakukan adalah menerapkannya secara menyeluruh.



Salah satu malapetaka yang cukup menyedihkan yang menimpa umat Islam akibat dari kelalaian umat dalam menerapkan hukum Allah secara menyeluruh adalah dari segi ekonomi. Lihat sahajalah di negeri-negeri umat Islam, hasil bumi mereka seperti petroleum, emas dan perak yang sepatutnya menjadi milik umat telah dimonopoli oleh kapitalis Barat dan juga menjadi milik peribadi penguasa mereka. Akibatnya, umat Islam hidup dengan penuh kemiskinan dan menagih simpati di bumi sendiri. Di Iraq, sebagai contoh, akibat dari ketamakan Barat, 120,000 orang terbunuh di sepanjang 2003-2005, 5 juta kehilangan nyawa akibat embargo, 5000 kanak-kanak meninggal setiap bulan dan 100,000 meninggal akibat radiasi nuklear [Perang Iraq-AS, COMES: 2003]. Dominasi ideologi kapitalis yang kufur pada hari bukan sahaja membawa pelbagai kesengsaraan kepada umat Islam, malah kepada lebih 60% umat manusia di dunia. Kemiskinan, kehinaan dan kesengsaraan termanifestasi di seluruh dunia. Di dalam dunia yang serba canggih ini, masih terdapat 1.214 billion orang miskin, 78% kanak-kanak kekurangan zat, 11 ribu kanak-kanak mati kelaparan setiap hari dan lebih dari 800 juta orang kelaparan di seluruh dunia di mana 70% di antara mereka adalah wanita dan anak-anak. [Shukor Rahman, World Food Program, New Staits of Malaysia Times, 2001]. Semua ini berlaku dalam keadaan 20% dari penduduk dunia menerima lebih dari 60% dari kekayaannya!!! [100 ways of seeing an unequal world – Bob Sutcliffe]. Di Malaysia sendiri, individu terkaya di negara ini memiliki harta melebihi RM 11 bilion sedangkan pendapatan per kapita rakyatnya hanya sekitar RM 1700; malah masih ramai lagi rakyat termiskin yang tidak dapat menampung perbelanjaan keluarga mereka. Dengan kenaikan harga petrol sebanyak 30 sen baru-baru ini, sudah pasti bebanan rakyat akan bertambah dan bagi yang sudahpun berada di dalam keadaan yang sempit, mereka ini bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga...


Soalan yang pasti akan bermain di minda adalah kemanakah perginya segala kekayaan hasil bumi anugerah Allah yang menjadi milik umat Islam keseluruhannya? Kemanakah perginya kekayaan dari petroleum, gas, hasil balak dan lain-lain sumber asli yang begitu banyak dikurniakan Allah kepada kaum Muslimin?? Dalam dunia kapitalis hari ini, kekayaan yang sewajarnya menjadi milik umat, kini diraut oleh para kapitalis yang tidak pernah kenyang dari ketamakan mereka. Akibatnya merintihlah umat untuk mendapatkan bantuan perubatan, pendidikan dan keperluan asas kehidupannya kerana negara telah melepaskan tanggungjawab utamanya – menjaga urusan umat.


Dalam aspek pendidikan pula, cengkaman ideologi kapitalisme yang berasaskan aqidah sekular secara langsung memainkan peranan besar dalam perkembangan kurikulum di semua negeri umat Islam. Barat mengetahui bahawa dengan mengawal pemikiran umat melalui pengaruh yang mendasar ke atas kurikulum pendidikan, arah tuju umat dapat dialihkan kepada apa yang mereka inginkan. Realiti, dan bukan wahyu dijadikan sebagai sumber pemikiran. Akibatnya, realitilah yang menentukan jalan pemikiran dan bukannya berfungsi sebagai objek pemikiran. Akhirnya, akan lahirlah manusia yang pragmatik dan liberal – manusia yang langsung tidak merasa perlu untuk kembali kepada perintah Allah dalam menentukan mana yang baik dan mana yang buruk. Hari ini, dengan dominasi sistem pendidikan Barat, pengajian ilmu dan tsaqafah Islam menjadi sekadar proses pemindahan ilmu untuk ’dipelajari’ bukan untuk diterapkan dan diamalkan. Akhirnya agama diambil hanya dalam konteks hubungan makhluk dengan Tuhannya sahaja (’ibadah khusus), tidak lebih dari itu. Akibatnya lahirlah masyarakat sekular yang memegang aqidah Islam namun tidak mengambil Islam sebagai penyelesai bagi masalah-masalah kehidupan mereka. Mereka hidup semata-mata ingin meraih dunia tanpa komitmen yang kuat terhadap Islam. Mereka merasa cukup selesa meletakkan Islam hanya sebagai isu peribadi tanpa kesedaran bahawa mereka sebenarnya bertanggungjawab menerapkannya.


Malapetaka yang menimpa kaum Muslimin akibat dari tiadanya Islam dalam kehidupan juga dapat dilihat dalam aspek politik. Satu persatu negeri umat Islam dijajah secara ketenteraan; Iraq, Palestin dan Afghanistan merupakan contoh yang amat jelas. Manakala di negeri kafir umat Islam turut dibunuh dan dihina seperti di Thailand, Filiphina, Rusia serta Perancis. Di negeri-negeri lain, penguasa umat Islam tidak dapat memboloskan diri dari cengkaman negara ’super power’ AS seolah-olah akan berlaku bencana yang amat besar sekiranya telunjuknya tidak dipatuhi. Dalam keadaan ini, kaum kafir begitu bermaharajalela sehinggakan penghinaan ke atas Rasulullah melalui karikaturnya terus dipandang sepi oleh penguasa-penguasa umat Islam. Mereka (penguasa muslim) ini nampaknya sehingga hari ini tidak pernah mengambil pendirian yang tegas dalam menyelesaikan masalah tersebut. Dengan nada penuh kehinaan mereka hanya mampu menyeru kepada penyelesaian melalui dialog dan kompromi dengan kuffar, suatu yang mereka, kaum kafir, sambut dengan tangan terbuka. Dan pada waktu yang sama penguasa-penguasa ini menekan kebangkitan umat yang mahukan penyelesaian yang lebih tegas. Di manakah pendirian kita sebagai umat yang mulia?


Gambaran pemikiran umat Islam hari ini


Terdapat berbagai kelompok yang menyedari kegawatan permasalahan umat Islam kini. Namun usaha mereka masih belum dapat menyelesaikan masalah utama umat Islam malah menimbulkan banyak lagi masalah lain. Ini berlaku akibat dari kekeliruan mereka dalam menangani masalah tersebut. Kelompok yang ikhlas ini terlalu menumpukan tenaga mereka dalam menyelesaikan masalah cabang, namun, terlepas pandang masalah yang lebih mendasar. Contohnya, penyelesaian masalah murtad yang hangat suatu ketika dahulu. Dalam mempertahankan kedudukan mahkamah syariah mereka juga bertekad untuk mengekalkan perkara 121 Perlembagaan Persekutuan yang kononnya melindungi umat Islam padahal permasalahan yang lebih mendasar adalah kedudukan perlembagaan itu sendiri. Perlembagaan ini, pada hakikatnya tidak didasarkan kepada aqidah Islam dan merupakan ciptaan manusia sedangkan hak untuk membuat hukum itu hanya terletak di tangan Allah Subhanahu wa Ta’ala. Oleh itu, isu yang menjadi dasar permasalahan yang sepatutnya diperhatikan adalah mengembalikan hukum Allah dalam aspek perundangan dan kenegaraan secara menyeluruh, bukannya berpuas hati dengan penyelesaian secara separuh-separuh.


Selain itu, natijah daripada diterapkannya sistem pendidikan sekular telah menimbulkan berbagai pemikiran yang rosak di dalam umat. Akibat dari acuan kekufuran yang telah ditanam di dalam pemikiran umat oleh sistem ini, mereka memandang nasionalisme, patriotisme dan demokrasi kapitalisme sebagai pemikiran yang benar dan mendarah daging di dalam tubuh mereka sehingga tidak kelihatan lagi pemikiran lain di dalamnya, apatah lagi pemikiran Islam. Malah ada yang menganggap bahawa kembali kepada Islam itu hanya memberi makna kembali ke zaman silam yang mundur. Tidak kurang juga yang melihat Islam sebagai pemikiran yang tidak lengkap dan uzur sehingga ia perlu diselaraskan, atau diubah, sekiranya perlu, agar selaras dengan perkembangan geo-politik dan sosio-ekonomi dunia. Inilah realiti pemikiran kaum Muslimin hari ini akibat dari penerapan ideologi kufur di tengah-tengah umat.


Kewajiban mendirikan Khilafah


Pada saat ini umat Islam adalah bagaikan anak ayam yang kehilangan ibunya; kehinaan menimpa mereka di mana-mana. Mereka berusaha mencari kemuliaan dengan berbagai-bagai cara namun masih belum lagi menemuinya. Hakikatnya, inilah permasalahan ’hidup dan mati’ yang dihadapi oleh umat hari ini. Satu-satunya penyelesaian yang tuntas adalah dengan menegakkan semula Khilafah. Benar, menegakkan Khilafah bukanlah semudah mengatakannnya. Untuk meraih kejayaan ini, umat haruslah bersungguh-sungguh berusaha untuk mencapainya melalui pengkajian, pembinaan dan perjuangan yang tidak kenal lelah. Usaha keras untuk mengembalikan Islam sebagai ideologi yang mendominasi dunia ini bukan sahaja merupakan satu-satunya jalan yang harus ditempuh oleh kaum Muslimin, malah, ia merupakan kewajiban setiap muslim untuk melakukannya.


Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman;


“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul dan pemimpin daripada kamu...”
[TMQ an-Nisa’ 4:59]


Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam juga bersabda yang bermaksud;

”Siapa saja yang mati tanpa tanpa ada baiat (kepada imam/khalifah) di pundaknya, maka matinya adalah mati jahiliah” [HR Muslim].


Kedua-dua nas di atas menyatakan kewajiban setiap individu muslim untuk melantik (bai’at) pemimpin (Khalifah) yang akan menjaga urusan mereka. Namun kewajiban bai’at tersebut tidak akan terlaksana jika tidak ada orang yang hendak dibai’at. Oleh itu usaha untuk melantik atau mendirikan Khilafah itu sendiri menjadi pokok persoalan utama bagi memastikan tertegaknya Islam.

.
Realiti musibah demi musibah yang menimpa umat pada hari ini juga menunjukkan bahawa tidak ada cara lain yang lebih utama untuk mengembalikan kemuliaan umat yang terbaik ini selain dengan mendirikan semula Khilafah ’ala minhaj an-nubuwwah.


Sesungguhnya janji Allah dan Rasul dalam perkara ini adalah jelas sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadis di bawah;


”Rasulullah Sallallahu 'alaihi wa Sallam bersabda: Masa kenabian itu ada di tengah-tengah kalian, adanya atas kehendak Allah, kemudian Allah mengangkatnya apabila Dia menghendaki untuk mengangkatnya. Selanjutnya adalah masa Khilafah yang mengikuti jejak kenabian (Khilafah ’ala minhaj an-nubuwwah), adanya atas kehendak Allah, kemudian Allah mengangkatnya apabila Dia menghendaki untuk mengangkatnya. Selanjutnya masa kerajaan yang menggigit (Mulkan ’Adhan), adanya atas kehendak Allah, kemudian Allah mengangkatnya apabila Dia menghendaki untuk mengangkatnya. Setelah itu, masa kerajaan yang menyombong (Mulkan Jabariyyan), adanya atas kehendak Allah, kemudian Allah mengangkatnya apabila Dia menghendaki untuk mengangkatnya. Selanjutnya adalah masa Khilafah yang mengikuti jejak kenabian (Khilafah ’ala minhaj an-nubuwwah). Kemudian beliau (Nabi) diam.”
[HR Ahmad dan Baihaqi dari Nuâman bin Basyir dari Hudzaifah]


Jalan untuk mendirikan semula Khilafah


Khilafah adalah bentuk sistem pemerintahan Islam seperti yang diamal dan dijalankan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam. Mendirikan Khilafah bukanlah usaha yang berbentuk individu, namun, ia merupakan usaha yang berbentuk jamaah. Bagi memastikan bahawa jamaah ini bergerak di atas jalan yang benar, ia haruslah memiliki fikrah (pemikiran) dan tariqah (jalan/kaedah) yang jelas dan benar. Dan kebenaran hanya dapat diperoleh dari nas yang kuat. Dengan kejelasan dan kebenaran fikrah dan tariqah ini, jamaah tersebut akan dapat bergerak memimpin umat menegakkan semula Khilafah. Pada masa yang sama, setiap individu muslim haruslah berusaha bersungguh-sungguh, bersama dengan jamaah ini ke arah mengembalikan kehidupan Islam. Ini sesuai dengan kaedah syara’ yang berbunyi;


”Tidak sempurna sesuatu kewajiban melainkan dengannya maka ia menjadi wajib”


Menerapkan Islam secara menyeluruh merupakan suatu kewajiban. Ini tidak akan dapat dijalankan sepenuhnya tanpa kekuasaan dan Khilafah Islam merupakan satu-satunya bentuk kekuasaan yang sah di sisi syara’. Kini Khilafah tidak wujud. Mewujudkan Khilafah menjadi suatu kewajiban dan tanpa jamaah, kewajiban ini tidak akan dapat dijalankan. Dan selagi jamaah ini masih belum berjaya menegakkan Khilafah, maka di atas setiap pundak kaum Muslimin ada kewajiban untuk bersama-sama jamaah ini menegakkan Islam.


Jamaah ini haruslah berjuang dan beraktiviti sebagai sebuah parti politik, kerana aktiviti mendirikan negara, menguruskan negara dan menjaga urusan umat Islam adalah merupakan aktiviti politik. Syariat Islam tidak pula menetapkan bilangan jamaah yang harus ada bagi menjalankan aktiviti ini. Yang ditetapkan Islam adalah kewajiban mewujudkan jamaah untuk menyeru kepada Islam dan melakukan aktiviti amar ma’ruf dan nahi mungkar. Allah berfirman di dalam surah Al Imran ayat 104.



“Dan hendaklah ada daripada kamu satu umat (jamaah); mereka menyeru kepada kebaikan mengajak kepada yang ma’ruf dan mencegah perkara munkar dan mereka adalah orang-orang yang berjaya”


Wahai kaum muslimin,


Semenjak kejatuhan Daulah Khilafah pada 3hb Mac 1924, umat terus ditimpa musibah yang tidak putus-putus. Umat, meskipun berada dalam keadaan yang tertekan, terus berpecah-belah dan saling bertelagah. Namun keadaannya berbeza dengan kaum kuffar. Mereka bersatu mempertahankan Denmark ketika negara tersebut diancam dengan pemulauan. Kata-kata Presiden EU baru-baru ini mempertahankan pendirian Denmark untuk tidak meminta maaf kepada kaum Muslimin menghidupkan semula memori Perang Salib. Apakah peristiwa penghinaan ke atas Rasul, kezaliman Yahudi dan pencerobohan mereka ke atas Qiblah-al-awwal, penghinaan ke atas Al-Quran, penyiksaan ke atas tahanan Islam di Teluk Guantanamo dan Penjara Abu Ghareeb serta banyak lagi penyeksaan ke atas kaum Muslimin masih belum cukup bagi kita untuk menyadari bahawa tiada penyelesaian lain bagi kaum Muslimin kecuali dengan menegakkan Negara Islam Khilafah? Semoga Allah menanamkan kesedaran ini kepada kaum Muslimin dan mempercepatkan berdirinya Daulah Khilafah. Marilah kita sama-sama berdoa agar 3hb Mac tahun ini merupakan hari peringatan terakhir bagi kaum Muslimin sebelum kemenangan gilang-gemilang dikurniakan Allah kepada umat yang mulia ini!. Amin.

Friday, February 26, 2010

Nasihat Syeikh Ali Tantawi Untuk Semua Muslimah


Wahai puteriku… 
Aku seorang bapa yang sedang memasuki usia lima puluh tahun.

Usia muda telah aku lewati aku tinggalkan kenangan, impian, lamunan-lamunan dengan segala ujian-ujian dunia. Dengarlah ucapan dan kata-kataku. Ucapan-ucapan haq yang aku sampaikan secara jelas dan mudah.

Wahai puteriku… 
Banyak aku menulis, sering juga aku menyeru dan mengajak umat untuk menegakkan akhlak, menjunjung budi pekerti mulia, membanteras segala bentuk kerosakan jiwa dan mengendalikan nafsu syahwat untuk melawan dan membanteras keruntuhan moral.

Semua itu berterusan aku sampaikan, aku tulis dan khutbahkan… sehingga pena yang aku gunakan menjadi tumpul dan lidahku kelu. Namun tetap tiada hasil yang aku perolehi kemungkaran tetap berleluasa tanpa kita mampu untuk membanterasnya.

Di setiap pelusuk negara perbuatan mungkar terus kita temui, semakin banyak dalam pelbagai bentuk. Wanita semakin berani dan tidak malu-malu untuk membuka auratnya. Tubuhnya ditonjol-tonjolkan, pergaulan bebas muda-mudi bertambah menjolok. Semua itu bergerak melanda negara demi negara, tanpa satu negara Islam yang mampu mengelak.

Sebagai contoh negara Syria yang terkenal dengan keserasian akhlak yag sangat ketat menjaga kehormatan diri dengan menutup auratnya, sekarang masya-Allah!! Para wanitanya berpakaian terbuka mempertontonkan lengan dan paha, punggung dan dada. Kita gagal, dan aku kira kita tidak akan berjaya. Tahukah engkau apa penyebabnya? Sebabnya ialah sehingga hari ini kita belum menemui pintu ke arah pemulihan dan kita tidak tahu jalannya

Wahai puteriku, pintu pemulihan ada di hadapanmu. Kunci pintu itu ada di tanganmu. Jika engkau yakin padanya dan engkau berusaha unuk memasuki pintu itu, maka keadaan akan berubah menjadi baik.

Engkau benar puteriku, bahawalah kaum lelakilah yang mula mula melangkah menempuh jalan dosa bukan wanita. Tetapi ingat, bahawa tanpa kerelaanmu dan tanpa kelunakan sikapmu, mereka tidak akan berkeras melangkah laju. Engkaulah yang membuka pintu kepadanya untuk masuk.

Engkau berkata kepada pencuri : “Silakan masuk”…dan setelah engkau kecurian barulah engkau tersedar. Ketika itu barulah engkau berteriak ..”tolong….tolong…aku kecurian.”

Seandainya engkau tahu bahawa lelaki itu adalah serigala dan engkau adalah kambing, pasti engkau akan lari seperti larinya kambing dalam ancaman cengkaman serigala.

Sekiranya engkau sedar, bahawa semua lelaki adalah pencuri, pasti engkau akan berhati-hati dan sentiasa menjaga diri seperti waspada seorang yang kikir terhadap pencuri.

Jika yang dikehendaki oleh serigala dari kambing adalah dagingnya, maka yang diinginkan lelaki adalah lebih daripada itu. Lelaki meinginkan lebih dari sekadar kambing…… dan bagimu lebih buruk daripada kematian kambing itu.

Lelaki menghendaki yang paling berharga darimu… iaitu harga diri dan kehormatanmu. Nasib seorang gadis yang diragut kehormatannya lebih menyedihkan daripada nasib seekor kambing yang dimakan serigala.

Wahai puteriku…. Demi Allah, apa yang dikhayalkan oleh pemuda ketika dia melihat gadis ialah gadis itu bertelanjang dihadapannya tanpa pakaian.

Aku bersumpah lagi: 
“Demi Allah, jangan percaya terhadap kata kata sebahagian lelaki, bahawa mereka memandangmu kerana akhlak dan adab. Berbicara denganmu seperti sahabat dan apabila mencintaimu hanyalah sebagai teman akrab”. 


"Bohong… bohong… demi Allah dia berbohong. Seandainya engkau mendengar sendiri perbualan antara mereka, pasti engkau takut dan ngeri.”

Tidak akan ada seorang pemuda melontarkan senyumannya kepadamu berbicara dengan lembut dan merayu, memberikan bantuan dan layanan kepadamu, kecuali akan ada maksud-maksud tertentu. Setidak-tidaknya isyarat awal bagi dirinya bahawa itu adalah langkah awal.

Apakah sesudah itu puteriku?

Renungkanlah!

*Sekadar copy-paste dari e-mail seorang sahabat. Syukran akhi Suffyan Eddie. Moga bermanfaat. Salam warahmatullah.

Selamatkanlah wahai Allah.. lindungilah maruah dan kehormatan kami..

Thursday, February 25, 2010

Damailah Bersama Tuhanmu

Assalamualaikum w.b.t..
Alhamdulillah, setelah lama sunyi daripada melakarkan tinta di kanvas cinta ana ini, Allah memberikan lagi ana ruang dan peluang untuk menzahirkan apa yang tersirat.. Ana akui beberapa detik waktu yang lepas ana dilanda secebis kesedihan. Ana tidak mahu menumpahkan walau setitik titis jernih andai hanya untuk sesuatu perkara yang sedikit pun tidak membawa manfaat pada diri ana kerana dunia ini terlalu hina untuk ditangisi..
Lalu ana mencari kedamaian disisiNya, kerana Dialah sebaik-baik pendamai setiap hati makhluk ciptaanNya. Ketenangan seorang hamba adalah ketika hatinya dekat dengan Tuhannya, Allahu Rabbul Izzati. Sejenak ana teringat ayat-ayat cinta dariNya dalam surah al-fath ayat 26:
"Maka Allah menurunkan ketenangan kepada RasulNya dan kepada orang-orang yang beriman..."
Ketenangan adalah ketetapan hati kepada Allah mahupun ketenangan jiwa kerana berserah diri hanya kepada Ar-Rahman. Jiwa yang damai hanya akan diperolehi melalui penghambaan kita kepadaNya, sentiasa mengingatiNya, bersyukur atas nikmatNya, menta'ati perintahNya, menyintai Allah sebagai sang Pencipta.
Maka tenanglah hati walaupun kau gelisah kerana suatu penantian, tenanglah walau kau kecewa dengan keputusan yang kau terima tidak seperti yang kau harapkan, tenanglah walau kau takut dengan cabaran yang bakal mendatang, tenanglah walau kau bersedih lantaran ditinggalkan oleh orang yang kau sayangi, kerana Allah menjanjikan yang terbaik buatmu, Allah menjanjikan ketenangan buatmu jika kau dikalangan orang beriman dan ingatlah Allah takkan pernah meninggalkanmu baik ketika kau susah mahupun senang.
Usah bersedih, serahkan hatiMu pada Yang Layak Memiliki, insyaAllah kebahagiaan hakiki akan kau perolehi..carilah kedamaian disisi Tuhan Yang Mencipta..wallahualam..
p/s moga hatiku hati yang berada di kalangan orang beriman..

Wednesday, January 13, 2010

Secret Sign- Unsur Masonic Di AJL?

Anugerah Juara Lagu baru-baru ini dipenuhi dengan unsur Masonic? Persoalan itu kami tinggalkan kepada anda untuk menjawabnya selepas membaca dan meneliti gambar-gambar di artikel ini. Mungkin ramai antara kita tidak tahu dan perasan unsur-unsur ini diselitkan sekali pada acara itu. Subliminal Message, ya ini menunjukkan kepada kita bahawa kita tidak lari daripada pengaruh Dajal ini.
Rasullulah pernah bersabda dari Ali dan Abu Hurairah r.a.:
"Apabila harta rampasan perang (milik umum) dikuasai segelintir orang sahaja, barang amanah menjadi rampasan, harta zakat menjadi hutang, seorang lelaki mentaati isterinya dan menderhakai ibunya, berbuat baik kepada temannya dan berbuat kasar kepada bapanya, suara-suara tinggi di masjid-masjid, yang menjadi pemimpin suatu kaum (bangsa) adalah orang yang hina (berkelakuan/bersifat keji) di antara mereka dan orang yang menjadi ketua suatu suku (kabilah) adalah orang fasik di antara mereka, seorang lelaki dihormati kerana takut jahatnya, arak biasa diminum, sutera biasa dipakai (oleh lelaki),munculnya penyanyi perempuan dan alat-alat muzik, orang yang di kalangan umat terkemudian akan melaknat (mengutuk) umat terdahulu, maka ketika itu hendaklah mereka menunggu kedatangan angin merah atau pembalikan bumi atau keburukan bentuk-bentuk atau tanda-tanda yang beriringan seperti tali yang putus maka jatuhlah biji secara berterusan". - Riwayat Tarmizi
Mungkin ramai lelaki yang tidak perasan, yang mereka sendiri pernah memakai sutera. Bagaimana? Tali leher ataupun lebih dikenali sebagai tie yang didakwa oleh bishop adalah tanda mereka yang berkhidmat untuk Benedictine Order. Banyak tali leher yang ada di pasaran sebenarnya diperbuat dari sutera dan tidak kurang baju kemeja para korporat. Dan kita memakainya sekaligus membenarkan sabda Rasullulah tentang tanda-tanda kiamat.
Kembali kepada tajuk asal kita. Unsur Masonic di AJL.
Kemungkinan artis di Malaysia termasuk di dalam kategori ke 3 iaitu mereka tidak sedar mereka berkhidmat untuk Si Mata Buta ini. Berikut adalah screenshot yang di ambil dari AJL baru-baru ini. Unfinished Pyramid, All Seeing Eye dan Checkered Floor jelas kelihatan bagi mereka yang peka dengan perkara sebegini.
Checkered Floor!
Artis Illuminati, Rihanna yang menggunakan Checkered Floor dalam persembahannya.
Mungkin bagi pembaca baru tidak mengetahui apa itu sebenarnya Checkered Floor atau lantai petak putih ini. Di sini saya terangkan serba sedikit apa itu lantai petak putih ini. Lantai ini digunakan oleh Mason-mason (Ahli Freemason) di dalam ritual-ritual mereka. Ini sebagai pertemuan antara 2 alam, iaitu alam nyata dan alam ghaib. Mereka berhubung dengan syaitan-syaitan melalui lantai ini menggunakan sihir terlarang, Kabbalah. Kabbalah dan Freemason tidak dapat dipisahkan. Warna putih mewakili alam kita dan warna hitam mewakili alam ghaib.
Di Ibu Pejabat CIA
Di Lodge Freemason
Dewa Hindu sebenarnya ialah Syaitan yang menyesatkan manusia, perhatikan lantai hitam putih.
Unfinished Pyramid
Joachim And Boaz dan Unfinished Pyramid!
Mungkin ada pembaca baru yang tertanya-tanya apakah itu piramid yang belum siap atau lebih dikenali dengan Unfinished Pyramid ini. Unfinished Pyramid ini tidak siap kerana rancangan arkiteknya belum lagi siap sepenuhnya. Apakah rancangan arkitek tersebut? Rancangannya ialah untuk membuat manusia terus leka di atas dunia tanpa mengingati penciptanya. Dan apabila piramid itu siap, dengan segala pelan-pelan menjauhkan manusia dari penciptanya barulah arkitek piramid itu akan keluar. Siapakah arkiteknya? Jawapannya ada di atas unfinished pyramid itu sendiri.
Contoh paling mudah untuk Unfinished Pyramid, USD 1.
2 tiang Temple Of Solomon, Joachim and Boaz.
Rihanna dan Unfinished Pyramid
One Eye!
All Seeing Eye di AJL
Rasanya tidak perlu diterangkan maksud lambang ini kerana saya percaya pembaca sudah tahu apakah makna di sebalik lambang all seeing eye ini. Lambang ini sebenarnya ada di mana-mana cuma kita sahaja yang tidak perasan atau buat-buat tidak perasan.
The All Seeing Eye Around Us
Adakah semua ini kebetulan yang besar? Checkered Floor, All Seeing Eye, Unfinished Pyramid, Joachim and Boaz. Kami tinggalkan persoalan besar ini kepada anda untuk menilainya.
We Just Only Show You The Door But You The One That Will Choose It.
Pintu A: Teruskan dengan dunia anda sekarang dan terus berada di dunia yang cantik tetapi penuh dengan kepalsuan
Pintu B: Mulai sedar dari tidur yang lena dan berada di dunia yang nyata
Fikirkan semula

Monday, January 11, 2010

Dirimu Tiada Penggantinya..

Assalamualaikum w.b.t...

Sebak hati ini tatkala menerima panggilan daripada akak ana.. "dik,mak sakit..". Sebaris ayat inilah yg membuatkan airmata ana laju sahaja menitis menimpa bumi. Ya Allah, baru seminggu ana kembali ke kampus daripada cuti semester ana, bererti baru seminggu juga ana x bertemu mak. Berita yang disampaikan oleh akak benar2 meruntun hati ana. Satu2nya insan yang masih ada dlm hidup ana,akak dan abang kini sedang menerima ujian daripadaNya. Ujian yang turut terkena tempiasnya pada ana.

Ya Allah..sukar untuk ana menghadapi saat2 ini..insan yang paling ana sayang kini menderita sakit. Betapa rindunya ana pada ibu saat ini..Ya Allah hanya Engkau yang mengetahui hikmah di sebalik ujian Mu ini..

Di saat kerinduan ini ana teringat tentang semua pengorbanan ibu ana terhadap ana. Ya Allah sayangilah ibu ku sepertimana dia menyayangiku sejak kecil..

Renungilah sahabat2 betapa besarnya pengorbanan seorang insan yang bergelar ibu kepada kita:

  • KETIKA BERUSIA SETAHUN, IBU SUAPKAN MAKANAN DAN MANDIKAN KITA. CARA KITA UCAPKAN TERIMA KASIH KEPADANYA HANYALAH DENGAN MENANGIS SEPANJANG MALAM.
  • APABILA BERUSIA 2 TAHUN, IBU MENGAJAR KITA BERMAIN, KITA UCAPKAN TERIMA KASIH DENGAN LARI SAMBIL KETAWA TERKEKEH-KEKEH APABILA DIPANGGIL.
  • MENJELANG USIA KITA 3 TAHUN, IBU MENYEDIAKAN MAKANAN DENGAN PENUH RASA KASIH SAYANG, KITA UCAPKAN TERIMA KASIH DENGAN MENUMPAHKAN MAKANAN KE LANTAI.
  • KETIKA BERUSIA 4 TAHUN, IBU MEMBELIKAN SEKOTAK PENSEL WARNA, KITA UCAPKAN TERIMA KASIH DENGAN MENCONTENG DINDING.
  • BERUSIA 5 TAHUN, IBU MEMBELIKAN SEPASANG PAKAIAN BARU, KITA UCAPKAN TERIMA KASIH DENGAN BERGOLEK-GOLEK DALAM LOPAK KOTOR.
  • SETELAH BERUSIA 6 TAHUN, IBU MEMIMPIN TANGAN KITA KE SEKOLAH, KITA UCAPKAN TERIMA KASIH DENGAN MENJERIT : “TAK NAK! TAK NAK!”.
  • APABILA BERUSIA 7 TAHUN, IBU BELIKAN SEBIJI BOLA. CARA MENGUCAPKAN TERIMA KASIH IALAH KITA PECAHKAN CERMIN TINGKAP JIRAN.
  • MENJELANG USIA 8 TAHUN, IBU BELIKAN AISKRIM, KITA UCAPKAN TERIMA KASIH DENGAN MENGOTORKAN PAKAIAN IBU.
  • KETIKA BERUSIA 9 TAHUN, IBU MENGHANTAR KE SEKOLAH, KITA UCAPKAN TERIMA KASIH KEPADANYA DENGAN PONTENG KELAS.
  • BERUSIA 10 TAHUN IBU MENGHABISKAN MASA SEHARI SUNTUK MENEMANKAN KITA KE MANA SAJA, KITA UCAPKAN TERIMA KASIH DENGAN TIDAK BERTEGUR SAPA DENGANNYA.
  • APABILA BERUSIA 12 TAHUN, IBU MENYURUH MEMBUAT KERJA SEKOLAH, KITA UCAPKAN TERIMA KASIH DENGAN MENONTON TELEVISYEN.
  • MENJELANG USIA 13 TAHUN, IBU SURUH PAKAI PAKAIAN YANG MENUTUP AURAT, KITA UCAPKAN TERIMA KASIH KEPADANYA DENGAN MEMBERITAHU BAHAWA PAKAIAN ITU TIDAK SESUAI ZAMAN SEKARANG.
  • KETIKA BERUSIA 14 TAHUN, IBU TERPAKSA MENGIKAT PERUT UNTUK MEMBAYAR WANG PERSEKOLAHAN DAN ASRAMA, KITA UCAPKAN TERIMA KASIH KEPADANYA DENGAN TIDAK MENULIS SEPUCUK SURAT PUN.
  • BERUSIA 15 TAHUN, IBU PULANG DARIPADA KERJA DAN RINDUKAN PELUKAN DAN CIUMAN, KITA UCAPKAN TERIMA KASIH DENGAN MENGUNCI PINTU BILIK.
  • MENJELANG USIA 18 TAHUN, IBU MENANGIS GEMBIRA APABILA MENDAPAT TAHU KITA DITERIMA MASUK KE IPTA, KITA UCAPKAN TERIMA KASIH KEPADANYA DENGAN BERSUKA RIA BERSAMA KAWAN-KAWAN.
  • KETIKA BERUSIA 19 TAHUN, IBU BERSUSAH PAYAH MEMBAYAR YURAN PENGAJIAN, MENGHANTAR KE KAMPUS DAN MENGHERET BEG BESAR KE ASRAMA, KITA HANYA UCAPKAN SELAMAT JALAN PADA IBU DI LUAR ASRAMA KERANA MALU DENGAN KAWAN-KAWAN.
  • BERUSIA 20 TAHUN, IBU BERTANYA SAMA ADA KITA ADA TEMAN ISTEMEWA, KITA KATA, “…ITU BUKAN URUSAN IBU.”
  • SETELAH BERUSIA 21 TAHUN, IBU CUBA MEMBERIKAN PANDANGAN MENGENAI KERJAYA, KITA KATA, “SAYA TAK MAHU JADI SEPERTI IBU.”
  • APABILA BERUSIA 22-23 TAHUN, IBU MEMBELIKAN PERABOT UNTUK RUMAH BUJANG KITA. DI BELAKANG IBU KITA KATAKAN PADA KAWAN-KAWAN….”PERABOT PILIHAN IBU AKU TAK CANTIK, TAK BERKENAN AKUUU!”
  • MENJELANG USIA 24 TAHUN, IBU BERTEMU DENGAN BAKAL MENANTUNYA DAN BERTANYAKAN MENGENAI RANCANGAN MASA DEPAN, KITA MENJELING DAN MERUNGUT, “IBUUU, TOOOOOLONGLAHHH….”
  • KETIKA BERUSIA 25 TAHUN, IBU BERSUSAH PAYAH MENANGGUNG PERBELANJAAN MAJLIS PERKAHWINAN KITA. IBU MENANGIS DAN MEMBERITAHU BETAPA DIA SANGAT SAYANGKAN KITA TAPI KITA UCAPKAN TERIMA KASIH KEPADANYA DENGAN BERPINDAH JAUH.
  • PADA USIA 30 TAHUN, IBU MENELEFON MEMBERI NASIHAT DAN PETUA MENGENAI PENJAGAAN BAYI, KITA DENGAN MEGAH BERKATA, “…ITU DULU, SEKARANG ZAMAN MODEN.”
  • KETIKA BERUSIA 40 TAHUN, IBU MENELEFON MENGINGATKAN MENGENAI KENDURI-KENDARA DI KAMPUNG, KITA BERKATA, “KAMI SIBUK, TAK ADA MASA NAK DATANG.”
  • APABILA BERUSIA 50 TAHUN, IBU JATUH SAKIT DAN MEMINTA KITA MENJAGANYA, KITA BERCERITA MENGENAI KESIBUKAN DAN KISAH-KISAH IBU BAPA YANG MENJADI BEBAN KEPADA ANAK-ANAK.
  • DAN KEMUDIAN SUATI HARI, KITA MENDAPAT BERITA IBU MENINGGAL! KHABAR ITU BAGAIKAN PETIR! DALAM LELEHAN AIR MATA, BARULAH SEGALA PERBUATAN KITA TERHADAP IBU MENERPA SATU PERSATU.

Jika ibu masih ada sayangilah dia. Jika dia telah tiada ingatlah kasih dan sayangnya..sayangilah dia..ibu,mak,mama.ummi,bonda,apapun panggilan anda pada insan yang melahirkan anda dia satu2nya ibu kandung yang anda ada..hargailah kehadirannya sementara masih ada kesempatan...
Dia takkan ada penggantinya lagi...
monologku: rindukan ibu ana..ku doakan mu sentiasa di bawah rahmatNya.. =(

~Taujihad Srikandi~

Wahai Srikandi :-

" takhallikan dirimu dari terjerumus ke lembah noda serta sikap bermain-main dengan perjuangan.. tahallikan dirimu dengan sifat sebenar seorang wanita yang hidup dengan perjuangan, pengorbanan serta jihad dan kefahaman juga dambaan syahid "